Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kemudahan vaksin GSK di Tuas terbesar di S’pura dengan pelaburan tambahan $300j

Perkukuh kedudukan Republik sebagai hab inovasi dalam industri biofarmaseutikal
Jul 13, 2023 | 07:13 PM



Peluasan kemudahan pembuat ubat British GSK di Tuas telah menjadikannya tapak pengeluaran vaksin terbesar Singapura berdasarkan pelaburan terkumpul kira-kira $850 juta, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

Berucap sebagai tetamu terhormat pada majlis pecah tanah kemudahan itu pada Khamis, Encik Gan berkata ini adalah selepas pelaburan tambahan lebih $300 juta, lapor The Business Times.


Sebahagian daripada pelaburan itu termasuk langkah GSK memindahkan proses generasi seterusnya bagi vaksin hepatitis B ke tapak Tuas – satu kemajuan yang akan memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab bagi inovasi dalam industri biofarmaseutikal, kata Encik Gan.

Teknologi itu akan membolehkan lebih banyak fleksibiliti bagi proses pengilangan sedia ada GSK dan membolehkan pengeluaran vaksin berskala besar yang pesat.

Vaksin itu akan dihasilkan menggunakan beg sekali pakai, yang menurut Encik Gan merupakan teknologi baru dalam ruang pengeluaran vaksin.

“Pandemik Covid-19 jelas menunjukkan pentingnya kesiapsiagaan dalam bertindak balas secara berkesan terhadap ancaman yang timbul,” kata beliau.

“Berdasarkan perkara ini, Singapura secara aktif mengalu-alukan pelaburan yang bertujuan membangunkan keseluruhan rantaian nilai kegiatan berkaitan vaksin, daripada pembangunan vaksin klinikal kepada pembuatan vaksin komersial,” tambahnya.

Menggariskan kerjasama Singapura dengan GSK yang telah lama wujud, Encik Gan berkata pendekatan keseluruhan ekosistem Singapura untuk bekerjasama dengan gergasi farmaseutikal itu telah membezakan negara ini sebagai “destinasi pelaburan menarik, membolehkan kami mengekalkan daya saing kami walaupun berdepan cabaran seperti kos yang semakin meningkat”.

Satu contoh ialah penubuhan dana Amanah GSK-EDB bernilai $50 juta pada 2009 untuk melatih warga Singapura dalam perkilangan hijau.

Lebih 200 pelatih telah disokong melalui dana itu untuk menjalankan penyelidikan kelestarian tempatan bagi pembuatan farmaseutikal dan bahan kimia halus, serta menangani cabaran sedia ada amalan tidak mampan dalam pengilangan tradisional.

Pengeluar vaksin multinasional lain baru-baru ini membuat pelaburan dalam kemudahan mereka yang berpangkalan di Singapura.

Thermo Fisher, misalnya, melancarkan kemudahan ubat steril baru pada Mei 2023.

Syarikat penjagaan kesihatan Perancis Sanofi membuka tapak untuk kemudahan pengeluaran vaksin di Tuas tahun lalu.

Pada hujung 2022, sekutu syarikat bioteknologi Jerman BioNTech memperoleh tapak pengilangan daripada Novartis Singapura untuk menyediakan kemudahan mRNA.

Rancangan pembuat vaksin China Sinovac Biotech hendak melabur 10 bilion yuan ($2 bilion) dalam pembangunan juga termasuk membuka kemudahan penyelidikan dan ibu pejabat antarabangsanya di Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >