Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Pusat Beli-belah Limbang berwajah baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pusat Beli-belah Limbang berwajah baru

Feb 03, 2024 | 05:04 PM



Berwajah moden dengan jumlah kedai yang berganda, penduduk di Choa Chu Kang kini mempunyai akses kepada lebih banyak pilihan makanan dan kedai runcit di Pusat Beli-belah Limbang yang dirombak semula.

Dibuka secara rasmi pada 3 Februari dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pusat kejiranan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) itu turut mempunyai ciri khusus seperti sudut bertemakan Peranakan untuk bergambar, susun atur kedai yang mudah diakses dan ruang bagi acara masyarakat.

Kerja naik taraf itu adalah sebahagian daripada proses untuk memberi nafas baru kepada pusat kejiranan di seluruh negara. 

Pusat kejiranan dijadual menjalani kerja naik taraf besar pada sekitar tahun ke-15 pembinaannya supaya kemudahan dan ciri baru dapat ditambah bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin berkembang.

Pusat Beli-belah Limbang itu adalah antara tujuh pusat kejiranan yang telah diperbaharui HDB sejak 2020.

Enam lagi ialah Admiralty Place, Pasir Ris West Plaza, Sunshine Plaza, Pusat Sivik Woodlands, Woodlands North Plaza dan 888 Plaza.

HDB, dalam satu kenyataan, berkata setakat ini pihaknya secara bertahap telah membina dan menyegarkan semula lebih 100 pusat kejiranan di Singapura.

Lima lagi pusat kejiranan – Dawson Place, Pusat Beli-belah Fajar, Joo Chiat Complex, Pioneer Mall dan Sembawang – dijadual untuk diubah suai pada tahun mendatang, tambah HDB.

Kerja penambahbaikan itu adalah contoh baik bagaimana pemerintah memastikan estet HDB kekal ceria dan boleh didiami, kata Encik Wong dalam ucapannya.

Encik Wong, yang juga penasihat GRO GRC Marsiling-Yew Tee (Limbang), menambah:

“Pelan naik taraf ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia tidak berlaku semalaman, di mana ia secara automatik diperbaharui. Ia berlaku kerana komitmen pemerintah merancang awal dan menghasilkan rancangan jangka panjang kita.

“Hidup di dalam kejiranan HDB akan sentiasa menjadi bahagian penting kisah Singapura kita.”

Pusat Beli-belah Limbang, yang siap dibina pada 1995, menjalani kerja naik taraf pada September 2020.

Ia siap diubah suai pada Disember 2022, dengan penyewa kedai mula berniaga secara bertahap pada Januari 2023.

Sehingga Januari 2024, hampir semua kedai telah beroperasi. 

Walaupun mozek bumbung cerun dan dalaman bertemakan rumah kedai Peranakan telah dikekalkan, pusat kejiranan itu mempunyai permukaan bangunan kaca penuh yang baru, lantas membolehkan cahaya semula jadi masuk. 

Terdapat juga sudut dengan latar belakang rumah kedai berwarna-warni dan ruang memerhati burung untuk penduduk memetik gambar.

Jumlah kedai di pusat beli-belah itu turut meningkat 50 peratus, selepas HDB mempertimbangkan maklum balas penduduk.

Kini, terdapat 15 kedai makanan dan minuman, naik daripada enam sebelumnya. Kedai runcit juga meningkat daripada 30 kepada 43.

Selain lebih pilihan, penduduk dapat membeli-belah dengan selesa.

Bahagian dalam pusat membeli-belah itu kini berhawa dingin, dengan pasar raya sebesar 570 meter persegi, yang kira-kira 50 peratus lebih besar daripada sebelumnya.

Pusat makanan, yang sebelumnya terletak di tingkat dua, telah dipindahkan ke tingkat satu untuk memudahkan penduduk.

Selain itu, Pusat Beli-belah Limbang juga dijangka menjadi nadi masyarakat kawasan itu dengan sebuah plaza masyarakat disediakan untuk ruang acara bagi penduduk, manakala taman permainan yang terlindung di tingkat dua membolehkan kanak-kanak bermain, tidak kira cuaca panas atau hujan.


Salah seorang penduduk, Cik Kamsaton Suat, 70 tahun, mengalu-alukan pembaharuan di Pusat Beli-belah Limbang.


“Ia kini lebih meriah dan kami mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ia dinaik taraf. Sekarang senang, semuanya ada di sini,” kata pesara, yang sudah 31 tahun tinggal di kawasan Choa Chu Kang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >