Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

RENCANA

Ibu sara hidup lima anak dengan masalah kesihatan

Perlu bangkit setelah seorang lagi anak berusia tujuh tahun meninggal dunia akibat paru-paru berair pada 2016
Jul 30, 2023 | 05:31 AM



Pemergian salah seorang anak berusia tujuh tahun secara tiba-tiba pada 2016 telah membuat Cik Siti Aisah Abdul Mormin tidak keruan pada masa itu. 

Namun, beliau sedar tidak boleh terus ikutkan perasaannya dan perlu terus bangkit demi lima anak-anaknya yang lain, memandangkan beliau satu-satunya tempat mereka bergantung. 

Tambahan lagi, kesemua lima anaknya yang berusia antara empat dengan 17 tahun mempunyai masalah kesihatan dan perlu bergilir-gilir menjalani pemeriksaan doktor setiap beberapa bulan.

Mengimbas peristiwa sedih itu, Cik Siti Aishah, 44 tahun, berkata:

“Saya keluar sekejap pada masa itu, nak uruskan hal sekolah anak yang seorang lagi. Tiba-tiba saya terima panggilan dari abang dia, katanya arwah terbaring di tandas, tak bernafas lagi. 

“Saya terkejut pada masa itu, tak tau apa nak buat dah, fikiran semua melayang entah ke mana.”

Anaknya meninggal dunia setelah terjatuh di tandas semasa Cik Siti Aisah meninggalkan rumah buat seketika untuk menguruskan hal sekolah salah seorang anaknya yang lain. 

Arwah pada masa itu berada di rumah bersama salah seorang abangnya yang berusia sekitar sembilan tahun sementara anak Cik Siti Aisah lain yang lebih kecil dibawa bersamanya. 

Cik Siti Aisah dimaklumkan doktor bahawa anaknya itu mengalami masalah paru-paru berair, yang bertambah buruk apabila dia terjatuh. 

“Senang kata pada masa itu saya begitu tertekan, dengan ada orang yang di sekeliling saya yang menyalahkan saya,” kata Cik Siti Aisah. 

Menurut Cik Aisah, mereka sekeluarga telah menerima bantuan kaunseling dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan ini telah membantu beliau dan juga anak-anak untuk menghadapi situasi itu dengan lebih baik. 

Ini selain bantuan kewangan lain yang diterima dari badan-badan tertentu, termasuk dari Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, yang membantu memudahkan sedikit beban yang dipikul.

Meskipun belum bercerai buat masa kini, Cik Siti Aisah dan suaminya tidak tinggal bersama sejak 2018 dan beliau menjaga anak-anaknya seorang diri di rumah.

Menurutnya, suaminya itu hanya akan pulang ke rumah sekali sekala untuk menjenguk beliau dan anak-anak.

Menyukarkan keadaan, oleh kerana perlu menghantar anak-anaknya ke doktor dan hospital, Cik Siti Aisah tidak dapat bekerja sepenuh masa.

Malah, kerja sambilan juga agak sukar baginya.

“Sekarang kalau saya nak kerja susah kerana anak-anak saya banyak perlu berjumpa doktor, perlu dihantar ke hospital.

“Anak yang akhir ini pun mempunyai keperluan khas, jadi memang sukar untuk saya keluar bekerja,” katanya yang pernah bekerja selama setahun pada 2018 sebagai ‘porter’ di hospital.

Anak bongsunya yang kini berusia empat tahun mengalami beberapa masalah yang menjejas pembangunannya, termasuk masalah pertuturan dan juga ‘separation anxiety’ atau keresahan berpisah yang agak teruk.

Selain itu, anak sulungnya yang berusia 17 tahun juga perlu menjalani pemeriksaan perubatan beberapa bulan sekali.

Anak keduanya berusia 12 tahun pula mempunyai masalah tekanan dan perlu dihantar ke kaunseling.

Dua anaknya yang lain, berusia 15 tahun dan 10 tahun pula mempunyai masalah semput yang agak teruk.

“Dalam sebulan itu memang pelbagai pemeriksaan doktor, selepas satu-satu.

“Tapi demi anak-anak, saya sanggup lakukan apa sahaja, janji mereka sihat.

“Tapi kalau boleh, saya nak juga bekerja seperti dulu, sambilan pun tak mengapa,” katanya.

Namun, beliau bersyukur sekurang-kurangnya keperluan asas seperti makanan, lampin, dan yuran sekolah anak-anaknya dibantu badan-badan tertentu.

Selain bantuan baucar $400 setahun dari CDC North East,anak-anaknya turut menerima subsidi pengangkutan sebanyak $700 setiap tahun.

“Saya hanya berharap saya mampu berikan yang terbaik untuk anak-anak dan mereka dapat membesar tanpa merasakan mereka kekurangan,” kata Cik Siti Aisah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >