Low: PAP jalankan kempen buruk-burukkan WP untuk dapat modal politik

PARTI Tindakan Rakyat (PAP) menggunakan kisah panjang Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East (AHPETC) untuk memburuk-burukkan Parti Pekerja (WP) bagi mendapatkan modal politik, kata ketua parti pembangkang itu, Encik Low Thia Khiang, dalam rapat pilihan rayanya pada Khamis (3 Sep).

Beliau memberi pelbagai contoh menteri pemerintah PAP berkata AHPETC, yang menguruskan GRC Aljunied dan SMC Hougang serta Punggol sebuah sebagai bandar, menggunakan lebihan dananya untuk menampung kerugian yang ditanggung Majlis Bandaran Hougang.

Mereka termasuk Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara) Lee Yi Shyan pada 2014 dan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean pada Ogos lalu, kata Encik Low.

Majlis Bandaran Hougang dikendalikan oleh Encik Low sebelum ia digabungkan pada 2011 untuk menjadi AHTC selepas WP memenangi GRC Aljunied.

Ia berkembang menjadi AHPETC pada 2013 selepas parti itu menang dalam pilihan raya kecil Punggol East.

"(Menteri Undang-undang) K. Shanmugam berkata dengan sinis bahawa pengundi perlu membuat keputusan apakah mereka mahu menampung kerugian kami dalam majlis bandaran," tambah Encik Low, yang bercakap dalam bahasa Mandarin dalam satu daripada dua ucapan beliau pada Khamis.

"Saya ingin beritahu anda dengan serius: Di bawah WP, kawasan undi Hougang tidak mempunyai masalah kewangan sebelum ia menyertai Aljunied pada 26 Mei 2011, dan mempunyai lebihan sebanyak $80,000."

Encik Low berkata para menteri PAP telah mengalihkan pandangan dan mengelirukan pengundi, sambil bertanya apakah mereka masih mempunyai kredibiliti untuk bersuara.

"PAP sentiasa berkata bahawa ia memberi tumpuan pada pembaharuan diri. Tetapi mereka hanya menukar sup, bukan ubat. Selepas bertahun-tahun, PAP masih berfikiran sempit dan tidak boleh menerima orang yang mempunyai pandangan berbeza.

"Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong: apakah ini mutu PAP?"

Encik Low juga memberitahu orang ramai di kawasan Boon Keng di GRC Jalan Besar bahawa seseorang itu tidak harus dianggap sebagai tidak patriotik kerana tidak bersetuju dengan dasar-dasar pemerintah.

"Sebagai sebuah masyarakat demokratik, kita tidak perlu menganggap politik dan pilihan raya sebagai peperangan, dan menyerang lawan tidak kira apa pun - kita perlukan perbahasan membina dan politik membina.

"Pada pilihan raya kali ini, gunakan undi di tangan anda untuk menghantar isyarat betul dan memberitahu PAP bahawa rakyat Singapura menolak politik tidak jujur dan kotor," kata Encik Low.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.