Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Rasulullah diutus untuk sempurnakan akhlak

Oct 07, 2021 | 05:30 AM



NABI Muhammad saw memperkenalkan agama yang telah disempurnakan oleh Allah swt dengan contoh tauladan daripada akhlak mulia baginda saw sendiri.



Baginda Nabi Muhammad saw bukan sahaja berucap dalam hadis-hadisnya tentang kepentingan berakhlak mulia, bahkan mempamerkan sikap yang indah, selayaknya dijadikan panduan oleh umat manusia yang bersaksi atas keesaan Tuhan dan kerasulan baginda saw.



Dari itu, jika kita mengaku sebagai seorang yang beragama dan ingin diiktiraf sebagai umat Nabi Muhammad saw, perlulah kita fahami inti agama yang sedang kita anuti, diterapkan dalam keperibadian kita dan menjadikannya sebagai pegangan hidup kita di muka bumi, tulis Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman dalam blog Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).



AKHLAK MULIA INTI AGAMA



Inti agama adalah akhlak yang mulia dan Nabi Muhammad saw adalah peribadi yang termulia sehingga dipuji oleh Allah swt dengan firman-Nya: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang tinggi." (Surah Al-Qalam: 4).



Sayidina Aisyah ra pernah meriwayatkan ketika ditanya tentang diri baginda saw dan beliau menjawab "akhlaknya adalah Al-Quran".



"Ungkapan ini menunjukkan betapa sempurnanya akhlak Nabi Muhammad saw. Seorang sahabat Baginda saw pernah menyifatkannya dengan berkata "Rasulullah saw adalah sebaik-baik manusia, pada rupa dan juga sikap".



"Baginda saw berperibadi yang lembut, bersantun, rendah hati, murah hati, dermawan, sangat mudah memaafkan dan sentiasa bersabar dalam apa jua situasi.



"Sifat dan sikap mulia baginda Nabi Muhammad saw merupakan akhlak yang dididik langsung oleh Allah swt," sambung Ustazah Nadia Hanim, Pengarah Alwafa dan Anggota Kehormat Majlis Tertinggi Pergas dalam tulisannya.



Sayidina Ibnu Abbas berkata "Nabi saw adalah orang yang paling murah hati. Kemurahan hati beliau paling menonjol pada Ramadan".



Sayidina Jabir juga menceritakan, "tidak pernah Baginda saw diminta sesuatu (oleh orang lain) lalu menjawab, tidak".



CARA NABI LAYAN KELUARGA



Rasulullah saw adalah yang terbaik terhadap ahli keluarga.



Rasulullah saw tidak pernah berlaku kasar kepada siapapun, apatah lagi terhadap ahli keluarganya.



Baginda saw memperlakukan dengan penuh kebaikan dan penghormatan terhadap para isterinya dan juga anak-cucunya.



Baginda saw membantu para isterinya dengan meringankan tugasan rumah tangga.



Sayidina Aisyah ra menceritakan: "Baginda saw biasa memperbaiki terompahnya, menjahit bajunya, melaksanakan pekerjaan dengan tangannya sendiri, seperti yang dilakukan salah seorang di antara kamu di dalam rumah."



Baginda saw mencuci pakaiannya, memerah air susu dombanya dan membereskan urusannya sendiri."



Rasulullah saw juga bersikap lembut dan menzahirkan rasa cinta kepada anak-cucunya. Setiap kali Sayidina Fatimah datang ke rumah baginda Nabi Muhammad saw dan jika mendapati ayahnya sedang duduk, baginda saw akan langsung berdiri, mencium kening anaknya dan membawanya ke tempat duduknya.



Pernah suatu ketika, seorang laki-laki yang bernama Alqamah melihat baginda Nabi Muhammad saw sedang memeluk dan mencium cucu-cucunya yang masih kecil, kemudian Alqamah pun berkata: "Aku mempunyai sepuluh orang anak dan tidak seorang pun daripada mereka aku ciumi".



Baginda saw pun berkata kepadanya: "Barangsiapa tidak mengasihani, tidak akan dikasihani (oleh Allah swt.)"



Sungguh benar bahawa Rasulullah saw adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan jika kita benar-benar mengikuti ajaran baginda saw nescaya kita juga akan bersikap baik, lembut, sabar dan mengasihani ahli keluarga kita.



Sayidina Aisyah ra meriwayatkan, Rasulullah saw telah bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku."



SIAPA ORANG PALING DEKAT DAN DICINTAI RASULULLAH



Di hari akhirat kelak, antara orang- orang yang beruntung kerana mendapatkan kemuliaan berada dekat dengan baginda Nabi Muhammad saw dan dicintainya bukanlah daripada golongan yang rupawan ataupun daripada golongan yang berpangkat dan berharta ketika di dunia, bahkan bukan juga daripada golongan yang kuat beribadah semata-mata.



Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara kamu dan yang paling dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat adalah yang paling baik akhlaknya."



Tidak ada salahnya untuk menjadi seorang yang kaya harta ataupun berpangkat ketika di dunia, namun perlu diingat bahawa kemuliaan yang didapati di dunia hanya akan menjadi sia-sia jika ia tidak terpandu dengan akhlak dan keperibadian mulia.



Kepada yang tidak dipandang mulia ataupun dicela manusia ketika hidup, tidak perlu khuatir kerana pandangan mulia yang paling berharga dan menguntungkan adalah pandangan mulia daripada Allah swt dan cara mendapatkan kemuliaan itu adalah dengan menjaga sikap, menahan lidah serta amarah, berakhlak baik dan juga menebarkan kebaikan terhadap siapapun ketika di dunia.



Rasulullah saw bersabda: "Tidak ada sesuatu pun yang lebih berat dalam timbangan seorang Mukmin di hari kiamat melainkan akhlak yang baik, dan sesungguhnya Allah sangat membenci orang yang suka berbicara keji dan kotor."



Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah Maha Pemurah, menyukai kedermawanan dan akhlak yang mulia serta membenci akhlak yang rendah dan hina."



Jika kita mengaku diri sebagai seorang yang beriman kepada Allah swt dan Rasul-Nya, perlulah kita memahami agama dengan sebaiknya dan cuba sedaya upaya meneliti ajaran baginda saw yang sejati, kerana seseorang itu tidak layak mengaku dirinya sebagai seorang yang beriman ketika dirinya berlaku kasar, menyakiti, berkata kotor dan bersikap jauh daripada ajaran baginda Nabi Muhammad saw.



SIAPA MUKMIN PALING SEMPURNA IMANNYA?



Rasulullah saw bersabda: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya."



Agama kita adalah sebuah manifestasi segala kebaikan, akhlak dan keperibadian mulia yang telah pun dicontohkan oleh peribadi yang termulia, baginda Nabi Muhammad saw sejak 1,400 tahun yang lalu.



Dari itu, agama yang kita anuti ini keseluruhannya adalah akhlak mulia yang dapat menuntun kita kepada keperibadian mulia.




Apa itu agama?



"Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw dan bertanya "apakah itu agama?"



Baginda saw menjawab: "Akhlak yang mulia."



(Hadis)




SEKILAS BIODATA



  • Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman ialah Pengarah Alwafa dan Anggota Kehormat Majlis Tertinggi Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >