Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Kriteria kelayakan untuk dapat bantuan guaman disemak

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kriteria kelayakan untuk dapat bantuan guaman disemak

Mar 01, 2024 | 05:09 PM



Kementerian Undang-undang (MinLaw) bakal membuat perubahan terhadap kriteria kelayakan bagi mereka yang mahu memohon bantuan guaman bagi kes sivil dan jenayah, sedang pendapatan isi rumah dan nilai hartanah terus naik sejak beberapa tahun lalu.

Ia akan meningkatkan had pendapatan per kapita bulanan keluarga dan Nilai Tahunan Rumah kedua-dua skim itu, dengan rancangan untuk melaksanakan perubahan ini menjelang suku kedua 2024.

Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kesihatan merangkap Undang-undang, Cik Rahayu Mahzam, berkongsi pengumuman itu di Parlimen semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementerian tersebut pada 1 Mac. 

Beliau berkata MinLaw akan menyemak had ujian kemampuan bagi mereka yang memohon bantuan guaman sivil dan bantuan pembelaan jenayah sebagai sebahagian daripada usaha bagi mereka yang menghadapi masalah undang-undang untuk mendapatkan “akses kepada keadilan” walaupun tidak mampu membayar khidmat guaman. 

Berkongsi perincian lanjut, Cik Rahayu berkata pendapatan per kapita bulanan keluarga bagi kes jenayah, yang ditadbir oleh Pejabat Peguam Bela Awam (PDO), akan dinaikkan daripada daripada $1,500 kepada $1,650.

Sementara itu, had pendapatan per kapita bulanan keluarga kes sivil, yang ditadbir oleh Biro Bantuan Guaman (LAB), akan dinaikkan daripada $950 kepada $1,050.

​Beliau menambah bahawa had Nilai Tahunan Rumah bagi kedua-dua jenis bantuan juga akan dinaikkan daripada $13,000 kepada $21,000, selaras dengan semakan Kementerian Kewangan (MOF) terhadap had AV untuk skim bantuan sosial.

Ini meliputi semua flat HDB, jelasnya lagi. 

Pendapatan per kapita bulanan keluarga dan Nilai Tahunan Rumah tempat kediaman pemohon merupakan sebahagian daripada kriteria kelayakan dalam had ujian kemampuan yang perlu diambil oleh pemohon yang memohon bantuan guaman.

Antara kriteria itu, pemohon perlu lulus ujian kemampuan untuk menentukan sama ada mereka mempunyai kemampuan kewangan yang diperlukan.

Ditanya sama ada pengecualian turut dipertimbangkan bagi mereka yang tidak memenuhi kriteria ujian, Cik Rahayu berkata fleksibiliti akan terus dilaksanakan bagi kes tertentu. 

“Sebagai contoh, Panel Ujian Kemampuan yang dilantik oleh menteri boleh mempertimbangkan dan mengesyorkan agar bantuan diberikan kepada pemohon yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan guaman asas kerana keadaan yang mendesak,” katanya, menjawab soalan Encik Derrick Goh (GRC Nee Soon).

Dalam pada itu, Cik Rahayu berkata proses permohonan penceraian di Mahkamah Syariah juga akan dipermudahkan lagi. 

Pemohon boleh menggunakan wadah elektronik ‘eBantu’ untuk mendapatkan anggaran nafkah iddah dan mutaah yang boleh dituntut.

Dilancarkan oleh LAB pada November 2023, ‘eBantu’ ialah alat panduan Mengisi Borang Perceraian Mahkamah Syariah, yang menyediakan pengguna dengan maklumat tentang cara mengisi dokumen asal Mahkamah Syariah.

Usaha juga sedang dijalankan untuk menterjemahkan wadah tersebut ke dalam bahasa Melayu, menurut Cik Rahayu.

“Apabila pemohon mendekati MinLaw untuk mendapatkan perkhidmatan, kami akan cuba mencari pegawai yang bercakap dalam bahasa pilihan pemohon untuk membantu mereka.

“Jika ini tidak dapat dilakukan, kami akan mencari cara lain untuk menyelesaikan masalah terjemahan. MinLaw juga mempunyai versi bukan bahasa Inggeris bagi risalah yang berkaitan dengan beberapa perkhidmatan kami,” katanya lagi.

Dalam memberi perkembangan mengenai PDO dalam ucapan beliau, Menteri Undang-undang, Encik K. Shanmugam, berkata terdapat sekitar 1,700 permohonan setakat Disember 2023, di mana hampir separuh daripada mereka dinilai layak untuk menerima bantuan peguam bela jenayah. 

Ketika tempoh itu, PDO, yang mempunyai 16 pembela awam, telah mewakili lebih 440 tertuduh di mahkamah, kata Encik Shanmugam, sambil menambah bahawa PDO akan terus mengukuhkan keupayaan dan kapasitinya untuk membantu lebih ramai mereka yang rentan. 

“Menerusi kerjasama berterusan kami dengan Pro Bono SG, pemohon yang layak menerima perwakilan guaman daripada PDO atau peguam bela jenayah di bawah CLAS (Skim Bantuan Guaman untuk Kes Jenayah),” katanya. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >