Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Apa kelebihan BERSELAWAT?

Ustaz Mohd Iszam terangkan pahala besar beramal dengan perintah Allah, termasuk pemberian rahmat, kenaikan darjat dan ampunan dosa
Oct 07, 2022 | 05:30 AM



UNTUNGNYA kita dapat jadi umat Nabi Muhammad saw. Buat amal yang sedikit tetapi pahala datang berlipat.



Ini bukan sahaja dapat dinikmati dalam solat dan sedekah, malah dengan hanya berselawat ke atas Baginda Rasulullah saw.



Dengan berselawat, umat Nabi saw dapat memperoleh ganjaran pahala yang besar, rahmat Allah swt, doa daripada malaikat, kenaikan darjat dan pengampunan dosa.



Kesemua ganjaran dan fadilat ini diterangkan oleh Ustaz Mohd Iszam Karim, ketua Jabatan Pendidikan Islam Masjid Mujahidin, sebagai mukadimah ketika mengundang masyarakat setempat menghadiri majlis Maulidur Rasul saw bersama Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat dengan tajuk Indahnya Engkau Ya Rasulullah di masjid itu esok bermula 6:55 petang.



Memulakan hujahnya, beliau menjelaskan: "Allah swt dan malaikat berselawat ke atas Nabi saw. Malah, membaca selawat atas Nabi Muhammad saw besar pahalanya kerana beramal dengan perintah Allah swt."



Menurut beliau, Allah swt berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 56 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat- Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad saw); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."



Dalam Tafsir Ibnu Katsir, Abu al-Aliyah berkata: "Selawat Allah (kepada Nabi-Nya) adalah pujian-Nya kepadanya di hadapan para malaikat, sedangkan selawat malaikat (kepada Nabi) adalah doa."



"Pada masa yang sama, Allah swt berselawat kepada hamba-Nya yang beriman yang berselawat ke atas Rasul-Nya dan selawat Allah swt adalah berupa rahmat bagi hamba-Nya," terang Ustaz Mohd Iszam.



ANJURAN MEMPERBANYAK SELAWAT KEPADA NABI SAW DAN FADILAT



Menyambung, beliau menambah: "Selawat ke atas Rasulullah saw itu kelebihannya sangat besar dan manfaatnya amat banyak di dunia dan di akhirat bagi orang yang suka memperbanyakkan selawat seperti diterangkan dalam Al-Quran dan hadis.



"Salah satu hadis itu datang daripada Abu Hurairah ra, yang berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, nescaya Allah berselawat kepadanya 10 kali." (HR Muslim, Abu Daud, An-Nasai, At-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)."



Menekankan fadilah berselawat ini, Ustaz Mohd Iszam memetik satu lagi hadis daripada Abu Burdah bin Niyar ra yang menuturkan bahawa Rasulullah saw bersabda:



"Barangsiapa di antara umatku yang berselawat kepadaku dengan ikhlas dari dalam hatinya, nescaya Allah berselawat kepadanya 10 kali kerananya, dan mengangkatnya 10 darjat dengannya, mencatat untuknya 10 kebajikan dengannya, dan menghapus daripadanya 10 dosa." (HR An-Nasa'i, At-Thabrani dan Al-Bazaar, hasan sahihnya.)



DALIL HADIS BAHAWA SALAM DAN SELAWAT KE ATAS RASUL DISAMPAIKAN MALAIKAT



Menceritakan kelebihan ini, Ustaz Mohd Iszam menukil pula riwayat daripada Ibnu Mas'ud ra bahawa Nabi saw bersabda:



"Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat-malaikat yang berkeliaran, mereka menyampaikan salam daripada umatku kepadaku." (HR An-Nasa'i dan Ibnu Hibban).



Dalam sebuah hadis hasan daripada Abu Hurairah ra daripada Rasulullah saw yang bersabda: "Tidak ada seorang Muslim pun menyampaikan salam kepadaku, melainkan Allah mengembalikan ruh kepadaku hingga aku menjawab salamnya." (HR Ahmad dan Abu Dawud).



BANYAKKAN SELAWAT PADA HARI JUMAAT



Menurut Ustaz Mohd Iszam lagi, ada juga hadis yang menganjurkan umat agar memperbanyak berselawat ke atas Rasulullah saw pada hari Jumaat.



Rasulullah saw bersabda: "Di antara hari terbaik kalian adalah Jumaat, pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu dia dimatikan, pada hari itu terjadi tiupan sangkakala, dan pada hari itu terjadi kematian serentak. Maka perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya selawat kalian akan diperlihatkan kepadaku."



Maka (para sahabat) bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimana mungkin selawat kami diperlihatkan kepadamu sedangkan engkau telah menjadi tanah (telah wafat)?"



Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah a'zza wajalla telah mengharamkan tanah untuk menghancurkan jasad para Nabi. (HR Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ibu Hibban dalam sahihnya, dan Al-Hakim, dan beliau menilainya sahih.)



SYAFAAT (PEMBELAAN) RASUL PADA UMAT YANG BERSELAWAT



Menurut Anas bin Malik ra, Rasulullah saw pernah bersabda: "Aku adalah orang yang pertama-tama jadi pembela di syurga kelak. Dan aku adalah Nabi yang paling banyak pengikutnya daripada sekelian nabi." (HR Muslim).



Dari segi ini, Ustaz Mohd Iszam menerangkan bahawa Rasulullah saw adalah satu-satunya Nabi yang akan memberi syafaat pada hari kiamat kelak.



Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda: "Setiap nabi mempunyai doa mustajab (doa yang pasti diperkenankan). Oleh itu, para nabi segera memanfaatkan doanya itu. Tetapi aku akan memanfaatkan nanti untuk membela umatku pada hari kiamat. Insya-Allah doaku itu akan mencapai setiap umatku yang mati dengan tidak menyekutukan Allah." (HR Muslim).



APA KELEBIHAN MENGADAKAN MAJLIS MAULUD?



Walaupun perkara mengadakan maulid ini tidak ada suruhannya, ini bukan bermakna ia tidak boleh dilakukan kerana kebaikannya begitu nyata, kata Ustaz Mohd Iszam.



Menerangkan kelebihan dan fadilat mengadakan majlis serupa, beliau menerangkan: "Isi yang terkandung dalam majlis Maulidur Rasul (memperingati kelahiran Rasulullah saw) adalah majlis ilmu menerusi penyampaian tazkirah atau syarahan, kisah sejarah nabi, zikir, selawat dan doa munajat.



"Majlis serupa ini juga mengajak manusia berbuat kebajikan dan melarang perbuatan mungkar, yang menjadi dasar penting dalam Islam dan mengulangkaji perjalanan hidup Nabi Muhammad saw yang mesti diketahui oleh setiap orang Islam.



"Sedar atau tidak, mencintai Allah dan Rasul-Nya adalah penting untuk mendidik diri dan keluarga kita untuk membina keimanan, institusi keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah dan menjadi orang yang baik."



Seperti dalam surah Ali Imran ayat 31, Allah berfirman yang ertinya: "Katakanlah (wahai Muhammad kepada umatmu): Jika kalian benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku (Muhammad), nescaya Allah akan mencintai kalian dan mengampuni dosa kalian."



Daripada Anas ra bahawa Nabi Muhammad saw bersabda: "Ada tiga perkara, apabila terdapat dalam diri seseorang maka dia akan berasa bagaimana manisnya iman:



"Mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada yang lain-lain;



"Mencintai orang lain kerana Allah semata-mata; dan



"Benci menjadi kafir kembali setelah Allah melepaskannya daripada kekafiran itu, sebagaimana bencinya akan dilemparkan ke neraka." (HR Muslim).




Sumbangan bagi menampungkan kos menganjurkan Majlis Maulidurrasul saw di Masjid Mujahidin esok boleh dibuat dengan mengisi borang https://forms.gle/RAwD8FcnQyXFUV6X6



Cara-cara menyumbang lain:



1. Bank Transfer:

OCBC Current A/C: 591-8741-10001

Reference: Maulid2020



2. Paynow

UEN: S77MQ0056D

Bill/Referene: Maulid2022



3. Hantarkan cek kepada

Masjid Mujahidin

590 Stirling Road, Singapore 148952

Nyatakan "Maulid2022" di belakang cek.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >