LAWATAN PRESIDEN CHINA XI JINPING KE SINGAPURA

Ke arah hubungan dua hala baru S’pura-China

SINGAPURA dan China akan menggunakan satu rangka kerja strategik baru yang bertujuan memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala, sedang dua negara itu menandakan 25 tahun dalam hubungan diplomatik.

Presiden Tony Tan Keng Yam dan Presiden China Xi Jinping, yang tiba di Singapura semalam bagi satu lawatan rasmi, dijangka mengumumkan rangka kerja itu di jamuan negara malam tadi, menurut satu laporan The Straits Times semalam.

Maklumat lanjut tentang rangka kerja baru itu – kemungkinan dipanggil “perkongsian kerjasama menyeluruh mengikut peredaran masa” – dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Dalam ucapannya di upacara menyambut kunjungan Encik Xi di Istana semalam, Dr Tan berkata beliau yakin China akan terus berjaya di bawah kepimpinan Encik Xi.

“Keyakinan Singapura dalam masa depan China paling baik dipaparkan menerusi pelaburan berterusan kami ke China,” ujar Dr Tan.

Turut dijangkakan dalam lawatan dua hari Encik Xi itu adalah usaha mempertingkatkan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) China-Singapura dan pelancaran projek ketiga diterajui pemerintah di rantau barat China yang bertemakan perhubungan dan perkhidmatan moden.

Hubungan rapat di semua peringkat serta usaha berterusan mencari bidang kerjasama baru membentuk asas hubungan dua hala, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Encik Xi dalam laporan berasingan semalam.

Dalam satu wawancara dengan akhbar Lianhe Zaobao, Encik Lee berkata pertemuan kerap di kalangan pemimpin tertinggi menawarkan peluang mengenal dan memahami satu dengan lain.

Dalam satu esei bertulis, Encik Xi berkata hubungan dua hala antara Singapura dengan China telah membangun dengan pantas sepanjang 25 tahun lalu.

China kini rakan dagang Singapura yang terbesar, dan nilai dagangan dua hala mencapai AS$79.74 bilion ($112 bilion) – satu kenaikan 28 kali ganda berbanding dua dekad lalu.

Hari ini, Encik Xi akan bertemu dengan pemimpin Taiwan, Encik Ma Yingjeou – pertemuan pertama pemimpin kedua-dua belah pihak selepas berakhirnya perang saudara pada 1949. Encik Xi akan turut menemui Encik Lee dan menyaksikan majlis tandatangan beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) dan perjanjian.

Ini termasuk pertukaran surat bagi pelancaran rasmi perundingan peningkatan Perjanjian Dagangan Bebas China-Singapura, perjanjian berkaitan projek antara pemerintah yang ketiga di barat China, kerjasama pendidikan, pengurusan bandar dan kerjasama antara pihak kastam.

Encik Xi dan isterinya, Cik Peng Liyuan, juga akan mengunjungi Kebun Bunga Singapura. Sejenis anggerik hibrid “Papilionanda” akan dinamakan sempena nama mereka.

Encik Lee dan isterinya, Cik Ho Ching, juga akan mengadakan jamuan tengah hari privet bersama pasangan itu.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.