Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN

Zakat permudah urusan adik jaga kakak demensia

Institusi zakat telah banyak memainkan peranan dalam membantu golongan yang miskin dan memerlukan. Menerusi sistem ini, zakat dapat disalurkan kepada seluruh masyarakat yang memerlukan dan terkesan apatah lagi dalam situasi Covid-19 sekarang ini. Zakat memainkan peranan penting dalam ekonomi Islam dan telah banyak memberikan kesan kepada penerima lapan asnaf. BERITA MINGGU meninjau penerima bantuan zakat yang telah memanfaatkan bantuan zakat. Ikuti laporannya.
Apr 24, 2022 | 05:30 AM



DEMI kasih, Cik Hasnah Mohamed Maideen sanggup tinggal bersama kakaknya yang mengalami demensia dan menjaga keperluannya.



Sejak 2018, Cik Hasnah merupakan penjaga rasmi bagi kakaknya, Cik Fatimah Mohamed Jamaludin, 75 tahun.



Mereka berdua menetap di flat sewa satu bilik yang disewa di bawah nama Cik Fatimah.



Cik Fatimah, yang pernah bertugas di sebuah stesen minyak di kawasan Changi, kini mengalami demensia tahap lanjut.



Beliau juga mengalami masalah kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.



Demensia merujuk kepada penyakit yang mengganggu fungsi otak secara progresif.



Pesakit demensia boleh menunjukkan gejala-gejala penurunan fungsi mental seperti masalah kehilangan memori dan perubahan tabiat.



Menurut Cik Hasnah, kakaknya tidak mempunyai anak dan suaminya telah meninggal dunia selama lebih 23 tahun lalu.



Suami Cik Hasnah pula sudah meninggal dunia sekitar 22 tahun lalu, manakala tiga orang anaknya sudahpun mendirikan rumah tangga. Beliau mempunyai 10 cucu.



"Anak saya semua sudah berkahwin, jadi saya boleh jaga kakak saya," kata Cik Hasnah, yang merupakan anak bongsu 18 adik-beradik.



Menjelaskan tentang perbezaan nama bapa mereka, Cik Hasnah berkata:



"Itulah apabila pergi hospital semasa baru-baru jaga dia, saya sebagai caregiver kena angkat sumpah, katakan kita adik-beradik betul. Dua beradik sahaja, memiliki nama bapa 'Maideen'. Yang lain semua 'Jamaludin'."



Kata Cik Hasnah, apabila kakaknya disahkan doktor mengalami demensia pada 2012, beliau pada awalnya kurang faham tentang penyakit tersebut.



"Kakak saya sampai dimasukkan di Institut Kesihatan Mental (IMH) kerana keadaan demensia beliau membuatnya berkelakuan ganas, tetapi selepas sebulan kakak saya dipindahkan ke Hospital Besar Changi (CGH)," kata Cik Hasnah sambil mengimbas keadaan kakaknya pada 2012.



Kini, menjaga pesakit demensia merupakan tanggung jawab Cik Hasnah sepenuh masa.



Antara rutin harian Cik Hasnah adalah untuk memandikan dan memberi Cik Fatimah makan.



Beliau juga perlu memastikan bahawa kakaknya tidak mencederakan dirinya.



Ekoran itu, adakalanya Cik Hasnah cuma tidur sejam sahaja apabila Cik Fatimah terjaga pada waktu malam "untuk memastikan kakaknya itu selamat dan tidak melakukan apa-apa yang mencederakan".



Seperti yang lazimnya dialami pesakit demensia, Cik Fatimah, kata Cik Hasnah, akan menangis sendirian dan ada ketikanya beliau muncung sepanjang hari.



Beliau juga tidak berani keluar lama dan tinggalkan Cik Fatimah seorang diri di rumah.



Mujur seorang anak lelaki Cik Hasnah tinggal di sebelah flat sewa Cik Fatimah dan boleh bantu tengok-tengokkan Cik Fatimah sekiranya Cik Hasnah perlu keluar membeli barangan keperluan.



"Memang terus terang, jaga orang demensia memang stres. Stres sebab penyakitnya tidak ada ubat," kata Cik Hasnah, meluahkan perasaannya.



Seandainya Cik Hasnah berasa tertekan, beliau akan hilangkan tekanannya dengan bermain bersama cucunya yang tinggal di flat sebelah, atau beliau mengikuti syarahan di Masjid Al-Istighfar sebelum pandemik Covid-19.



Menurut Cik Hasnah, bagi meringankan beban menjaga kakaknya, beliau telah membantu membuat permohonan bantuan zakat dari Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Masjid Al-Istighfar atas saranan Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan seorang teman.



Hasil permohonan itu, Cik Fatimah menerima bantuan zakat Muis sebanyak $210 sebulan - sesuatu yang diterimanya sejak lebih dua tahun lalu.



"Saya minta bantuan zakat dari Muis sebab perbelanjaan kakak saya semakin tinggi.



"Dahulu, dia tak pakai lampin pakai buang dewasa tapi sekarang, dia pakai lampin 24 jam. Susunya (jenama Ensure), dia minum dua paket sehari kalau dia tak mahu makan nasi atau bubur," kata Cik Hasnah.



Selain bantuan zakat dari Muis, Cik Fatimah turut mendapat bantuan wang sebanyak $326 dari SSO, manakala Cik Hasnah juga mendapat bantuan untuk penjaga sebanyak $450 dari SSO dan $200 dari Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).



"Alhamdulillah, saya syukur ada bantuan zakat dari Muis kerana bantuan zakat itu semuanya digunakan untuk keperluan kakak saya seperti membeli lampin dewasa pakai buang dan susunya," kata Cik Hasnah.



Beliau juga perlu membayar sewa flat dan bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&C).



Selain itu, Cik Hasnah akan membawa Cik Fatimah menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan.



Memberi penghargaan kepada pembayar zakat, Cik Hasnah berkata:



"Terima kasih banyak-banyak kerana kami dapat juga bantuan. Dulu, sebelum ada bantuan zakat dan kad Bantuan Awam (PA) SSO, kami susah juga."



Dalam menghadapi pelbagai cabaran menjaga kakaknya, Cik Hasnah bersyukur kerana masih berpeluang meluangkan masa bersamanya.



"Kami ada banyak kenangan manis bersama. Dulu, kami pergi Malaysia sama-sama. Dia juga banyak tinggal bersama saya selepas suaminya meninggal dunia," kata Cik Hasnah.




"Alhamdulillah, saya syukur ada bantuan zakat dari Muis kerana bantuan zakat itu semuanya digunakan untuk keperluan kakak saya seperti membeli lampin dewasa pakai buang dan susunya."
- Cik Hasnah Mohamed Maideen, penjaga rasmi bagi kakaknya yang mengalami demensia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >