Bekas pengetua akui bohong tentang hubungan seks dengan vendor sekolah

BEKAS pengetua Sekolah Tinggi River Valley (RVHS), Koh Yong Chiah, mengaku bersalah pada Jumaat (18 Dis) memberi maklumat palsu kepada penjawat awam mengenai hubungan sulitnya dengan seorang vendor yang dia beri kontrak sekolah bernilai berjuta-juta dolar.

Koh, 61 tahun, mengaku berbohong kepada seorang pegawai kanan Kementerian Pendidikan (MOE), Cik Chia Ban Tin, pada 24 November 2005 mengenai hubungan sulitnya dengan pembekal perkhidmatan Loke Wai Lin.

Cik Chia kemudian mengemukakan laporan kepada Ketua Pengarah MOE (DGE) bahawa tidak ada salah laku dilakukan Koh.

Pada masa itu, Koh pengetua Maktab Rendah Jurong (JJC).

Cik Loke, kini 55 tahun, pengarah dan pemegang saham majoriti syarikat Education Architects 21 (EA 21) dan Education Incorporation (EI), yang menyediakan perkhidmatan logistik berkaitan pendidikan dan aneka logistik bagi JJC.

Koh pengetua JJC dari Januari 2003 hingga Disember 2009.

Apabila dia berpindah ke RVHS pada Disember 2009, beliau juga memberi perkhidmatan kepada RVHS.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Navin Naidu berkata pada 2012 bahawa Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menerima maklumat awam bahawa Koh disyaki terbabit dalam urusan rasuah dengan Cik Loke.

Terdapat juga dakwaan berkaitan salah laku dalam proses perolehan, disebabkan hubungan peribadi intim antara Koh dan Cik Loke.

Mereka mengadakan hubungan seks buat pertama kali semasa lawatan khidmat masyarakat sekolah ke Lijiang City, China, pada Mac 2001. Koh membeli dua cincin emas sebagai ikrar cinta mereka.

Cik Loke berpisah daripada suaminya pada 2004 dan mereka bercerai setahun kemudian.

Antara Mei dan November 2005, atas kedudukannya sebagai pihak berkuasa terakhir meluluskan kontrak bagi JJC, Koh memberi kontrak bernilai $162,491 kepada EA 21. Dia tidak mendedahkan sifat hubungannya dengan Cik Loke kepada panel kelulusan sebut harga.

Koh disoal selepas DGE menerima aduan tanpa nama pada November 2004 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Cik Loke, dan mereka berkelakuan tidak sesuai di kawasan sekolah dan dalam lawatan sekolah di luar negara.

Mahkamah diberitahu bahawa kontrak JJC terakhir yang diberi kepada EA 21 ialah pada Oktober 2006.

Pada tahun berikutnya, Cik Loke menubuhkan EI untuk membida kontrak dengan JJC.

Koh memberi lebih 48 kontrak kepada EI tanpa mendedahkan hubungan peribadi intimnya dengan Cik Loke.

Pada Disember 2009, Koh menjadi pengetua RVHS. Antara Mac 2010 dan Julai 2012, dia meluluskan 39 kontrak untuk EI.

Antara 2005 dan 2012, Koh meluluskan kontrak bernilai $3.2 juta kepada EA 21 dan EI.

Perbicaraan di depan Hakim Daerah Hamidah Ibrahim sedang berjalan.

Hukuman maksimum ialah penjara enam bulan dan denda $ 1,000.

Pertuduhan kedua bahawa Koh berbohong kepada CPIB pada 2012 akan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 36
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.