Heng Swee Keat 'pikul beban luar biasa' sebagai tokoh utama Kabinet

MENTERI Kewangan Heng Swee Keat, yang mengalami angin ahmar pada Khamis (12 Mei), memikul "beban luar biasa" sebagai tokoh utama dalam Kabinet.

Dalam pos Facebook pada Khamis, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyifatkan beliau sebagai "anggota bernilai pasukan saya".

Menteri Ehwal Luar merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata dalam pos Facebook Encik Heng "memikul beban luar biasa, mengendalikan Kementerian Kewangan, pelbagai projek penting, termasuk SG50 dan Jawatankuasa bagi Ekonomi Masa Depan (CFE) - Jawatankuasa ini mempunyai tugas penting dalam menentukan hala ekonomi masa depan".

Encik Shanmugam berkata beliau dapat melihat Encik Heng "sangat penat", sambil menambah: "Saya telah memberitahu beliau bahawa beliau bekerja terlalu teruk dan ia akan menjejas kesihatannya."

Seorang anggota utama kepimpinan generasi keempat, Encik Heng menyertai Pemerintah selepas Pilihan Raya Umum (GE) 2011 dan menerajui portfolio berat Pendidikan sebelum berpindah ke Kementerian Kewangan dalam Kabinet baru yang dibentuk selepas GE2015.

Timbalan pengarah bagi penyelidikan Institut Kajian Dasar, Dr Gillian Koh, berkata: "Encik Heng telah memberi sumbangan berharga bukan kepada Pemerintah sahaja, bahkan banyak pihak dalam masyarakat, seperti kumpulan perniagaan.

"Mereka akan mengiktiraf sumbangan beliau kepada kehidupan mereka dan sudah tentu mengharapkan lebih banyak."

Encik Heng menyampaikan kenyataan Belanjawan sulungnya Mac lalu, yang pemerhati berkata menyediakan dorongan bagi syarikat kecil dan sederhana dalam suasana ekonomi tidak menentu.

Sebagai ketua CFE, beliau bertanggungjawab dalam melihat pembangunan ekonomi peringkat seterusnya Singapura.

Encik Heng berada di Frankfurt, Jerman, minggu lalu untuk menghadiri mesyuarat tiga hari para menteri kewangan dan gabenor bank pusat Asean, China, Jepun dan Korea Selatan.

Encik Liang Eng Hwa, yang mempengerusikan Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Kewangan dan bekerja bersama Encik Heng, berkata walaupun sibuk, Encik Heng "berusaha sedaya upaya menghadiri majlis yang dianjurkan oleh pemimpin perniagaan dan akar umbi, untuk mengetahui keadaan di lapangan dengan lebih baik".

Pemerhati berkata Encik Heng dikenal pasti dari awal berpotensi menjadi Perdana Menteri.

Selepas dipilih menjadi Anggota Parlimen (AP), beliau segera dilantik sebagai menteri penuh - hanya kali kedua seorang AP baru terus dimasukkan ke dalam Kabinet. Beliau juga diberi pelantikan berprofil tinggi lain di samping portfolio beratnya.

Tahun lepas, beliau mengetuai jawatankuasa pemandu yang menyelia sambutan Jubilee SG50. Beliau juga mengetuai siri dialog Sembang Singapura Kita yang selama setahun pada 2013.

Dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Heng salah sorang daripada dua pemimpin generasi keempat yang diberi peranan utama selepas GE2015 September lalu.

Encik Lee memberi beliau tugas menganalisis prestasi GE2015 parti itu, dan beliau juga pengerusi ganti jawatankuasa eksekutif ibu pejabat parti tersebut.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 46
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.