Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pertikaian adik-beradik: PM minta maaf; tegaskan tuduhan tidak berasas perlu dijawab

* Akan buat Kenyataan Menteri di Parlimen pada 3 Julai * Anggota dewan boleh menyoal beliau dan anggota Kabinet * Sidang terbuka diadakan demi menghapus sebarang keraguan ke atas integriti pemerintah
Jun 20, 2017 | 05:30 AM



PERDANA Menteri Lee Hsien Loong semalam melahirkan rasa kesal dan memohon maaf atas pertikaian yang melibatkan beliau dan adikberadiknya.



Melahirkan demikian menerusi kenyataan dan juga menerusi video yang dikirimkan kepada media semalam, Encik Lee berkata:



"Sepanjang minggu lalu, rakyat Singapura telah terganggu dan keliru dengan berita pertikaian peribadi di antara saya dengan adik-beradik saya.



"Saya amat kesal bahawa pertikaian ini telah menjejas reputasi Singapura dan keyakinan rakyat Singapura kepada pemerintah.



"Sebagai Perdana Menteri anda, saya memohon maaf kepada anda.



"Dan sebagai anak sulung, saya berasa sedih memikirkan kesedihan yang melanda ibu bapa kami jika mereka masih hidup."



Encik Lee berkata beliau telah berusaha sedaya upaya mengelak pertikaian tersebut.



Beliau menjelaskan: "Ayah saya meninggalkan hartanah di 38 Oxley Road kepada saya sebagai sebahagian daripada bahagian saksama peninggalan beliau, tetapi adik-beradik saya tidak berpuas hati tentang perkara itu.



"Saya cuba menangani rasa tidak puas hati mereka secara peribadi.



"Saya menawarkan supaya 38 Oxley Road dipindahkan kepada adik perempuan saya (Dr Lee Wei Ling) pada harga nominal $1. Malangnya, tawaran itu gagal.



"Saya kemudian menjual rumah tersebut kepada adik lelaki saya (Encik Lee Hsien Yang) pada penilaian pasaran yang adil, dan mendermakan semua hasil saya kepada amal.



"Saya harap langkah ini akan memuaskan hati mereka. Tidak ada lagi sebab bagi sebarang perbalahan, kerana saya tidak memiliki rumah itu dan saya tidak mengambil bahagian dalam apa-apa keputusan pemerintah berhubung rumah itu," ujarnya.



Namun, Encik Lee berkata adik- beradik beliau membuat keputusan membuat dakwaan yang didedahkan kepada umum.



Encik Lee berkata:



"Sebagai contoh, mereka berkata bahawa saya menggunakan kedudukan saya sebagai Perdana Menteri untuk mempengaruhi Jawatankuasa Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean.



"Ini tuduhan melampaui hal-hal privet dan peribadi, dan meliputi pengendalian jawatan saya dan integriti pemerintah," katanya.



Biarpun mahu bergerak ke hadapan dan mengakhiri pengalaman yang kurang senang bagi rakyat Singapura, Encik Lee menekankan bahawa tuduhan yang tidak berasas ke atas pemerintah itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.



"Ia mesti dan akan ditangani secara terbuka dan disangkal," kata Encik Lee.



Justeru apabila Parlimen bersidang pada 3 Julai ini, beliau akan membuat Kenyataan Menteri bagi menyangkal segala tuduhan.



Encik Lee menambah:



"Semua Anggota Parlimen (AP) berpeluang mengemukakan soalan. Saya telah mengarahkan whip Parti Tindakan Rakyat (PAP) diketepikan.



"Saya menyeru semua AP, termasuk AP bukan PAP, mengkaji isu dengan teliti dan menyoal saya dan rakan-rakan Kabinet saya dengan bersungguh-sungguh."



Beliau berharap siaran penuh kepada awam di Parlimen itu akan dapat menghapuskan segala keraguan dan memperkukuh keyakinan kepada institusi dan sistem pemerintahan negara ini.



Encik Lee juga memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan mengalihkan perhatian beliau dan rakanrakan Kabinetnya daripada tanggungjawab mereka mentadbir Singapura, dan menangani isu-isu negara yang lebih penting, termasuk ekonomi dan cabaran keselamatan.



"Sebagai penjawat awam, Menteri-menteri saya dan saya akan sentiasa melindungi integriti institusi kami, dan menegakkan tahap yang ketat, memisahkan urusan peribadi daripada tugas awam kami. Kami berazam membaiki kerosakan yang telah dilakukan ke atas Singapura. Kami akan terus menerajui negara kita dan melayani anda dengan keupayaan kami yang terbaik," kata Encik Lee.



Rabu lalu, Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang mengeluarkan kenyataan umum enam muka surat di Facebook yang menguar-uar ehwal peribadi keluarga mereka dan membuat dakwaan terhadap Perdana Menteri Lee.



Perdana Menteri yang sedang bercuti ketika itu menyangkal dakwaan mereka dan mahu memberikan respons sebaik beliau pulang.



Namun Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang terus membuat beberapa kenyataan umum berhubung isu tersebut.



Dr Lee misalnya mempersoalkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Menteri yang ditubuhkan untuk mempertimbang pilihan bagi rumah di 38 Oxley Road itu.



Encik Lee Hsien Yang turut mengeluarkan pelbagai kiriman di Facebook antara lain, melahirkan rasa tertekan hingga terpaksa merancang mahu meninggalkan Singapura.



Khamis lalu, menyusuli komen yang dibuat adik-beradiknya, Perdana Menteri Lee mengeluarkan akuan berkanun menimbulkan soalan-soalan serius berkaitan cara wasiat bapanya, mendiang Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew, disiapkan, dan apakah terdapat konflik kepentingan apabila adik iparnya, Cik Lee Suet Fern, membantu menyiapkan wasiat tersebut.



Kenyataan itu memberi perincian mengenai perbalahan dengan adik-adikya, Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang, mengenai langkah merobohkan rumah bapa mereka di 38, Oxley Road.



Antara lain, PM Lee menimbulkan keraguan apakah mendiang Encik Lee Kuan Yew sama ada tahu klausa untuk merobohkan rumah tersebut dimasukkan semula ke dalam wasiat terakhir.



PM Lee menerangkan klausa itu pertama kali dimasuk dalam wasiat pertama bapanya bertarikh 20 Ogos 2011 tetapi dikeluarkan dalam versi lima dan keenam wasiat itu.



Justeru, PM Lee berkata beliau kurang pasti bagaimana ia dimasukkan semula dalam wasiat terakhir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >