Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Ada bakat, pengalaman dan motivasi; mampukah England akhiri kemarau trofi di Euro 2024?

Oct 29, 2023 | 05:32 AM



LONDON: England kini boleh mula membuat perancangan akhir untuk pertandingan Euro 2024 di Jerman pada musim panas akan datang selepas kelayakannya dijamin dengan kemenangan 3-1 ke atas Italy di Wembley.


Namun, mungkin hakikatnya, pengurus England, Gareth Southgate, telah pun mencerna fikirannya sejak beberapa kali England hampir-hampir mencapai garisan penamat dalam pertandingan antarabangsa sebelum ini, dengan paling terkini ialah kekalahan mereka dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia menentang Perancis di Qatar pada Disember.

England pimpinan Southgate telah menunjukkan rekod yang baik dalam kejohanan utama baru-baru ini, dengan kelayakan ke separuh akhir Piala Dunia di Russia pada 2018, perlawanan akhir Euro 2020 dan tersingkir hanya di peringkat suku akhir di Qatar.

Namun rekod itu tidak sempurna dengan England lazimnya tergelincir apabila garisan penamat begitu hampir dengan mereka.

Jadi adakah kisahnya berbeza bagi England di Euro 2024?

Bolehkah pemain England melepasi garisan dan memenangi kejuaraan pertama mereka sejak Piala Dunia 1966?

Serangan England digeruni

Tenaga penggempur England akan menjadi kekuatan terbesar Southgate di temasya di Jerman itu nanti – diketuai oleh kaptennya, Harry Kane, yang merupakan penjaring terbanyak negaranya.

Penyerang berusia 30 tahun itu merupakan penjaring gol utama bagi England dan terus membuktikannya dalam liga profesional Jerman, Bundesliga, sejak berpindah ke Bayern Munich dari Tottenham Hotspur.

Southgate juga mempunyai pilihan yang luas di bahagian serangan.

“Selain Kane, para pemain seperti Bukayo Saka dari Arsenal dan pasangan Manchester City, Jack Grealish dan Phil Foden, adalah antara nama-nama yang hampir pasti disertakan dalam pesawat ke Jerman,” kata bekas penyerang England dan kini pengulas bola sepak, Gary Lineker.

“Pemain berpengalaman, Raheem Sterling, yang sejauh ini dipinggirkan oleh Southgate juga sudah mula menunjukkan tanda-tanda untuk kembali ke prestasi terbaiknya di Chelsea.

Pemain Manchester United, Marcus Rashford, juga akan bersaing untuk mendapatkan tempat permulaan manakala pemain Spurs, James Maddison telah membawa permainannya ke tahap lebih tinggi selepas berpindah dari Leicester City,” tambah Lineker.

Mungkin terdapat keprihatinan mengenai alternatif kepada Kane sekiranya beliau cedera, dengan Ollie Watkins dari Aston Villa mendapat peluang menentang Australia dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Ivan Toney dari Brentford juga mahu meletakkan dirinya kembali dalam pertimbangan apabila beliau kembali beraksi pada Januari – dan mungkin di kelab lain – selepas penggantungannya kerana melanggar peraturan pertaruhan Persatuan Bola Sepak (FA) England.

Faktor Bellingham

Jude Bellingham akan ke Euro 2024 dengan reputasinya diperkukuh sebagai salah seorang pemain terbaik dunia, setelah berpindah dari Borussia Dortmund dan membuat penyesuaian begitu mudah dan menakjubkan ke Real Madrid.

Bellingham menghasilkan satu lagi persembahan masterclass dalam kemenangan ke atas Italy, memberi inspirasi kepada England selepas mereka ketinggalan 0-1.


Pemain muda ini cemerlang dalam setiap aspek permainannya, beliau juga tampak lebih bermotivasi dalam keadaan yang tertekan. Kehebatan Bellingham tidak boleh dipersoalkan.

Bellingham hanya akan mencapai usia 21 tahun semasa pertandingan Euro 2024, namun beliau telah pun membuktikan keberanian dan keupayaannya menjangkau usianya yang muda – termasuk dalam pertandingan Piala Dunia di Qatar.

“Bellingham menawarkan Southgate kelebihan dari segi daya saing, kreativiti dan kepimpinan di dalam padang,” kata bekas pemain pertahanan England, Rio Ferdinand.

“Beliau tidak akan lari daripada sebarang cabaran di Euro 2024,” katanya.

Kelemahan England

England boleh berbangga dengan pelbagai ancaman di bahagian serangan dan penjaga gawang yang boleh dipercayai – pemain veteran, Jordan Pickford.

Namun, kebimbangan lama masih wujud.

Sekali lagi kita kembali ke pertahanan terutama di bahagian tengah, di mana England telah lama terdedah kepada lawan bermutu tinggi.

Tanda tanya utama, sama ada Southgate suka atau tidak, tetap mengenai Harry Maguire dari Manchester United dan, sebagai gandingan dengan John Stones di Jerman nanti.

Southgate selama ini menerangkan pemilihan pemain itu – yang tidak lagi menjadi pilihan utama di kelabnya, Manchester United – bahawa Maguire tidak pernah mengecewakan England setiap kali beliau menyarung jersi pasukan Three Lions itu.


Tetapi sejauh mana kesetiaan itu boleh berterusan jika pemain berusia 30 tahun itu terus menerus tidak mendapat masa permainan tetap antara sekarang dan Euro 2024?

“Namun, dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, akibat krisis kecederaan, Maguire telah mula mendapat tempat dalam kesebelasan utama United,” kata bekas pemain pertahanan England dan United, Gary Neville.

“Lebih penting lagi ialah prestasinya yang memberangsangkan dalam perlawanan-perlawanan tersebut, termasuk dipilih Man of the Match (pemain terbaik) dalam perlawanan menentang Sheffield United, dan kemudian beliau menjadi wira United dengan menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan Liga Juara-Juara.


“Hakikatnya ialah setiap kali Maguire beraksi untuk United, pasukan itu akan menang,” tambah beliau.

Terdapat alternatif kepada Maguire, dengan Lewis Dunk dari Brighton menarik perhatian, Levi Colwill mula menunjukkan potensi di Chelsea dan Marc Guehi dari Crystal Palace juga dalam pertimbangan.

Satu-satunya pemain yang tempatnya tampak sudah terjamin ialah Stones.

Namun, siapa yang akan menjadi pemain yang digandingkan dengan beliau di bahagian bek tengah masih menjadi tanda tanya.

Saingan utama England

Pasukan-pasukan tradisional akan sekali lagi bersaing untuk kejuaraan.

Ini termasuk Perancis, diperkasa dengan kehadiran Kylian Mbappe.

Perancis di bawah bimbingan Didier Deschamps adalah sebuah pasukan yang bermain dengan ‘bijak’ dan memiliki para pemain berpengalaman, sekali gus dicerminkan menerusi ranking mereka di tangga kedua dalam kedudukan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) di belakang juara Piala Dunia, Argentina.

Tuan rumah, Jerman, pula sedang dalam proses peralihan tetapi dijangka akan tetap hebat di ‘laman sendiri’ dengan jurulatih baru, Julian Nagelsmann, yang dihormati dalam dunia bola sepak.

Portugal, kini dengan Roberto Martinez sebagai teraju pasukan, masih bergantung kepada kehebatan Cristiano Ronaldo sebagai pemain utama mereka meskipun hakikatnya pasukan itu ditaburi bintang-bintang lain yang bermutu.

“Tiga pasukan ini bagi saya ialah pesaing utama England. Tapi yang paling menyerlah bagi saya ialah Perancis,” kata Micah Richards, pemain pertahanan yang pernah menyarung jersi England sebanyak 13 kali.

“Perancis, mempunyai semua ciri-ciri yang berpotensi menjadi ancaman terbesar kepada England,” tambah beliau.

Keperluan untuk belajar dari kesilapan lalu

Prestasi memberangsangkan England dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini telah meningkatkan jangkaan bahawa mereka akhirnya boleh menamatkan kemarau trofi Three Lions itu.


Kekalahan separuh akhir Piala Dunia 2018 kepada Croatia dan kekalahan final Euro 2020 kepada Italy menerusi penentuan sepakan penalti di Wembley mesti dilihat sebagai peluang besar yang terlepas.

England juga merupakan pasukan yang lebih menyerlah, meskipun tewas di tangan Perancis dalam perlawanan suku akhir di Piala Dunia Qatar.

“Tiada siapa yang menafikan kemajuan dan kebangkitan England dalam arena antarabangsa. Kami memiliki barisan pemain yang dicemburui dunia.

“Namun, tanda tanya dan keraguan terhadap England hanya akan benar-benar hilang apabila pemain sekarang ini membuktikannya dengan kemenangan penting dalam pertandingan seperti Euro,” tambah Alan Shearer, yang pernah memimpin England sebagai kapten ke perlawanan separuh akhir Euro.

“Mereka mempunyai mutu dan pengalaman. Tapi yang penting sekarang ialah adakah pengalaman kekalahan perit tiga kali sebelum ini menjadi pemangkin untuk kejayaan di Jerman?” tambah beliau.

Bolehkah England memenangi Euro 2024?

Jawapannya ‘ya’ menurut para pengulas dan bekas pemain itu.

“Dengan bakat yang dimiliki Southgate, kemenangan pasti dalam genggaman,” kata Lineker.

“Southgate kini mesti membuat keputusan pemilihan penting dalam beberapa bulan akan datang dan berharap tiada kecederaan serius yang merosakkan rancangan beliau,” katanya.

‘Penciptaan semula’ pemain bek kanan, Trent Alexander-Arnold, sebagai pemain midfield menawarkan sesuatu kelainan.

“Ini memberi Southgate pilihan, berdasarkan lawan dan keadaan. Beliau boleh mengabaikan kecenderungan semula jadinya untuk bermain dua pemain midfield defensif, Declan Rice dari Arsenal dan seorang lagi pemain yang lebih defensif, atau adakah beliau akan menggunakan pendekatan positif dan memilih pemain yang seperti Trent?” kata Ferdinand.

“Jadi ya, England boleh memenangi Euro 2024. Seluruh negara di belakang mereka, dan berdasarkan bakat dan pengalaman skuad yang ada, mereka mampu melakukannya,” tambah Ferdinand.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >