Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Lawatan ke Timur Tengah perlu, pastikan bantuan sampai ke Gaza

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lawatan ke Timur Tengah perlu, pastikan bantuan sampai ke Gaza

Mar 25, 2024 | 08:26 PM



Lawatan delegasi dari Singapura ke Timur Tengah merupakan satu perkara yang perlu dilakukan.

Ia bukan sahaja untuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza, malah ia juga peluang untuk mengadakan rundingan serta mendapatkan pandangan telus daripada negara rakan Singapura di rantau itu berhubung kemelut yang sedang berlaku, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pada 25 Mac.

Bagaimanapun, untuk memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan ini kepada wilayah Palestin yang sedang dilanda peperangan itu, Dr Balakrishnan menegaskan terdapat keperluan bagi Singapura untuk terus melibatkan diri dan mendapatkan kerjasama Israel.

Ini sekiranya Singapura ingin meningkatkan lagi bantuan kemanusiaan ke rantau itu pada masa ini dan juga pada masa hadapan.

Justeru, itu adalah antara sebab utama mengapa beliau telah bertemu pemimpin Israel semasa lawatan rasminya ke Timur Tengah selama 10 hari baru-baru ini.







Dr Balakrishnan berkongsi bahawa semasa pertemuan dengan pemimpin Israel, termasuk Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, beliau telah menyatakan dengan jelas pandangan Singapura, termasuk kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan di Gaza dan bagaimana tindak balas Israel terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, kini sudah melampaui batas

“Satu sebab utama mengapa kita berhubung dengan Israel adalah jika kita mahu, terutamanya pada sekarang ini dan masa depan, meningkatkan bantuan kemanusiaan, kita memerlukan kerjasama Israel.

“Jadi memastikan hubungan itu terbuka untuk memudahkan penghantaran bekalan kemanusiaan adalah penting,” kata Dr Balakrishnan, ketika bercakap kepada wartawan di ibu pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) sebagai menggulung lawatannya ke Timur Tengah.

Dr Balakrishnan memulakan lawatannya ke Doha, Qatar, sebelum berangkat ke Jordan, di mana beliau telah menyaksikan persediaan yang dilakukan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) sebelum operasi menggugurkan bantuan kemanusiaan dari udara di Gaza.

Beliau kemudian ke Ramallah di Tebing Barat untuk bertemu pemimpin Palestin termasuk Perdana Menteri, Dr Mohammad Shtayyeh, dan Perdana Menteri yang dilantik, Dr Mohammad Mustafa, di Ramallah pada 18 Mac.

Semasa pertemuan itu, Dr Balakrishnan menyatakan kebimbangan mendalam Singapura terhadap situasi kemanusiaan yang semakin membimbangkan di Gaza, mengulangi sekali lagi gesaan Singapura untuk gencatan senjata kemanusiaan segera bagi membantu orang awam yang terjejas.

Jadual lawatan kerja beliau diakhiri dengan lawatan ke Abu Dhabi di Amiriah Arab Bersatu (UAE), Kahirah, Mesir, dan Riyadh, Arab Saudi.

Ketika rundingan beliau bersama pemimpin negara-negara Arab tersebut, Dr Balakrishnan berkata mereka memberi delegasi Singapura akses penuh di peringkat atasan dan memberikan “pandangan yang sangat terang dan terbuka”.

Beliau berkata, setiap negara di Timur Tengah itu mempunyai perkiraan strategik sendiri dan kepentingan negara untuk dilindungi dan kesemua negara Arab itu melihat isu tersebut dari sudut pandangan yang berbeza.

Meskipun begitu, Dr Balakrishnan berkata masih terdapat satu pendirian yang sama. 

Beliau berkata: “Perkara utama yang saya fikir semua negara ini bersetuju ialah menghentikan keganasan, pembebasan tebusan, penghantaran segera bantuan kemanusiaan, lebih daripada apa yang telah tersedia setakat ini.”

Pada 20 Mac, RSAF dengan kerjasama Jordan berjaya melakukan operasi menggugurkan bantuan kemanusiaan buat kali pertama dari udara bagi penduduk Palestin di Gaza. 







Pakej bantuan ketiga itu mengandungi pek makanan serta bekalan kritikal termasuk peralatan perubatan.

Dr Balakrishnan menegaskan bahawa antara sebab mengapa Singapura menghantar bantuan kemanusiaan ini berulang kali bukan kerana pemerintah mahukannya atau pemerintah berkata demikian.

Beliau percaya bahawa rakyat Singapura mempunyai hati yang baik dan mempunyai perasaan naluri tentang apa yang betul, apa yang salah, apa yang baik dan apa yang buruk.

“Saya percaya bahawa inilah yang dimahukan rakyat Singapura kita. Dana yang dikumpul diperolehi menerusi sumbangan masyarakat.

“Jadi saya melihat peranan kita (pihak pemerintah) sebagai menyalurkan, memudahkan dan mencerminkan keprihatinan serta belas kasihan rakyat Singapura.

“(Kami) memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan bantuan secepat mungkin. 

“Kami juga mahu memastikan bahawa kami dapat bekerja secara berkesan dengan rakan kongsi kami di Timur Tengah supaya bantuan ini dapat sampai kepada golongan yang memerlukan bantuan. Penghantaran bantuan ini menerusi udara, hanyalah satu komponen kecil daripadanya,” katanya. 

Dr Balakrishnan menyeru sekali lagi untuk membuka laluan berasaskan darat supaya lebih banyak bekalan dapat dihantar ke Gaza dan Singapura terus menghantar bekalan ke wilayah itu dengan harapan perkara ini akan berlaku.

Dr Balakrishnan menegaskan bahawa rancangan itu adalah untuk terus bekerjasama dengan Mesir dan Jordan untuk menghantar bantuan ke Gaza.

“Kami memerlukan hubungan itu dan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Israel kami, supaya mereka boleh merelakannya,” tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >