Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

TOKOH SUKAN DALAM TUMPUAN: FEDERER BERSARA

Federer... legenda julang piala sambil tambat hati berjuta

Sep 26, 2022 | 05:30 AM



LONDON: "Anda pasti tertanya-tanya sama ada beliau berasal dari planet yang sama."



Sepanjang 20 tahun yang lalu, bukan sahaja Novak Djokovic yang mempersoalkan perkara sama ada Roger Federer memiliki kehebatan yang tiada tandingannya.



Mereka yang hebat tentunya cemerlang dalam sukan yang diceburi.



Federer, yang telah mengumumkan persaraannya pada akhir bulan ini, juga merupakan salah seorang daripada segelintir atlet yang bukan sahaja mampu menarik minat anda malah menarik hati anda juga.



Mungkin pemain tenis lain telahpun memenangi lebih banyak kejuaraan, namun bagi ramai peminat sukan itu, Federer telah berjaya mempamerkan kehebatan sukan itu.



Dengan pukulan yang memukau, hantaran servis tepat atau lambaian lembut kepada penonton, legenda Switzerland itu telah menambat ramai hati peminat, tidak seperti pemain tenis lain sebelum beliau.



Kemahiran pemain berusia 41 tahun itu telah diasah di gelanggang Pusat Tenis Kebangsaan Switzerland di Basel.



Ketika usia remaja, bakat Federer amat menyerlah, namun beliau juga dikenali sebagai seorang yang mudah naik angin.



Ada desas-desus yang mengatakan bahawa beliau pernah dikenakan hukuman bersihkan tandas selepas satu insiden membaling raketnya ketika berusia 16 tahun.



Perkara tersebut kini telah menjadi sejarah tetapi sikap tidak mampu menahan perasaannya itu berterusan hingga tahun-tahun awal kerjaya profesionalnya.



"Saya mengambil masa hampir dua tahun untuk mencari 'api' dan 'ais' itu," katanya pada 2018.



"Api yang melambangkan semangat untuk mengecap kemenangan dan kesejukan ais sebagai ketenangan untuk menyerap kekalahan dan kesilapan buruk. Dari situ, kerjaya saya terus melonjak."



Selepas mencipta namanya sebagai pemain berusia 19 tahun yang menewaskan Pete Sampras di Wimbledon pada 2001 dan setahun selepas kematian jurulatihnya yang berpengaruh dalam satu kemalangan kereta, Federer memenangi gelaran pertamanya daripada lapan gelaran juara Grand Slam Wimbledon lelaki pada 2003.



Dalam tempoh empat tahun berikutnya, beliau memenangi 11 daripada 16 Grand Slam, mencerminkan satu detik penguasaan sukan yang jarang dilihat.



Beliau terus menunjukkan kehebatannya dengan memenangi lapan lagi kejuaraan Grand Slam dalam tempoh 11 tahun.



Walau bagaimanapun, kerjaya Federer juga mempunyai tempoh surutnya.



Pada 2008, beliau tewas di tangan Rafael Nadal dalam saingan akhir Wimbledon - yang dianggap sebagai salah satu perlawanan tenis terhebat sepanjang zaman.



Enam bulan kemudian apabila pemain tenis Sepanyol itu menundukkannya sekali lagi di Terbuka Australia, Federer tidak lagi mampu menahan sebaknya.



Kekalahan berturut-turut itu bagaikan telah mendedahkan kelemahannya.



Namun pada Jun 2009, nasib bagaikan menyebelahi Federer dan kali ini beliau dapat menitiskan air mata kegembiraan - selepas memenangi gelaran Terbuka Perancis sulungnya, yang dinanti-nantikan sekian lama.



Kemenangan itu melengkapkan kerjaya Grand Slam, satu pencapaian yang hanya dicapai oleh lima pemain sebelum ini, meskipun Nadal dan Djokovic telah menyamai pencapaian tersebut.



Tiga lagi kemenangan menyusul, termasuk kemenangan ke atas Andy Murray yang penuh emosi di Wimbledon pada 2012, tetapi selama lima tahun selepas itu, ia kelihatan seolah-olah pungutan Grand Slam Federer akan kekal pada 17 kejuaraan, kerana kecederaan serius mula menjejas persembahannya.



Pada usia 35 tahun, enam bulan selepas tidak beraksi kerana kecederaan lutut, Federer menjuarai Terbuka Australia pada 2017 selepas mengatasi Nadal dalam aksi yang berlangsung selama lima set.



Selepas kemenangan itu, Federer menjerit bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru berlaku, manakala peminat tenis menghargai satu lagi pertemuan antara pesaing hebat yang bertukar menjadi kawan.



Sepanjang 12 bulan seterusnya, Federer mengecap kemenangan kelapannya di Kelab All England, dan meraikan kemenangan keenamnya di Australia.



Meskipun ia merupakan satu pencapaian yang hebat, Federer tidak mampu mempertahankan rekod 20 Grand Slam selepas ianya diatasi Nadal dan Djokovic.



Bagaimanapun, Federer masih menjadi pemain nombor satu bagi peminat dan juga penaja.



Beliau duduk setanding bersama Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, LeBron James dan Tom Brady dalam senarai ahli sukan terkaya di dunia.



Federer dan srikandi tenis wanita, Serena Williams, yang turut mengumumkan persaraannya bulan lalu, bukan sekadar cemerlang dalam tenis. Mereka telah menaikkan taraf sukan tersebut.



Ke mana sahaja beliau pergi, Federer sering mendapat sorakan yang gemuruh dari peminat.



Dua generasi peminat tenis tidak akan melupakan apa yang telah beliau lakukan untuk sukan itu.



Ramai yang telah memberikan penghormatan yang menyentuh hati selepas Federer mengumumkan persaraannya, termasuk Nadal, dengan kebanyakan mengatakan bahawa "tenis tidak akan sama lagi".



Federer bakal muncul sekali lagi dalam jelajah profesional, dalam Piala Laver akhir bulan ini - kejohanan yang beliau bantu cipta.



Memandangkan sudah lebih setahun sejak kali terakhir beliau beraksi, ramai peminat tentunya tidak menetapkan harapan yang besar.



Peminat tenis pastinya akan ke London, walaupun hanya untuk meluahkan isi hati: "Terima kasih Roger, atas segala kenangan." - Agensi berita




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >