Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kadar wanita Melayu jalani ujian barah buah dada kekal terendah

Oct 15, 2023 | 05:30 AM



Tahap kesedaran mengenai pemeriksaan barah buah dada dalam kalangan wanita di Singapura adalah tinggi.

Namun, jumlah mereka yang menjalani pemeriksaan kekal rendah dan tidak meningkat sejak beberapa tahun lalu.

Demikian dinyatakan oleh pengerusi Jawatankuasa Penganjur Bulan Kesedaran Barah Buah Dada (BCAM) 2023, Penolong Profesor Samuel Ow.

Bahkan, kadar wanita Melayu yang menjalani pemeriksaan barah buah dada terus berada di tahap paling rendah berbanding wanita India dan Cina.

Ini merupakan satu kebimbangan memandangkan ia adalah barah yang paling biasa dihidapi wanita Singapura dan kesnya semakin meningkat.

“Satu tinjauan melibatkan lebih 1,000 wanita di Singapura (Sejarah Akademi Perubatan Singapura 2015) menunjukkan majoriti (96.6 peratus) bersetuju bahawa pemeriksaan bagi barah buah dada adalah penting dan ramai (85.7 peratus) bersetuju bahawa pemeriksaan harus dilakukan secara kerap.

“Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2022 menunjukkan 96 peratus wanita berusia 50 hingga 69 tahun yang ditinjau tahu tentang mamografi.

“Namun, jumlah mereka yang menjalani pemeriksaan barah buah dada tidak meningkat sejak bertahun-tahun lalu – seperti yang dibuktikan NPHS 2022,” kata Dr Ow, yang juga Konsultan Kanan Jabatan Hematologi-Onkologi, Institut Barah Universiti Nasional, Singapura (NCIS).

Meskipun perangkaan NPHS 2022 menunjukkan 96 peratus wanita berusia 50 hingga 69 tahun tahu tentang mamogram, hanya 37.6 peratus wanita telah menjalani pemeriksaan dalam tempoh dua tahun lalu – naik sedikit daripada 31.1 peratus pada 2021.

Jika dilihat perangkaan mengikut kumpulan etnik, peratusan wanita Melayu yang menjalani pemeriksaan barah buah dada terus berada di tahap paling rendah pada 21.5 peratus berbanding wanita India (43.9 peratus) dan Cina (39.5 peratus).

Berdasarkan tinjauan oleh Jabatan Pembedahan Buah Dada Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura pada 2022 melibatkan hampir 300 wanita Melayu/Islam, Dr Ow berkata mungkin terdapat beberapa sebab mengapa kadar pemeriksaan adalah rendah dalam golongan itu.

“Tinjauan itu menunjukkan beberapa halangan yang menonjol bagi pemeriksaan termasuk keprihatinan tentang isu aurat, penilaian bahawa cabaran dalam hidup adalah hukuman daripada Allah yang memberikan bukti bahawa masyarakat dan asatizah boleh memainkan peranan dalam menggalak wanita Melayu/Islam tentang kepentingan pemeriksaan.

“Halangan lain termasuk risiko rendah barah buah dada yang dirasakan (jika tiada tanda), kos pemeriksaan dan pendapatan isi rumah yang rendah,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, pula berkata terdapat beberapa faktor berjalin yang menyumbang kepada trend lebih ramai wanita Melayu tidak menjalani pemeriksaan.

Ini seperti wujud isu salah maklumat dan kurang pengetahuan tentang kepentingan dan potensi manfaat menyelamatkan nyawa melalui pemeriksaan barah, rasa takut dan bimbang tentang keputusan atau prosedur pemeriksaan, dan isu budaya dan agama yang membuat wanita menyifatkan pemeriksaan sebagai “tidak selesa, mengganggu dan mungkin berdosa”.

Encik Yusof menambah bahawa peranan dan tanggungjawab wanita Melayu sebagai suri rumah dan penjaga juga tidak boleh dipandang remeh kerana dedikasi mereka terhadap keluarga dan tanggungjawab rumah sering menyebabkan mereka tiada masa dan sumber untuk penjagaan kesihatan peribadi.

“Tambahan pula, pengaruh pasangan dan ahli keluarga, terutamanya suami, boleh memberi impak yang mendalam dalam membuat keputusan penjagaan kesihatan.


“Sikap dan pendapat suami mungkin memainkan peranan penting dalam menghalang isteri mereka daripada menjalani pemeriksaan barah,” kata beliau.


Justeru, selain usaha pendekatan dan pendidikan untuk wanita, Encik Yusof berkata Persatuan Ain turut menyediakan pendidikan dan sumber mengikut konteks yang disesuaikan untuk kaum lelaki.


“Dengan memastikan lelaki dimaklumkan tentang barah buah dada, prosedur pemeriksaan dan kepentingan pengesanan awal, mereka menjadi sekutu yang menyokong dalam menggalak wanita dalam kehidupan mereka menjalani pemeriksaan barah buah dada,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >