Mencabar tapi seronok panjat tembok

Mengamalkan gaya hidup sihat adalah antara kunci bagi memperbaiki statistik kesihatan masyarakat Melayu/Islam setempat. Tubuh yang sihat akan menghasilkan minda yang cergas sekali gus menjadikan individu itu lebih produktif. Malah, apabila dilakukan bersama keluarga, ia juga wadah untuk mempererat lagi hubungan. Mengamalkan gaya hidup sihat juga tidak semestinya membosankan. Pelbagai kegiatan bagi seisi keluarga tersedia di serata Kota Singa ini. Dalam ruangan Aktif ini, wartawan SITI AISYAH NORDIN (naisyah@sph.com.sg) menyarankan kegiatan yang dapat membantu anda kekal aktif.

TEMBOK berwarna-warni yang direka seperti 'gunung salji', 'beanstalk' dan 'keju' mungkin nampak seperti sebuah taman permainan kanak-kanak, tetapi tembok-tembok Clip 'n Climb di HomeTeamNS memang bukan calang-calang.

Dari bawah, tembok-tembok itu kelihatan mudah dan seakan-akan 'mengundang' wartawan agar mencubanya.

Tapi, apabila dah mula panjat, aduh... tercabar juga rasanya!

Maklumlah, ini pertama kali mencuba aktiviti memanjat tembok ini.

Baru-baru ini, Berita Harian (BH) telah mengunjungi taman bertemakan memanjat tembok pertama di Singapura untuk mengalami sendiri tarikan tersebut.

Kemudahan yang terletak di Hab Tampines Kita itu menyediakan 19 tembok setinggi lapan meter dengan tahap kesukaran yang berbeza - sesuai bagi semua tahap kecekapan pendaki termasuk mereka yang ingin mencuba memanjat tembok buat pertama kali.

Tiada usia minimum diperlukan, tetapi berat badan pendaki haruslah antara 10 dengan 150 kilogram.

Konsep Clip 'n Climb berasal daripada taman bertemakan memanjat tembok yang dimulakan di Christchurch, New Zealand, pada 2006.

Untuk memastikan pendaki dapat mencuba aktiviti itu dengan selamat dan juga mudah, taman bertema itu memperkenal sistem mengikat automatik yang membolehkan pendaki turun daripada tembok dalam keadaan yang terkawal dan selamat.

Bagi keluarga dengan kanak-kanak, Clip 'n Climb menyediakan peluang untuk ibu bapa turut serta dalam aktiviti yang dilakukan bersama anak mereka, berbanding dengan taman permainan tertutup yang lain.

Ini terutama sekali dapat dilakukan pada tembok Face to Face, yang membolehkan dua pendaki 'memanjat' pada masa yang sama 'bertentang mata' sesama sendiri.

Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak memanjat tembok, Clip 'n Climb juga boleh menjadi wadah untuk membiasakan diri dengan suasana aktiviti itu.

Dalam kunjungan BH ke Clip 'n Climb, wartawan telah mencuba beberapa tembok dengan tahap kesukaran yang berbeza.

Tembok pertama: Zigg Zagg
Tahap kesukaran: Mudah

Tembok ini kelihatan seperti permainan papan Snakes and Ladders dan melibatkan beberapa pergerakan yang mencabar.

Antaranya, pendaki harus menyeberang dari bahagian kiri tembok ke kanan dan sebaliknya menggunakan bahagian atau 'sokongan' yang disediakan.

Wartawan berjaya memanjat tembok ini hingga puncaknya... tiga kali!

Tembok kedua: Skyscraper
Tahan kesukaran: Agak sukar

Tembok ini kelihatan seperti bangunan tinggi dengan tingkap-tingkap yang berwarna-warni.

Antara cabarannya adalah pendaki harus menggenggam tempat pemegang dari bawah, dibandingkan dengan genggaman biasa yang dilakukan dari atas.

Ini akan menyebabkan berat badan bergantung pada otot lengan, jadi bersedia untuk melatih otot-otot lengan anda!

Tembok ketiga: Lightning Crack
Tahap kesukaran: Paling sukar

Ini merupakan antara tembok yang paling sukar didaki di Clip 'n Climb.

Ia memerlukan kekuatan otot lengan untuk menggenggam rekahan atau 'crack' di tengah dan mengimbangi diri untuk memanjat ke puncak.

Wartawan hanya mampu panjat setengah tembok ini. Beri peluang sedikit, baru pertama kali cuba!

Secara keseluruhan, aktiviti memanjat tembok di Clip 'n Climb ini sesuai untuk seisi keluarga.

Apa kata hujung minggu ini anda luangkan masa bersama keluarga sambil kekal aktif.

Bayaran masuk ke Clip 'n Climb ialah $18 (anggota), $22 (anggota Persatuan Rakyat dan Safra) dan $25 (bukan anggota).

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:44
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
3 HR PSI: 16
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,314.120 +20.990