Kapten bot S'pura hadapi hukuman jel dek ceroboh perairan Indonesia

JAKARTA: Pendakwa raya Indonesia menuntut agar seorang kapten bot Singapura, yang ditangkap menceroboh di perairan Indonesia, dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan botnya diletupkan dan ditenggelamkan di bawah undang-undang perikanan negara itu

Kapten Choo Chiau Huat, yang mempunyai tujuh warga Singapura dan enam rakyat Malaysia sebagai penumpang di atas botnya, Selin, ditangkap pada 16 April di perairan Tanjung Berakit, di luar pulau Bintan.

Dia juga menghadapi denda 1.5 bilion rupiah ($152,000).

Semua penumpang dihantar pulang kira-kira seminggu selepas penangkapan itu.

Pendakwa Yuri Prasetyo memberitahu akhbar The Straits Times beliau secara rasmi akan membacakan tuntutan terhadap Choo di mahkamah daerah Tanjung Pinang hari ini atau minggu ini.

"Kami menuntut hukuman maksimum di bawah undang-undang perikanan 2004," kata Encik Yuri, sambil menambah surat permintaan rasmi dari pejabat Peguam Negara di Jakarta akan dihantar ke pejabatnya tidak lama lagi.

"Ia sebuah kapal tunda yang diubah suai menjadi sebuah kapal nelayan dan ia memasuki Indonesia tanpa permit. Bot itu mempunyai pukat di sekitarnya," hujah Encik Yuri, untuk menyokong tuduhan beliau terhadap Choo.

Bagaimanapun, peguam warga Singapura itu, Encik Herman Black, berkata hukuman yang diminta pendakwa raya berlebihan dan tidak melambangkan hubungan kejiranan baik antara Indonesia dan Singapura.

Encik Herman mempersoal langkah mendakwa anak guamnya, memandangkan kes itu, hujah beliau, adalah satu kes pencerobohan berkaitan pelancongan biasa kerana Choo membawa pelancong untuk kegiatan memancing rekreasi di perairan Singapura tetapi botnya hanyut ke perairan Indonesia.

Di banyak negara bersempadan antara satu lain, sesiapa yang memasuki negara yang lagi satu secara tidak sengaja atau kerana cuaca tidak menentu harus dengan segera dihantar pulang, tambah Encik Herman.

Beliau berkata ada banyak kes nelayan Indonesia dan Malaysia dihantar pulang disebabkan itu.

"Mengapa mereka mengenakan pelanggan saya tuduhan undang-undang perikanan? Bot pelanggan saya hanya sebuah bot nelayan rekreasi. Bukti yang mereka rampas hanya sejumlah 20 ikan, bermakna setiap orang yang berada di atasnya mendapat kira-kira seekor ikan saja," tambah Encik Herman.

Choo sebelum itu memberitahu mahkamah dia diupah oleh seseorang di Singapura yang dikenalinya sebagai Michael Tan, yang syarikatnya, Tourism Marine, mengenakan pelanggan $3,800 seorang bagi kegiatan memancing itu.

Waktu Solat

Subuh
5:52
Syuruk
7:14
Zuhur
1:17
Asar
4:40
Maghrib
7:18
Isyak
8:31
3 HR PSI: 68
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.