Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

derma sumsum tulang

Pemindahan beri pesakit leukemia peluang kedua untuk terus hidup

Aug 13, 2023 | 05:30 AM
@beritahariansg

Sekitar satu daripada tiga penderma sumsum tulang berdaftar di bawah Program Penderma Sumsum Tulang (BMDP) yang didapati sepadan dengan pesakit, menarik balik keputusan mereka untuk menderma tatkala dihubungi untuk melakukan demikian. Ini menimbulkan keprihatinan serta melanjutkan lagi masa menunggu dalam kalangan pesakit yang memerlukan pemindahan sumsum tulang bagi penyakit mengancam nyawa, seperti leukemia. Berita Minggu berpeluang mewawancara seorang penderma dan penerima sumsum tulang minggu ini.

♬ original sound - Berita Harian - Berita Harian



Mulanya, kaki beliau bengkak. Kemudian, gusinya pula mengalami keadaan yang sama.

Namun, doktor-doktor yang ditemui Cik Miranti Adriani Rachmat Saleh di Jakarta, Indonesia, memberi diagnosis yang berbeza – daripada gout, penyakit autoimun hingga ke kekurangan vitamin.

Tanpa jawapan yang memberi kepastian, Cik Miranti memutuskan untuk menghantar e-mel ke beberapa hospital di Singapura untuk mendapatkan bantuan.

Apabila Hospital Universiti Nasional (NUH) membalas e-melnya, Cik Miranti datang ke Singapura untuk pemeriksaan.

Beliau sama sekali tidak menyangka akan menerima berita buruk yang mengejutkan.

“Saya diberitahu bahawa saya menghidapi leukemia, 80-90 peratus darah saya ada sel barah.

“Saya terkejut. Dan jika saya masih ingat, saya hanya mampu menangis dan tidak dapat berkata apa-apa pada doktor,” singkap beliau, yang didiagnos menghidapi leukemia pada 2014.

Meski dirundung kesedihan dan kebingungan, Cik Miranti tidak putus asa dan malah menguatkan semangat untuk melalui rawatan kemoterapi yang disarankan doktor.

Lebih menggembirakan, Cik Miranti, kini berusia 43 tahun, berjaya menemui penderma sumsum tulang yang sepadan dengannya di bawah Program Penderma Sumsum Tulang (BMDP).

Lebih 60 penyakit yang berpotensi membawa kematian itu, termasuk beberapa jenis leukemia, boleh dirawat melalui pemindahan sumsum tulang yang didermakan penderma.

Sumsum tulang merupakan tisu lembut dalam tulang yang mengandungi sel tunjang, yang seterusnya menghasilkan sel darah serta sel yang membina sistem imun badan.

Prosedur pemindahan sumsum tulang dilakukan untuk merawat pesakit yang sumsum tulangnya tidak menghasilkan jumlah betul pelbagai sel darah.

Cik Miranti berkongsi bahawa setelah melalui pusingan kemoterapi pertama, pemeriksaan menunjukkan jumlah sel barah dalam darahnya telah merosot dengan banyak – daripada lebih 80 peratus turun kepada satu angka.

Menyusuli pusingan kemoterapi kedua, sampel darahnya menunjukkan tiada lagi sel barah yang ditemui.

Namun, doktor tetap menyarankan agar beliau melalui pemindahan sumsum tulang supaya dapat pulih sepenuhnya.

“Keputusan yang saya terima itu hanya berdasarkan sampel, tetapi darah mengalir di seluruh badan kita. Oleh itu, rawatan ini seolah-olah ‘membetulkan semula kilang’ tubuh saya,” kata warga Indonesia itu, yang merupakan Penduduk Tetap (PR) Singapura yang bekerja dalam syarikat kejuruteraan dan khidmat hartanah di sini.

Usaha memadankan penderma dengan pesakit dilakukan berdasarkan jenis tisu antigen leukosit manusia (HLA) – protein ditemui pada kebanyakan sel dalam tubuh yang memainkan peranan penting dalam respons imun tubuh terhadap bahan asing.

Peluang mendapat penderma dengan pesakit yang sepadan agak rendah. Bahkan, dalam keluarga, terdapat hanya 25 peratus peluang bagi seorang adik-beradik menjadi padanan untuk si pesakit.

Program seperti BMDP memberi peluang kepada pesakit mencari padanan dalam kalangan penderma yang tiada talian darah bersama mereka, sekali gus memperluaskan pencarian mereka.

Bagi Cik Miranti, satu-satunya adik lelaki beliau didapati tidak bersesuaian dengannya. Mujur, beliau kemudian menemui penderma yang sepadan dengannya di bawah BMDP.

“Doktor ada memaklumkan saya tentang risiko menjalani pemindahan dan tubuh saya mungkin akan menolak sumsum tulang yang dimasukkan. Tetapi, saya bersedia menghadapi risiko itu kerana saya mahu pulih secepat mungkin dan kembali hidup seperti biasa,” kata beliau.

Cik Miranti melakukan pemindahan sumsum tulang pada 2 Disember 2014 dan perlu tinggal di hospital selama tiga minggu untuk pemantauan sebelum dibenarkan pulang pada 22 Disember 2014.

“Pada pagi 22 Disember itu, saya diberitahu bahawa sel darah saya normal dan saya boleh keluar hospital. Ia berita yang tidak disangka tetapi amat menggembirakan kerana Krismas hampir tiba dan saya dapat menyambutnya bersama keluarga di rumah.

“Kurang enam bulan setelah itu, saya sudah kembali bekerja sepenuh masa di pejabat,” katanya, yang kini bebas barah.

Bersyukur atas peluang kedua untuk hidup itu, Cik Miranti meminta agar dapat bertemu dengan penderma sumsum tulangnya – seorang lelaki warga Singapura – untuk melahirkan rasa terima kasihnya yang mendalam.

Hasratnya akhirnya dipenuhi, dengan mereka berdua bertemu tahun lalu.

“Saya tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepadanya kerana memberi saya peluang kedua untuk hidup. Penderma saya ada berkongsi bahawa beliau rasa lenguh ketika mendermakan sumsum tulangnya, namun beliau mengingatkan dirinya bahawa apa yang perlu dilalui pesakit adalah lebih menyakitkan dan meletihkan. Itulah yang terus memberi motivasi kepada dirinya,” ujar Cik Miranti.

“Apa yang dilakukan seorang penderma itu sangat baik kerana mereka dapat menyelamatkan nyawa seseorang. Ini satu perkara yang amat murni,” tambah beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >