Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sidek: Nasihat mendiang Encik Lee kepada Melayu - tumpukan pada pendidikan

Mar 29, 2015 | 04:00 PM



BERIKUT merupakan teks ucapan penuh Mantan Menteri Negara Kanan, Haji Sidek Saniff:


"Saya terkejut apabila Encik Lee Kuan Yew meminta saya bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum pada 1976. Keputusan saya menerima tawaran beliau untuk bertanding sebagai seorang calon PAP telah memberikan satu kejutan kepada masyarakat Melayu. Ini kerana hanya beberapa tahun sebelum itu, saya telah memberi pandangan-pandangan berbeza daripada Pemerintah mengenai pendidikan.


Beliau adalah seorang ketua yang tegas tetapi banyak memberi nasihat. Beliau mengingatkan supaya jangan sekali-kali berdolak-dalik. Bersikap terbuka. Sentiasa berwaspada. Tegas. Tetapi yang paling penting, mestilah bersopan santun. Nasihatnya ialah supaya kita tumpukan perhatian kepada pendidikan. Ini akan memastikan anak-anak kita menjadi pengamanah negara yang boleh dipercayai apabila mereka dewasa kelak. Saya amat berterima kasih kepada Encik Lee kerana telah memberi sokongan padu kepada penubuhan Yayasan Mendaki.


Pada 1979, apabila saya dikehendaki menemani Hon Sui Sen, Menteri Kewangan pada ketika itu, ke China, Encik Lee bertanya sama ada saya boleh tahan cuaca sejuk di China. Beliau juga bertanya, "Adakah anda mempunyai kot musim sejuk?" Saya berkata yang saya akan membelinya. Beliau menjawab, "Jangan buang duit". Selepas berhenti sejenak, beliau menyambung: "Ahmad Mattar ada kot musim sejuk yang bagus. Pinjamlah daripadanya."


"Bagaimana pula dengan but untuk menyarung kasut semasa berjalan?" Saya memberitahunya yang saya tidak ada tetapi akan membelinya. "Jangan, jangan buang duit. Pinjam daripada Chok Tong!" Jadi saya ke China dengan kot musim sejuk dan sepasang but pinjam!"


Encik Lee berpegang teguh kepada sikap berjimat cermat baik dalam kehidupan peribadinya mahupun di peringkat nasional. Dan beliau mengamalkan pegangan beliau itu. Peristiwa ini adalah satu contoh, dan juga menunjukkan sikap kebapaan beliau dan sikap yang amat teliti.


Bercakap tentang sikap berhemat, Encik Lee tidak suka membuang masa. Beliau bukanlah orang yang suka berlengah-lengah. Pada akhir 2010, apabila saya menghantar senaskhah buku saya yang mengandungi koleksi ucapan dan rencana bertajuk, 'The Singapore Malay Paradigm' atau dalam bahasa Melayunya 'Paradigma Melayu Singapura', beliau telah mengucapkan 'Selamat Maju Jaya' kepada saya melalui satu nota peribadinya beberapa hari kemudian. Saya tersentuh dengan jawapan luhur beliau dan memberitahu beliau bahawa buku tersebut tidak akan menjadi kenyataan tanpa pandangan jauh beliau. Beliau telah membalas pada hari yang sama dengan berkata 'Terima kasih Sidek'.


Saya telah berpeluang menemani beliau ke luar negara beberapa kali. Semasa beliau berkunjung ke Israel dan Jordan pada 1995, saya merupakan salah seorang anggota rombongan Singapura. Kedua-dua pemimpin, Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin dan Raja Hussein dari Jordan, telah meraikan kami sebagai tetamu di kediaman mereka masing-masing. Ini adalah satu contoh klasik layanan baik orang-orang Yahudi dan Arab: Penghargaan dan penghormatan tertinggi yang diberi kepada mantan Perdana Menteri kita. Penghormatan bersalut emas.


Hari ini kita merakamkan setinggi-tinggi penghormatan dan penghargaan kepada seorang tokoh berwibawa ini. Encik Lee memiliki ciri-ciri dan ketokohan seorang 'negarawan'. Seorang yang hadir di kalangan kita hanya sekali dalam beberapa dekad untuk meninggalkan kesan mendalam terhadap masyarakat dan di seluruh persada dunia.


Kepada keluarga beliau, negara turut berkongsi kesedihan dan kepiluan yang anda rasakan. Salam takziah yang amat mendalam dari kami. Saya harap kepiluan anda sekeluarga sedikit sebanyak terubat apabila mengenang hakikat bahawa tokoh pengasas negara kita ini, iaitu bapa anda, sebenarnya telah menikmati kehidupan dan hayat yang panjang lagi bermakna. Rakyat Singapura sangat terhutang budi kepada beliau.


Izinkan saya membacakan serangkap pantun Melayu yang menghargai nilai budi seseorang:


Pisang emas dibawa belayar Masak sebiji di atas peti Hutang emas boleh dibayar Hutang budi dibawa mati.


Pepatah Melayu pula berkata: Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.


Encik Lee, kami ingin menegaskan bahawa warisan yang anda tinggalkan akan diteruskan. Kami akan selalu menghargai nasihat anda, terutama sekali dalam memerintah negara. Anda pernah berkata: "Jika anda ingin menjadi popular setiap masa, anda akan silap memerintah". Dan anda sering menggesa kami untuk mengambil pendekatan yang pragmatik. Dan yang paling utama anda tegas meminta kami agar sentiasa jujur dan bersih.


PM, SM, MM, selamat berpisah


Selamat Berpisah, Sahabatku, Selamat Berpisah"




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >