Kecoh apabila kanak-kanak terperangkap dalam lori...

MELIHAT ramai yang memakai baju kurung Melayu, pada awalnya Encik Hasanuddin Johar sangkakan ia sekadar keluarga Melayu yang berlegar-legar berdekatan dengan lori di tempat letak kereta kerana baru sahaja pulang dari kunjung-mengunjung.

Beliau yang baru sahaja pulang daripada mengunjungi rumah anak perempuannya di Blok 302A Woodlands Street 31 kelmarin tidak terfikir sesuatu yang serius sedang berlaku.

Tetapi apabila diberitahu daripada seseorang yang lalu-lalang di situ bahawa ada seorang kanak-kanak berusia 20 bulan yang terperangkap di dalam lori, Encik Hasanuddin, yang merupakan Pegawai Waran Kanan (SWO) Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), rasa terpanggil untuk membantu menyelamatkan budak tersebut.

Usahanya menyelamatkan kanak-kanak itu menjadi 'viral' apabila anak keduanya, Encik Muhammand Noor Affiq Hasanuddin, 27 tahun, memuat naik gambar ke laman Facebooknya.

Difahamkan budak lelaki yang sudah terperangkap lebih 30 minit itu tertekan kunci yang boleh mengunci kededua pintu pemandu dan penumpang secara automatik dari dalam lori.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Encik Hasanuddin, 57 tahun, berkata berdasarkan penilaiannya, tingkap lori itu tidak harus dipecahkan kerana ini boleh menyebabkan kecederaan pada kanak-kanak berkenaan.

"Saya perhatikan mereka yang sedang membantu cuba memasukkan batang logam dari tepi pintu jadi saya terfikir mengapa tidak saya masukkannya dari atas pintu lori itu.

"Saya pun memanjat lori itu meskipun ia sesuatu yang agak sukar bagi saya kerana saya perlu menggunakan segala tenaga bahagian atas tubuh.

"Memandangkan saya tidak nampak arah mana batang logam itu, saya terima arahan yang diberikan keluarga kanak-kanak itu.

"Alhamdulillah, dengan kerjasama semua pihak, pada kali kedua barulah kami dapat menarik kunci itu."

Mengenai tindakan bapanya itu, Encik Muhammand Noor Affiq yang sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Perkapalan di Britain dan kembali ke Singapura untuk beraya berkata:

"Selama 34 tahun bapa saya jadi pegawai bomba, inilah kali pertama saya dapat melihat cara beliau menyelamatkan orang."

Sementara itu, ibu kanak-kanak yang terperangkap itu yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Zuliyana, 36 tahun, ketika dihubungi BH berkata keluarganya baru sahaja selesai berkunjung dari rumah kakaknya dan mahu bergerak ke rumah adiknya apabila kejadian itu berlaku.

Suaminya telah meletakkan anak bongsu mereka, Muhammad Shahrukh, terlebih dahulu ke dalam lori apabila puting anaknya terjatuh.

Beliau kemudian menutup pintu pemandu agar anaknya tidak tergolek keluar serta mengambil puting tersebut.

Namun anaknya tiba-tiba tertekan kunci yang boleh mengunci kededua pintu pemandu dan penumpang secara automatik dari dalam lori.

Enjin dan penghawa dingin lori itu telah pun dihidupkan. Kunci juga berada di dalam lori itu. Kunci tambahan turut berada di dalam beg suaminya yang telah pun diletakkan dalam lori.

Cik Zuliyana berkata anak keempatnya itu baru sahaja belajar bagaimana mengunci pintu lori.

Meskipun kanak-kanak itu tidak menangis, Cik Zuliyana dan ahli keluarganya yang lain cuba memberi arahan kepada anaknya supaya menarik kunci tersebut.

Namun, anaknya tidak mempunyai tenaga menarik kunci itu.

Adik-beradik Cik Zuliyana juga sebelum itu telah mencuba sedaya upaya membantu menarik kunci lori dengan menggunakan batang logam menerusi jurang kecil apabila pintu itu ditarik.

"Jari-jemari adik saya sampai tercepit, ada yang calar-balar.

"Tangan abang saya pula sampai berdarah-darah kerana cuba membuka pintu. Mereka berpeluh-peluh dan bersungguh-sungguh membantu," katanya.

Bagaimanapun beliau amat bersyukur anaknya selamat berkat bantuan semua pihak terutama ahli keluarganya.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 41
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.