SEKITAR RAMADAN

Duka ibu kian terubat lihat parut lecur pada anak beransur kurang

RAMADAN lalu, hati Cik Mashitah Abdullah berkecamuk sehingga mengalami kemurungan kerana perlu berhadapan dengan soalan bertubi-tubi yang diajukan orang sekeliling mengenai kejadian malang yang menimpa putera kesayangannya, Aafaa Zuhayr Muhammad Al-Khair.

Anaknya yang ketika itu berusia 15 bulan mengalami kelecuran tahap kedua, selepas minyak panas di dalam kuali leper dikatakan tersimbah pada wajah, tangan dan badannya.

Namun Ramadan kali ini hati ibu berusia 32 tahun ini lebih tenang dan bersyukur melihat kemajuan pada Aafa yang kini berusia dua tahun.

Parut besar pada wajah Aafa masih ada tetapi beliau dan suaminya, Encik Muhammad Al-Khair, yakin satu-satunya anak kesayangan mereka itu akan pulih seperti sediakala.

"Selepas kejadian itu, saya tidak sangka ramai ibu yang anak mereka mengalami kelecuran lebih teruk daripada Aafaa daripada pelbagai pelosok dunia, termasuk sejauh Iceland, memberikan kata-kata perangsang kepada saya melalui Facebook.

"Bekas pramugari SilkAir, Cik Farzana Abdul Razak, yang juga mengalami kelecuran teruk apabila pesawat SQ006 terbakar, turut memberi saya semangat bahawa Aafaa akan pulih, cuma ia memakan masa sahaja," kongsinya sambil mengalirkan air mata mengenang sokongan dan doa tidak putus-putus daripada orang awam yang kebanyakannya tidak beliau kenali.

Kejadian itu telah menyebabkan trauma pada Aafaa sehingga anak kecil itu boleh tiba-tiba menangis kerana kegatalan yang teramat sangat pada parutnya.

Aafaa juga, menurut Cik Mashitah, kini lebih pendiam.

"Ada kalanya dia macam takut apabila kami nak bawa dia keluar. Mungkin dia fikir kami akan membawanya ke hospital lagi," ujar beliau.

Sejak kejadian itu, Aafaa telah melalui beberapa pembedahan pada wajahnya, termasuk menjalani pembedahan hampir setiap bulan di Korea Selatan.

Menurut Cik Mashitah, beliau mengetahui tentang Hospital Hangangsoo Pusat Parut dan Terbakar Global itu apabila menonton program di saluran kabel Korea, KBS World.

"Kali pertama saya ke sana, kesemua doktor dan jururawat tidak boleh berbahasa Inggeris.

"Meskipun ada penterjemah, penjelasan yang diberi kurang jelas.

"Semua dokumen juga dalam bahasa Korea.

"Namun saya tawakal saja dan naluri ibu saya berkata, Aafaa harus menjalani pembedahan di hospital tersebut," katanya.

Berkat doanya, Aafaa mula menunjukkan kemajuan.

Setiap bulan selama dua minggu, beliau tiga beranak akan ke Korea bagi mendapatkan rawatan.

Kos pembedahan sahaja sudah menelan belanja lebih $10,000 dan ini belum termasuk kos penerbangan dan penginapan.

Cik Mashitah, yang sudah berhenti kerja dalam bidang hartanah, kini menjaga Aafaa sepenuh masa kerana masih sukar mempercayai pembantu rumah.

Beliau kini menjual produk Magic Jelly yang mengandungi lidah buaya atau aloe vera. Produk itu disapukannya beberapa kali setiap hari pada wajah Aafaa.

Anaknya kini mengalami parut jenis hypertrofic di mana ia menjadi gelembung sehingga mula terkena bahagian bawah mata.

"Sebab itu saya akan usaha seberapa yang boleh agar ia tidak menjejas penglihatan Aafaa pula," ujarnya lagi.

Namun apa yang membuat Cik Mashitah amat terharu ialah apabila beliau pula menjadi sumber sokongan kepada para ibu lain yang anak mereka juga mengalami kelecuran.

Pernah sekali seorang wanita India mengirimkan mesej kepadanya melalui Facebook meminta nasihatnya.

Anak wanita itu tertarik periuk nasi yang sedang bergelegak panas menyebabkan kelecuran teruk pada badannya.

"Semua yang terjadi pasti ada hikmahnya. Siapa sangka kini saya pula menjadi sumber sokongan kepada ibu-ibu lain yang sedang panik apabila berdepan dengan situasi yang sama seperti saya.

"Apa yang saya pelajari daripada insiden ini ialah sebagai ibu, kita perlu kuatkan semangat, terutama apabila kita tahu anak kita perlu menjalani pembedahan.

"Jika kita takut, anak kita akan jadi takut dan bagi kanak-kanak, ini akan menyukarkan lagi proses penyembuhan mereka," nasihatnya lagi.

Menjelang Syawal ini juga, menurut Cik Mashitah, beliau akan keluar berjumpa sanak saudara pada sebelah malam atau apabila hujan kerana terik mentari boleh menyebabkan kegatalan pada parut anaknya itu.

"Saya amat berterima kasih kepada semua, tidak kira saya kenal secara peribadi ataupun tidak, kerana mengambil berat tentang Aafaa dan berdoa agar dia cepat sembuh. Saya amat amat berterima kasih," katanya lagi sambil bergenang air mata.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 23
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.