Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Kasih ayah ibu jaga anak hidap sindrom satu-satunya di S'pura

Sep 25, 2022 | 05:30 AM



SEDANG kanak-kanak seusianya sibuk berlari dan bermain di luar, Muhammad Mustaqim Hazrin hanya sekadar mampu menyaksikan mereka dari jauh.



Kegiatan fizikal seperti itu mungkin sekadar impian bagi kanak-kanak itu yang kini berusia tujuh tahun.



Malah, hingga kini dia masih memerlukan bantuan dalam melakukan kegiatan asas seperti makan, tidur dan berdiri dengan sendiri akibat sindrom FOXG1 yang dialaminya sejak dalam kandungan lagi.



Sindrom tersebut menjejas pembentukan dan perkembangan otak, antaranya menyebabkan hubungan antara bahagian kanan dengan kiri otak tidak dibentuk dengan betul.



Justeru, walaupun dia kini berusia tujuh tahun, dari segi perkembangan kognitif dia masih di tahap bayi lagi.



Memandangkan Muhammad Mustaqim memerlukan penjagaan 24 jam, ibunya, Cik Salbiyah Sinin, 49 tahun, memutuskan untuk berhenti bekerja sebagai seorang pekerja pembersihan supaya dapat menjaganya.



Ibu bapa Cik Salbiyah yang sudah uzur juga tinggal bersama keluarga tersebut dalam flat dua bilik mereka di Canberra.



Mereka kini bergantung pada pendapatan suami Cik Salbiyah, Encik Hazrin Husain, 44 tahun, yang bekerja sebagai seorang penyelia penghantaran di Ninja Van.



"Memang doktor sudah beritahu kami sejak dalam kandungan lagi, katanya otak anak kami seperti tak sempurna.



"Tapi memandangkan pada masa itu jantungnya masih lagi berdegup, saya beritahu doktor, kami nak anak kami," kata Encik Hazrin sambil menambah bahawa anaknya telah dilahirkan secara pramatang pada 33 minggu atau sekitar lapan bulan.



Menurut Encik Hazrin, doktor memberitahu mereka bahawa anaknya itu merupakan satu-satunya kes sindrom FOXG1 di Singapura.



Tambahnya, kebanyakan kajian kes sindrom tersebut dilakukan di Amerika Syarikat dan buat masa ini tiada ubat yang sesuai boleh diberikan kepada pesakit yang mengalami masalah tersebut.



Doktor juga memberitahu Encik Hazrin dan Cik Salbiyah bahawa anak mereka besar kemungkinan tidak akan dapat hidup seperti orang biasa dan akan memerlukan bantuan perubatan dan penjagaan sepanjang hayatnya.



Selain perlu berjumpa doktor beberapa kali sebulan untuk menilai keadaannya, pemakanan Muhammad Mustaqim juga perlu dijaga dengan teliti memandangkan dia tidak boleh makan makanan biasa dan memerlukan bijirin dan susu khas.



Setiap bulan Encik Hazrin akan memperuntukkan hampir $2,000 - hampir 80 peratus gaji yang dibawa pulang - bagi membiayai perbelanjaan perubatan dan keperluan anaknya itu.



Namun ada kalanya itu juga tidak mencukupi pada bulan-bulan tertentu, terutama sekali apabila anaknya itu perlu menjalani lebih banyak ujian atau rawatan di hospital.



Bagi Encik Hazrin "wang boleh dicari" namun beliau lebih prihatin akan keadaan isterinya yang mengalami masalah 'slip disc' (cakera teranjak pada tulang belakang) namun tetap perlu mendukung anak mereka memandangkan dia tidak boleh bergerak sendiri.



"Sebenarnya doktor dah tak bagi beliau angkat barang berat-berat lagi kerana masalah sakit belakang itu dah ganggu urat saraf.



"Tapi biasanya saya perlu 'overtime' untuk tambah perbelanjaan kami, dan kami juga tak mampu nak dapatkan pembantu rumah," ujarnya yang sudah bekerja dengan Ninja Van selama lima tahun.



Beliau juga bersyukur majikan dan rakan kerja yang lain memahami keadaannya, terutama sekali apabila beliau perlu mengambil cuti untuk menghantar anaknya ke hospital atau jika anaknya tiba-tiba buat perangai di rumah.



Ini merupakan salah satu tempoh mencabar kerana apabila menangis, Muhammad Mustaqim akan memukul dirinya dan boleh mengalami sawan atau tidak cukup oksigen jika tidak dapat berhenti.



Walau bagaimanapun, Encik Hazrin berkata mereka berlapang dada, malah 'berbangga' menerima dugaan tersebut.



"Saya banggalah, pasal anak saya seorang yang mengalami FOXG1 ini," selorohnya.



"Apa-apa pun, kami tetap bersyukur Tuhan nak duga kami seperti ini.



"Bagi saya, saya selalu fikir ada orang lagi susah daripada saya, sekurang-kurangnya Allah bagi saya cukup sifat untuk bekerja, ada orang lain tak ada tangan, tak ada kaki masih nak cari makan untuk keluarga," ujarnya, sambil menambah beliau akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi keperluan keluarga.



Beliau juga berharap dapat membekalkan wang simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan anaknya di masa depan agar tidak perlu bergantung kepada orang lain.



Namun, beliau akui tekanan yang dihadapi isterinya di rumah lebih tinggi.



"Saya cuba ingatkan dia, rahmat Tuhan luas dan kita akan terima yang lebih baik, walaupun mungkin bukan di dunia," katanya.




"Apa-apa pun, kami tetap bersyukur Tuhan nak duga kami seperti ini.

Bagi saya, saya selalu fikir ada orang lagi susah daripada saya, sekurang-kurangnya Allah bagi saya cukup sifat untuk bekerja, ada orang lain tak ada tangan, tak ada kaki masih nak cari makan untuk keluarga.

... Saya cuba ingatkan dia (isteri), rahmat Tuhan luas dan kita akan terima yang lebih baik, walaupun mungkin bukan di dunia."

- Encik Hazrin Husain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >