Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Vivian: Kekal hubungan baik S’pura dengan negara Timur Tengah semasa aman, krisis

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Vivian: Kekal hubungan baik S’pura dengan negara Timur Tengah semasa aman, krisis

Mar 20, 2024 | 06:30 PM



Singapura telah membina hubungan yang baik dengan negara-negara di Timur Tengah dan harus terus memelihara hubungan tersebut, walau pada masa krisis, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Menurut Dr Balakrishnan, Singapura mempunyai kepentingan ekonomi di Timur Tengah dan sebarang kejadian yang mengancam kestabilan sedunia, seperti inflasi dan ancaman ekonomi boleh mencetus kesan penting terhadap Singapura.

Namun beliau menekankan penglibatan Singapura tidak terhad kepada masa aman tetapi menjadi lebih penting semasa krisis dan konflik.

Justeru, lawatan selama 10 hari ke beberapa negara di rantau ini, termasuk ke Palestin dan Israel, menunjukkan keprihatinan Singapura terhadap konflik yang sedang berlaku di Gaza.

“Yang penting adalah kita perlu berhubung. Kita perlu memahami, bukan sahaja apa yang sedang berlaku, namun juga mengapa ia berlaku dan apakah yang ada di balik fikiran pemimpin negara. 

“Dalam pada masa yang sama, ia juga peluang untuk kita menyatakan pandangan kita dengan jelas dan lantang.

“Seperti yang saya katakan, pandangan kami tidak sama, malah pandangan semua pemimpin di Timur Tengah yang telah saya temui, sesama mereka juga tidak sama,” katanya, bercakap kepada media dari Singapura di Baitulmakdis pada 19 Mac, untuk menggulung kunjungannya ke sana.

Ini selepas beliau bertemu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu dan Menteri Ehwal Luar negara itu, Encik Israel Katz pada kesempatan yang berasingan.

Dr Balakrishnan juga telah bertemu Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, Menteri tanpa portfolio, Encik Benny Gantz dan mantan Perdana Menteri Israel, Encik Naftali Bennett semasa lawatannya.

Ketika ditanya jika beliau menjangka sentimen yang kuat dari masyarakat Singapura terhadap pertemuannya dengan para pemimpin Israel, Dr Balakrishnan menegaskan bahawa rakyat Singapura perlu memahami kepentingan penglibatan secara menyeluruh.

“Dalam krisis dan dalam situasi seperti peperangan, adalah lebih penting untuk terus berhubung...kita mungkin tidak suka apa yang berlaku, kita mungkin tidak bersetuju dengan keputusan yang mereka buat, tetapi kita mesti terus berhubung,” katanya sambil menambah bahawa Singapura akan memberi tumpuan kepada melakukan lebih banyak untuk menghulurkan bantuan.

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 20 Mac, Dr Balakrishnan meluahkan keprihatinan mendalam Singapura berhubung situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza semasa bertemu pemimpin Israel, termasuk Perdana Menteri, Encik Benjamin Nentanyahu.

Beliau juga menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera untuk membolehkan penyaluran bantuan kemanusiaan dengan pantas dan tanpa halangan ke Gaza, khususnya melalui laluan darat.

“Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi lain di rantau itu, termasuk Jordan dan Israel untuk mengendalikan misi Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) untuk menggugurkan bantuan kemanusiaan dari udara di Gaza,” ujar Dr Balakrishnan.

Dalam pada itu, Dr Balakrishnan turut menyampaikan pandangan Singapura mengenai tindakan tentera Israel di Gaza yang melampaui batas. 

Beliau menyeru agar Israel melakukan yang terbaik untuk melindungi keselamatan orang awam dan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang berkesan untuk Gaza.

“Apa yang kami harapkan ialah sekurang-kurangnya gencatan senjata kemanusiaan segera dapat dilaksanakan, menyampaikan bekalan kemanusiaan, membantu mereka yang terjejas mengatasi keperluan semasa dan mendesak, dan kemudian menangani situasi yang berlaku,” katanya. 

Dari Israel, Dr Balakrishnan akan meneruskan lawatan kerja ke Timur Tengah ini dengan menyinggah ke Amiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Arab Saudi, di mana beliau dijadualkan bertemu para pemimpin negara masing-masing.

Beliau berkata ini adalah peluang untuk bertemu secara langsung dengan rakan sejawatannya di mana mereka akan membincangkan tentang konflik yang sedang berlaku serta aturan lain yang boleh Singapura bantu. 

Dr Balakrishnan menarik perhatian terhadap hubungan kukuh Singapura di Timur Tengah, sambil menekankan keperluan untuk menghargai dan memupuk hubungan ini.

Walaupun saiznya yang kecil dan jaraknya yang jauh, perspektif Singapura dipandang tinggi dan diterima baik di rantau ini

“Sekali lagi, saya ingin menegaskan bahawa Singapura mempunyai hubungan baik di seluruh Timur Tengah dan kita tidak seharusnya mengambil mudah perkara itu.

“Anda tertanya-tanya mengapa sebuah negara kota kecil yang jauh di Asia Tenggara begitu relevan di sini. 

“Mereka mengambil berat tentang apa yang kita fikirkan. Mereka memang mahu melibatkan kita. Mereka memang mahu menjalinkan hubungan baik dengan kita.

“Dan kita harus mengeratkan hubungan ini tanpa perlu takut untuk menyuarakan pandangan kita dan berpegang pada prinsip kita sendiri.

“Selagi kita boleh terus menjalankan dasar ehwal luar, atas dasar ini dengan sokongan semua rakyat Singapura, kita berada di landasan yang betul,” ujarnya. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >