Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

WACANA

Pembelajaran lebih daripada setakat lulus periksa

Jul 23, 2023 | 05:30 AM



Peperiksaan dan keputusan peperiksaan penting, tetapi bukan paling penting dalam proses persekolahan.

Peperiksaan adalah satu kaedah mengukur keupayaan pelajar, tetapi bukan satu-satunya kayu ukur atau kaedah mutlak mengukur pencapaian pelajar.

Pembelajaran harus dapat membina modal insan yang menyeluruh, melebihi pencapaian akademik, yang akan membantu insan membina kehidupan.

Di satu majlis penyampaian anugerah pendidikan, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong berkata bahawa peperiksaan bukan unsur paling penting dalam laluan pendidikan.

Kenyataan beliau itu harus memberi kelegaan dan membetulkan sebarang salah tanggapan, jika ada, dalam kalangan pelajar dan ibu bapa yang terlalu menitikberatkan keputusan peperiksaan sehingga menimbulkan tekanan.

Singapura, sebagaimana kata Encik Lee, telah mengalihkan tumpuannya kepada pembelajaran dan bukan hanya kepada keputusan peperiksaan.

Pendidikan adalah mengenai pembangunan diri – pembangunan minda berteraskan ilmu pengetahuan, pembentukan akhlak, membina keupayaan berfikir, kemampuan menangani masalah dan cabaran, memupuk kepimpinan diri dan membina pelbagai kemahiran termasuk kemahiran sosial dan emosi.

Pembangunan menyeluruh ini tidak boleh diukur dengan keputusan peperiksaan. Maka itu, beberapa langkah mengurangkan penekanan kepada peperiksaan telah dimulakan.

Misalnya, pencapaian dengan mata kelulusan tertinggi tidak lagi terlalu diketengahkan. Mulai 2023, semua sekolah rendah dan menengah tidak lagi mengadakan peperiksaan pertengahan tahun.

Selain menimba ilmu pengetahuan secara langsung menerusi pelbagai mata pelajaran, pelajar digalak menyertai pelbagai kegiatan luar darjah atau kokurikulum (CCA).

Kegiatan CCA itu membantu memupuk pelbagai nilai dan membantu membentuk sikap dan keperibadian yang berguna dalam kehidupan.

Namun itu tidak bermakna pemerintah mengetepikan pencapaian akademik.

Sebagaimana dijelaskan Encik Lee, pemerintah akan memastikan terdapat sekolah bermutu tinggi dan membantu pelajar mencapai potensi sepenuhnya. Namun, ia bersifat inklusif – meraikan pelajar dengan kecenderungan dan kemampuan yang berbeza.

Sistem pendidikan yang baik menerima hakikat bahawa perbezaan sikap, minat, kecenderungan, pertumbuhan dan beberapa aspek lain dicorak oleh pelbagai faktor termasuk sokongan keluarga, pendedahan, sekitaran sosial dan sebagainya.

Lantas, ada pelajar yang memang cenderung pada akademik dan ada yang lebih cenderung pada seni, pertukangan, sukan dan sebagainya.

Maka itu, peperiksaan tidak boleh menjadi kayu ukur mutlak kerana peperiksaan hanya mengukur aspek akademik.

Sistem pendidikan yang baik akan mengiktiraf dan memberi bantuan dan sokongan kepada pelajar agar dapat mengembangkan potensi dalam pelbagai kecenderungan.

Dunia terus berputar dengan membawa pelbagai perubahan dan cabaran. Sebagai negara kecil, Singapura bukan sahaja perlu sentiasa bersedia membuat penyesuaian dan mendakap perubahan, malah harus berada di hadapan.

Sistem pendidikan yang baik akan dapat menyiapkan setiap rakyat dengan asas yang diperlukan bagi memenuhi tuntutan ini – sistem menyuntik minat dan mencetus keinginan berpanjangan untuk menambah ilmu pengetahuan, sedia mendakap perubahan dan sedia meningkatkan diri dengan memperbaharui kemahiran dan pengetahuan selepas persekolahan.

Sikap ini akan membolehkan pelajar menjalani hidup bermakna dan menyumbang dalam lingkungan kehidupannya, dan mampu terus bertakat dalam kehidupan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >