Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ecda mohon maaf, arah Kinderland buat semakan segera susuli kes dera murid

Agensi akan pantau rapi semua prasekolah Kinderland, lakukan lebih kerap pemeriksaan tanpa pemberitahuan
Sep 04, 2023 | 08:16 PM



Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) telah memohon maaf dan mengarahkan ibu pejabat Kinderland melakukan semakan bebas terhadap amalan pengurusan murid di kesemua 17 prasekolahnya.

Ibu pejabat Kinderland kemudian mesti melaporkan kepada Ecda mengenai penemuan dan cadangan semakan tersebut dalam tempoh tiga bulan.

Dalam tempoh itu juga, Ecda akan memantau rapi semua prasekolah Kinderland serta melakukan lebih kerap pemeriksaan tanpa pemberitahuan terhadap amalan pengurusan bilik darjahnya.

Ini berikutan kes-kes penganiayaan murid di dua prasekolah Kinderland – Kinderland@Woodlands Mart dan Kinderland@Sunshine Place di Choa Chu Kang – yang mendapat liputan baru-baru ini.

Dalam taklimat kepada media di ibu pejabat Ecda di Cuppage Road pada Isnin, agensi itu turut mendedahkan bahawa bagi kes penganiayaan murid di Kinderland@Woodlands Mart, ia telah memberi amaran, mengenakan denda $5,000 ke atas pengendali dan mengurangkan tempoh lesennya kepada enam bulan berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan media pada Isnin, Ecda juga mengakui ia sepatutnya bertindak lebih pantas dalam menarik keluar seorang guru yang dikenal pasti sebagai ‘Guru A’, yang dirakam memberi makan secara paksa dan memukul seorang kanak-kanak, daripada peranannya dalam bilik darjah di Woodlands Mart.

Guru tersebut, Lin Min, 33 tahun, telah ditahan polis kerana didakwa mendera kanak-kanak.

Ecda berkata, ia mula menyiasat kes itu pada 11 Ogos lalu setelah aduan dibuat oleh seorang pemberi maklumat.

Berikutan siasatan itu, pegawai Ecda telah menilai bahawa langkah penyeliaan yang mencukupi telah dilaksanakan oleh prasekolah itu untuk mengurangkan risiko kepada keselamatan kanak-kanak semasa siasatan sedang dijalankan.

Bagaimanapun, pegawai itu gagal mengeluarkan guru tersebut daripada tugas bilik darjah dengan serta-merta, yang merupakan protokol yang ditetapkan bagi kes-kes dengan bukti jelas bahawa keselamatan kanak-kanak terancam.

Akur ia sepatutnya telah bertindak dengan lebih baik, Ketua Pegawai Eksekutif Ecda, Encik Tan Chee Wee, berkata:

“Kami memohon maaf kerana tidak mengarahkan Kinderland untuk segera mengeluarkan pendidik itu daripada peranan bilik darjahnya sementara siasatan sedang dijalankan. Kami akan mengukuhkan protokol dan latihan pegawai kami.”

Dalam siasatan di prasekolah tersebut juga, Ecda mendapati seorang lagi pendidik yang digelar ‘Guru B’ telah menggunakan kaedah tidak sesuai untuk menyekat pergerakan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di bawah jagaannya sebanyak dua kali.

‘Guru B’ telah menarik baju kanak-kanak itu dan menyelubung bahagian belakang baju ke bahagian belakang kerusi serta menggunakan tali pinggang daripada kerusi bayi untuk memastikan kanak-kanak itu kekal duduk di kerusinya.

Ecda telah memberi amaran kepada ‘Guru B’ dan meletakkannya di bawah pengawasan rapi selama tiga bulan serta menyertai latihan ulangan berkaitan strategi pengurusan kanak-kanak.

Pengetua prasekolah itu juga tidak menjalankan “pengawasan mencukupi” ke atas kakitangannya dan “gagal menghalang penggunaan kaedah pengurusan kanak-kanak yang tidak sesuai di prasekolah”, kata Ecda.

Beliau tidak lagi boleh menjadi pengetua di prasekolah dan telah diberi amaran.

“Ecda akan mempertimbangkan kesesuaiannya sebagai pengetua selepas beliau menamatkan latihan ulangan atau selepas tempoh dua tahun, yang mana lebih panjang,” tambah Ecda dalam kenyataannya.

Bercakap kepada media setelah taklimat berakhir, Encik Tan berkata:

“Ecda meletakkan keutamaan atas keselamatan kanak-kanak dan membuat langkah susulan terhadap semua laporan salah urus kanak-kanak.

“Kami tidak membenarkan tindakan salah urus kanak-kanak dan keutamaan kami adalah untuk meminimumkan bahaya selanjutnya kepada kanak-kanak semasa siasatan sedang dijalankan.

“Jika terdapat bukti jelas bahawa terdapat bahaya kepada keselamatan kanak-kanak, kami akan segera mengalih keluar pendidik daripada tugas bilik darjah yang melibatkan penjagaan anak-anak sehingga kami menyelesaikan siasatan kami.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >