Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

TINJAUAN CNA-IPS MENGENAI HUBUNGAN KAUM

Masih ada jurang generasi tentang kewujudan diskriminasi kaum di S'pura

Apr 04, 2022 | 05:30 AM



SEKITAR satu pertiga, atau 34 peratus, warga dan penduduk tetap (PR) Singapura yakin bahawa diskriminasi kaum tidak wujud lagi di negara ini.



Sementara itu, hampir jumlah yang sama, atau sekitar 30 peratus penduduk Singapura mempunyai pendapat yang sebaliknya - mereka sama ada percaya bahawa diskriminasi kaum tidak boleh dibasmi atau usaha ini mungkin mengambil masa 50 tahun atau lebih.



Ini merupakan hasil dapatan satu tinjauan mengenai hubungan kaum yang dijalankan CNA dan Institut Pengajian Dasar (IPS).



Sekitar 2,000 warga dan penduduk tetap Singapura berusia 21 tahun dan ke atas ditinjau, termasuk berkaitan berapa lama mereka rasa sebelum diskriminasi kaum dapat dihapuskan di Singapura dan sama ada masyarakat setempat benar-benar telah menjadi sebuah masyarakat yang tidak mengira bangsa, bahasa atau agama.



Sampel tinjauan itu mencerminkan penduduk Singapura dari segi usia, bangsa, jantina dan jenis perumahan mereka, namun tambahan sekitar 350 responden Melayu dan India turut ditinjau supaya pandangan mereka dapat disampaikan dengan baik.



Ini merupakan edisi kedua tinjauan itu, dengan edisi pertama dijalankan pada 2016.



Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa terdapat perbezaan jelas antara generasi tentang sama ada masyarakat telah berjaya menghapuskan diskriminasi kaum.



Misalnya, sekitar dua daripada lima (sekitar 40 peratus) responden dalam kalangan mereka yang berusia 51 hingga 65 tahun, serta mereka yang berusia lebih 65 tahun berpendapat bahawa Singapura telah berjaya menghapuskan diskriminasi kaum.



Sementara itu, hanya 28 peratus responden yang berusia 21 hingga 35 tahun serta 29 peratus mereka yang berusia 36 hingga 50 tahun berpendapat sedemikian.



Tinjauan itu turut mendapati bahawa semakin ramai orang menganggap bahawa sifat perkauman kekal sebagai satu masalah penting walaupun kebanyakan mereka yakin bahawa seseorang itu boleh kaya atau berjaya tanpa mengira bangsa mereka.



Lebih separuh responden - atau sekitar 56.2 peratus daripada mereka - merasakan bahawa sifat perkauman itu merupakan masalah penting, naik daripada 46.3 peratus yang merasa demikian dalam tinjauan CNA-IPS yang dijalankan pada 2016.



Bagaimanapun, kebanyakan orang juga merasakan bahawa meritokrasi tidak bergantung pada kaum, dengan lebih 80 peratus responden bersetuju bahawa semua orang boleh kaya atau berjaya tanpa mengira latar belakang kaum mereka.



Ini sejajar dengan hasil dapatan daripada tinjauan pada 2016 itu.



Dalam laporan 255 halaman itu, pengkaji turut menarik perhatian bahawa rakyat Singapura semakin menerima seandainya calon Perdana Menteri negara ini datangnya daripada kaum Melayu atau India.



Lebih ramai responden berkata mereka boleh menerima calon Melayu warga Singapura (69.6 peratus) atau calon India warga Singapura (70.5 peratus) sebagai Perdana Menteri berbanding hasil dapatan kajian sebelum ini yang dijalankan pada 2016, dengan 60.8 peratus responden berkata mereka selesa dengan Perdana Menteri berbangsa Melayu, manakala 64.3 peratus responden berkata mereka selesa dengan Perdana Menteri berbangsa India.



Hampir semua responden, atau 96.8 peratus, boleh menerima calon Cina warga Singapura sebagai Perdana Menteri, naik sedikit berbanding 95.6 peratus yang berpendapat sedemikian pada 2016.



Bagi jawatan Presiden, jumlah mereka yang berkata mereka boleh menerima seandainya Presiden negara ini datangnya daripada kaum Melayu atau India turut meningkat.



Sekitar 82.2 peratus responden berkata mereka selesa dengan Presiden Melayu warga Singapura, naik daripada 65.5 peratus yang merasakan begitu dalam kajian yang dijalankan sebelum ini pada 2016.



Kira-kira 82 peratus responden pula berkata mereka boleh menerima Presiden India warga Singapura, naik daripada 70.6 peratus yang berkata demikian pada 2016.



Pengkaji mencadangkan bahawa kenaikan jumlah responden yang boleh menerima Presiden yang bukan berbangsa Cina mungkin disebabkan Presiden Singapura yang sedang berkhidmat sekarang, Puan Halimah Yacob, ialah seorang Melayu.



"(Ini dapat) menghapuskan prasangka awal bahawa seorang Melayu tidak sesuai bagi jawatan tertinggi di negara ini," menurut pengkaji dalam laporan itu.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >