Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Islam tidak remehkan jasa ayah

Ustaz Fachruddin Dzaki tenangkan kebimbangan bapa dengan lukiskan tempat istimewa di sisi Ilahi
Dec 02, 2021 | 05:30 AM



ISLAM telah menaikkan darjat kaum wanita dan meletakkan kedudukan seorang ibu pada satu tempat yang istimewa.



Namun, timbul persoalan yang mungkin bermain dalam hati, jiwa dan minda insan bergelar lelaki yang bakal atau telah menjadi bapa atau ayah tentang kedudukan mereka di sisi agama.



"Adakah kita (kaum bapa) tidak ada tempat dari segi penghormatan? Adakah kita tidak dipandang dan diutamakan? Atau adakah kita hanya sekadar penyedia kecukupan?"



"Adakah persoalan-persoalan ini berlegar-legar dalam fikiran anda?" tanya Ustaz Fachruddin Dzaki Mohamed, pengurus Masjid Ahmad Ibrahim, memulakan hujah bagi menjawab mauduk 'Di mana kedudukan bapa dalam Islam?'



Menyambung penerangannya, beliau berkata: "Lelaki diciptakan oleh Allah swt dengan ciri-ciri yang sangat berbeza daripada perempuan tetapi saling melengkapi antara satu sama lain.



"Malah, perasaan seorang lelaki juga tidak boleh disamakan dengan perempuan - sifat tanggungjawab, mudah menahan emosi, fokus dalam tugas, menawarkan huraian yang praktikal dan bermacam-macam tugas dan peranan lagi.



"Lantaran itulah pendekatan pemberian kemuliaan seorang anak kepada orang tua mereka itu berbeza, namun di sisi Allah swt, tetap ada tempat dan darjatnya."



Kedudukan para bapa di sisi Allah dan dalam Islam



Bagi kaum bapa, Ustaz Fachruddin melukiskan gambaran indah yang disediakan agama bagi mereka.



"Bergembiralah bapa-bapa, yang sering menahan air mata, yang hanya dicurahkan di tempat sujudnya; yang terus bertenaga di sebalik keletihannya; yang termenung namun lincah mencari jalan keluar masalah; yang ceria melihat keluarga bahagia, tetapi tidak memperlihatkan dukanya.



"Ini kerana kedudukan dan keutamaan anda tidak pernah dipinggirkan, malah kedudukan anda begitu istimewa di sisi Allah swt," kata beliau.



Menurut Ustaz Fachruddin, Rasulullah saw memberikan satu anjakan motivasi kepada kaum bapa yang membanting tulang memenuhi tugas dan mencari nafkah untuk keluarganya dengan balasan syurga dan penghapusan dosa.



Nabi saw bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di antara dosa-dosa itu, ada yang tidak dapat terhapus dengan puasa dan solat."



Maka para sahabat pun bertanya: "Apakah yang dapat menghapusnya, wahai Rasulullah?"



Rasulullah saw menjawab: "Bersusah payah mencari nafkah." (HR Thabrani).



Nabi saw bersabda lagi: "Siapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kededua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya." (HR Tabrani).



Peranan seorang bapa zaman kini dalam Islam



Betapa pentingnya peranan seorang bapa dan bakal bapa terhadap keturunannya dalam memberikan pendidikan hidup, apatah lagi, kita para bapa yang hidup di zaman serba canggih.



"Mendidik anak-anak dengan betul pekerjaan yang mencabar dalam zaman serba canggih kerana banyaknya pengaruh kurang elok yang datang baik dari sekeliling kita mahupun dari dunia alam maya dan kemajuan teknologi.



"Namun, kita beruntung kerana kerana ada surah khas dalam Al-Quran yang relevan sepanjang zaman iaitu surah Luqman yang bukan setakat menceritakan, malah memberikan panduan dan langkah terbaik dalam membesarkan anak-anak," tambah Ustaz Fachruddin, yang meminati sukan memanah tradisional dan pernah beberapa kali mewakili Singapura dalam acara serupa di peringkat antarabangsa.



Antara panduan yang terkandung dalam surah Luqman, katanya, adalah:



1. Tidak menyembah selain Allah swt



"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar"." (Luqman: 13).



"Untuk memastikan anak-anak kita terselamat iman dan aqidah, maka wajib bagi seorang bapa memantapkan diri sendiri dengan ilmu agama yang tulen dan mengajarkannya kepada anak-anak mereka.



"Jika tidak berkemampuan, maka serahkan kepada asatizah yang diiktiraf," ujar beliau.



Dalam konteks Singapura, tambah Ustaz Fachruddin, terdapat pelbagai kelas agama di masjid-masjid berdekatan atau di madrasah mingguan yang boleh disertai dengan yuran yang setimpal, malah ada juga yang menawarkan secara percuma.



2. Sabar dan kuat



"Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)." (Luqman: 17).



Dunia yang nyata bukanlah indah dan berwarna-warni seperti yang disangkakan. Dugaan, cabaran, kekecewaan dan kesedihan sentiasa berlaku di depan mata.



"Sebagai bapa yang telah mengharungi onak dan duri, mereka perlu persiapkan keturunannya dengan perisai kekuatan dan kecekalan.



"Menjaga solat dan bersikap sabar adalah resipi terbaik untuk mengharungi liku-liku dan gelombang kehidupan," terangnya.



3. Jangan sombong



"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Luqman: 18).



Manusia tidak mampu hidup bersendirian. Kehidupan kadangkala berputar bagaikan roda, ada kala seseorang itu berada di atas dan ada ketika pula berada di bawah.



"Setiap bapa pasti sudah merasainya. Oleh sebab itu, menjadi peranan bagi setiap bapa menanam nilai rendah diri tetapi berisi, budi pekerti dan baik hati dalam jiwa anak-anak dan keturunannya kerana semua sifat ini disukai ramai," katanya lagi.



4. Lembutkan suaramu



"Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai." (Luqman: 19).



"Sekali lagi diingatkan kepada para bapa supaya menekankan amalan hidup bermasyarakat dalam diri anak-anak mereka supaya tidak berlaku kesombongan sehinggakan dalam gaya berjalan.



"Anak-anak juga perlu diajar melunakkan suara dan tidak bercakap perkara-perkara yang buruk seperti mengutuk, menghina, mengejek, merendahkan orang lain dan segala yang kurang enak baik secara lisan mahupun di media sosial.



"Kesemuanya yang tersebut di atas diaplikasikan oleh Rasul saw, malah penzahiran kasih sayang Rasulullah saw sebagai seorang bapa dan juga datuk kepada cucunya dapat kita tauladani menerusi contoh-contoh sunah yang kita boleh rujuk daripada pelbagai sumber yang sahih," kata Ustaz Fachruddin.



Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw pernah mencium cucunya, Sayidina Hasan, sedang pada waktu itu di samping baginda ada Aqra' ibn Habis At-Tamimi. Aqra' berkata: "Sesungguhnya aku mempunyai 10 anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka."



Rasulullah saw lalu memandang Aqra' dan bersabda: "Barang siapa yang tidak menyayangi, maka ia tidak akan disayangi."



Kesimpulan



Bapa atau ayah, yang memikul tanggungjawab yang besar, lazimnya tidak mengharapkan apa-apa daripada tanggungannya.



Kebahagiaan, kecukupan, keselamatan dan keselesaan keluarga adalah objektif mereka.



Namun Allah swt tetap memberikan ganjaran yang tinggi kepada mereka dengan pengampunan dosa, darjat yang tinggi dan keberkatan dalam hidup.



Sebagai anak, tidakkah terdetik dalam sanubari akan kehebatan peranan ayah, bapa, papa atau abi mereka?



"Mereka adalah hero kita - hero yang tidak meminta ganjaran, hero yang bergerak secara senyap tetapi berkesan.



"Lantaran itu, ucapkanlah kepada mereka 'terima kasih ayah atas segala yang telah dikorbankan'.



"'Terima kasih ayah atas segala sumbangan' dan ciumlah tangan mereka sebagai tanda penghargaan.



"Itulah sekecil-kecil penghargaan tetapi besar ertinya yang didambakan seorang bapa."




SEKILAS BIODATA



  • Ustaz Fachruddin Dzaki Mohamed ialah pengurus Masjid Ahmad Ibrahim. Beliau mendapat pendidikan daripada Institut Agama Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin Jambi, Indonesia. Beliau juga setiausaha persatuan Traditional Archers Singapore (TAS), yang menganjur dan mempromosikan kegiatan memanah tradisional di Singapura.


TERIMA KASIH AYAH, KAU HEROKU



"Mereka adalah hero kita - hero yang tidak meminta ganjaran, hero yang bergerak secara senyap tetapi berkesan.

Lantaran itu, ucapkanlah kepada mereka 'terima kasih ayah atas segala yang telah dikorbankan. Terima kasih ayah atas segala sumbangan' dan ciumlah tangan mereka sebagai tanda penghargaan.

Itulah sekecil-kecil penghargaan tetapi besar ertinya yang didambakan seorang bapa."
- Ustaz Fachruddin Dzaki Mohamed.




AMPUNAN DOSA PENGIKTIRAFAN BAGI PENGORBANAN BAPA



"Sesungguhnya di antara dosa-dosa itu, ada yang tidak dapat terhapus dengan puasa dan solat."

Maka para sahabat pun bertanya: "Apakah yang dapat menghapusnya, wahai Rasulullah?"

Rasulullah saw menjawab: "Bersusah payah mencari nafkah." (HR Thabrani)



"Siapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kededua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya." (HR Tabrani).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >