Pusat Penjaja Kita... Pasar Geylang Serai

Gerai diwarisi turun-temurun

DARI pasar lama ke pasar sementara dan akhirnya ke pasar kini.

Gerai Nenek Obek kekal bersama Pusat Makanan Geylang Serai sejak ia ditubuhkan 50 tahun lalu.

Gerai yang terkenal dengan hidangan nasi rawon itu malah mengekalkan resipi turun-temurun yang dibawa oleh pengasasnya, Hajah Parmah Tufah, dari Surabaya.

Sehingga kini, Hajah Parmah, 93 tahun, masih lagi mengawal mutu lauk-pauk yang dimasak pewarisnya, Cik Juhana Johan.

Cik Juhana, 49 tahun, ialah cucu Hajah Parmah yang mengambil alih perniagaan tersebut pada 2005 daripada ibunya, Hajah Sahara Saini.

Gerai Nenek Obek ialah antara segelintir gerai di Pusat Makanan Geylang Serai yang diturunkan daripada generasi kepada generasi dengan mengekalkan juadah dan resipi asal.

Apabila Berita Harian mengunjungi gerai itu baru-baru ini, Cik Juhana sedang bersiap untuk pulang dan berehat setelah semalaman bertungkus lumus di dapur menyediakan hampir 50 jenis lauk bagi nasi campur yang dijualnya.

Menurut ibu tiga anak itu, Gerai Nenek Obek adalah yang pertama menjual nasi rawon di Pusat Makanan Geylang Serai pada 1963.

Meskipun setelah separuh abad berlalu, resipi asal laukpauk yang dijual masih dikekalkan sehingga ke hari ini.

“Kadangkala nenek minta mahu merasa lauk-pauk yang saya masak. Beliau akan memberi komen atau tanya sama ada saya lupa memasukkan beberapa bahan ke dalam masakan itu,” kata Cik Juhana yang kini mencari pewaris generasi keempat bagi meneruskan perniagaan tersebut.

Satu lagi gerai yang setia bersama pasar Geylang Serai sejak 50 tahun lalu ialah Geylang Briyani Stall milik Sheik Abdul Hamid Sheik Dawood, 61 tahun.

Gerai itu dibuka arwah bapanya, Allahyarham Sheik Dawood Sheik Mohd Kassim, yang berasal dari Chennai, India, pada 1962 dan bermula dengan menjual nasi putih dan lauk-pauk India.

Ia mula menjual nasi beriani pada 1970-an apabila hidangan itu kian popular dalam kalangan penduduk Singapura.

“Nasi beriani jualnya ringkas kerana lauknya cuma dua jenis sahaja iaitu ayam atau daging. Kalau nasi putih mesti ada bermacam-macam lauk,” kata bapa tiga anak itu.

Beliau, yang masih mengekalkan resipi nasi beriani daripada arwah bapanya, kini dibantu anak lelaki keduanya, Sheik Abdul Hannan, 25 tahun, yang diharap dapat mewarisi gerai itu kelak.

“Saya minta anak saya tolong di gerai sebab saya pun tak ada pembantu. Sekarang susah nak cari orang yang nak kerja kat kedai makan. Sekurang-kurangnya kalau anak saya dapat bantu saya di gerai, saya senang sikit. Kadang-kadang kawan dia pun datang tolong,” kata Sheik Abdul Hamid. 

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.