Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Lelaki terkorban selamatkan jiran dari kebakaran di Labuan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Lelaki terkorban selamatkan jiran dari kebakaran di Labuan

Jan 26, 2024 | 03:15 PM



KOTA KINABALU: Kesyukuran terselamat dalam kebakaran tidak dapat mengubati kesedihan tujuh sekeluarga di Labuan, terhadap pemergian seorang jiran penyayang, Allahyarham Enal@Gillian Donald, yang meninggal dunia selepas membantu menyelamatkan mereka dalam tragedi itu.


Tindakan berani dan pengorbanan lelaki budiman itu bukan saja menyayat hati Encik Rogy @ Rothstewart James Pang sekeluarga yang terselamat, malah turut mengundang hiba warga maya yang mengenang kebaikan dan meratapi pemergian lelaki itu.

Encik Rogy berkata beliau tidak akan dapat melupakan jasa jirannya yang berkorban nyawa menyelamatkan beliau, isteri, ibu mentua dan empat anaknya ketika kediaman mereka di Merinding Garden, dekat Jalan OKK Daud, Labuan, terbakar pada awal pagi 24 Januari.

Arwah telah sempurna disembahyangkan di Masjid Jamek Likas dan dikebumikan di kawasan perkuburan Islam di Likas, Kota Kinabalu.

Kata Encik Rogy, pihak hospital mengesahkan Allahyarham Gillian, 41 tahun, meninggal dunia akibat sesak nafas terhidu asap kebakaran dan kepenatan selepas beliau dan seorang lagi jiran, Encik Mohd Zainal Tajuddin, berusaha menyelamatkan mereka yang terperangkap dalam rumah yang terbakar.

Arwah Gillian rebah selepas membantu keluarga Encik Rogy dan pengsan di jalan raya di depan rumah kira-kira 4 pagi, sebelum dikejarkan ke Hospital Labuan. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia pada 6.10 pagi.

“Apa yang berlaku kepada Gillian adalah tragis... dia menyelamatkan nyawa kami tetapi dia kehilangan nyawanya dan ia terus bermain di fikiran kami. Mereka adalah wira, tidak mementingkan diri sendiri walaupun keadaan agak bahaya.

“Tanpa membuang masa, mereka mencari jalan menyelamatkan anak perempuan saya yang menjerit dari bilik di tingkat atas. Keluarga saya terselamat kerana jiran kami, terutamanya Gillian dan Zainal,” kata Encik Rogy dalam nada suara bergetar menahan kesayuan.

Menceritakan kejadian, Encik Rogy berkata beliau dikejutkan dengan bahang panas dan menyedari bekalan elektrik terputus, sebelum mendapati kepulan asap sebaik membuka pintu bilik, di mana isteri dan anak perempuannya berusia lima dan 10 tahun tidur.

Dari balkoni, Encik Rogy berkata beliau dapat melihat jiran sudah berada di depan rumah dan ternampak Allahyarham Gillian dan Encik Zainal, 39 tahun, juga seorang pekerja minyak dan gas, cuba masuk untuk membantu mereka.

“Mereka berusaha menyelamatkan kami. Namun, kerana tangga tidak cukup panjang, saya terpaksa memegang anak perempuan sehingga pergelangan tangan dan menurunkan mereka kepada Gillian yang menunggu di atas tangga,” katanya lapor The Star.


Kejadian turut menyebabkan beberapa ahli keluarga Encik Rogy melecur dan dikejarkan di hospital, namun mereka berduka apabila doktor memberitahu arwah Gillian dalam keadaan kritikal.

“Kira-kira sejam kemudian, doktor beritahu Gillian tidak dapat diselamatkan dan ketika itu hati saya hancur. Saya turut memohon maaf kepada isteri Allahyarham atas apa yang berlaku, tetapi beliau tenang.

“Beliau katakan suaminya kehilangan nyawanya selepas menyelamatkan nyawa orang lain dan itu buat kami benar-benar terharu,” kata Encik Rogy sambil berjanji akan menjaga kebajikan keluarga Allahyarham Gillian sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya yang tidak terbalas itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >