Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

BAHASA & BUDAYA

Persadaku.org Ltd kini entiti rasmi

Daya usaha Yahya Hamid daftar sebagai syarikat awam berhad yang dijamin (CLG) untuk menyubur seni, budaya dan sastera Melayu Singapura
Oct 05, 2021 | 05:30 AM



USAHA memajukan lagi bahasa, seni, sastera dan budaya Melayu tanah air meningkat setapak lagi dengan pendaftaran rasmi, Persadaku.org, sebagai pertubuhan bukan mencari untung yang didaftarkan sebagai syarikat awam berhad yang dijamin (CLG).



Penubuhan Persadaku.org Ltd telah diumumkan Encik Yahya Hamid, selaku pengasas pertubuhan tersebut di laman Facebook beliau pada 5 September lalu.



Semasa diwawancara Berita Harian baru-baru ini, guru Bahasa Melayu yang mesra dengan panggilan 'Cikgu Yahya' itu berkata, apa yang dilakukannya ini adalah menyediakan wadah bagi penggiat seni dan pencinta bahasa Melayu.



"Setelah berlakunya pandemik Covid-19 ini, saya mula memikirkan cara terbaik untuk meneruskan usaha-usaha memartabatkan bahasa Melayu dan pelestarian sastera dan budaya Melayu.



"Jadi bila saya berbincang dengan beberapa rakan, saya diberitahu yang saya tidak perlu mendaftarkannya sebagai sebuah persatuan di bawah ROS (Pendaftar Pertubuhan) tetapi boleh daftar sebagai badan bukan mencari untung di bawah Acra.



"Oleh kerana itu, saya mendapatkan nasihat guaman dari firma Abdul Rahman Law Corporation.



"Dari situ, saya diberi penerangan dan nasihat tentang proses dan keperluan penubuhan pertubuhan. Selepas mengemukakan permohonan saya juga dikehendaki menduduki satu sesi temuduga dan alhamdulillah, selepas semua itu, permohonan saya telah diterima dan diluluskan.



Jelas beliau, pendaftaran Persadaku.org telah disahkan Acra pada 31 Ogos lalu.



Acra adalah Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat. Ia merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan (MOF), yang mengawalselia entiti perniagaan, perakaunan awam dan penyedia khidmat korporat di Singapura.



Menurut karyawan berusia 64 tahun itu, pada masa ini, hanya beliau seorang sahaja yang menerajui Persadaku.org.



"Dalam masa enam bulan, saya mesti melantik seorang setiausaha syarikat. Saya bakal melantik sebuah jawatankuasa tidak lebih dari 10 orang bagi menerajui badan ini," ujarnya tanpa mendedahkan nama-individu yang ingin diundang untuk mendukung Persadaku.org Ltd.



Tidak seperti syarikat perniagaan biasa, sesebuah badan yang dibentuk secara CLG tidak mempunyai pemegang saham (shareholder) tetapi mempunyai penjamin (guarantor).



Sebarang keuntungan diperolehi akan dilaburkan semula ke dalam syarikat dan ahli tidak menerima sebarang bayaran selain gaji mereka.



Berbanding pemegang saham, kebertanggungjawaban ahli-ahli CLG ke atas syarikat apabila ia mahu dibubarkan, dihadkan kepada jumlah wang yang mereka mahu menyumbang.



Wang ini boleh difikirkan sebagai satu jaminan yang diberikan oleh setiap ahli dan selalunya nilainya adalah serendah $1.



Jumlah ini dipersetujui apabila CLG dibentuk dan akan dimaktubkan dalam dokumen pembentukan sesebuah syarikat atau badan itu.



Pada 2000, Persadaku.org merupakan diantara segelintir wadah dalam talian yang menggalak dan 'memasarkan' acara-acara seni, budaya dan kebahasaan Melayu.



Ketika itu, pelbagai acara yang digerakkan Cikgu Yahya berpusat di Kelab Masyarakat (CC) Fuchun di Woodlands Street 31, apatah lagi beliau merupakan 'orang kuat' - Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) CC tersebut antara 2000 hingga 2017.



Selama lebih dua dekad, Persadaku.org yang dipimpin Encik Yahya dikenali menerusi penganjuran acara kebahasaan, persuratan dan budaya, seperti:



  • Pesta Bahasa & Budaya setiap dua tahun sekali (2004-2010)

  • Arca Gemilang (2005-2012)

  • Pentas Lestari Seni I - VII (2006-2015)

  • Lentera Puisi I - V (2013-2018)

  • Bengkel Penulisan dan Deklamasi Puisi

  • Bedah Puisi Nusantara

  • Bahas Bahasa

  • Sembang Sastera; dan lain lagi

Terbaru, Persadaku.org menganjurkan Bengkel Pantun Kelok secara maya pada 25 September lalu yang disertai kira-kira 30 peserta dari Singapura, Malaysia dan Indonesia termasuk Dr Umar Zein dan Dr Dahlena Sari Marbun, dari Universitas Islam Sumatera Utara dan Cikgu Karmin Abbas selaku penyampai bengkel.



"Apabila saya mengumumkan penubuhan rasmi Persadaku.org, ramai mengucapkan tahniah. Sebenarnya saya tidak bermula dari sifar tetapi apa yang dilakukan adalah satu lanjutan pada usaha yang telah dilakukan lama sebelum ini.



"Banyak yang saya ingin lakukan telah tertangguh akibat pandemik Covid-19," katanya.



Sebelum 2021 melabuhkan tirainya, Encik Yahya ingin mengadakan dua acara istimewa:



  • Ceramah Bahasa yang disampaikan oleh Profesor Datuk Dr Awang Sariyan secara kaedah Zoom pada November ini, yang diharap dapat menarik sekurang-kurangnya 50 penyertaan; dan,

  • Lentera Puisi, yang akan diadakan secara gabungan maya dan fizikal pada Disember ini - menampilkan kira-kira 20 penyair dan penyajak dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei.

"Jadi saya mahu memberi tumpuan kepada meningkatkan lagi usaha-usaha pengembangan bahasa, seni dan budaya Melayu agar ia lebih dihargai masyarakat dan dengan ini, penggiat seni dan pencinta bahasa dapat bergiat lebih aktif dan memanfaatkan wadah yang ada ini.



"Umpamanya jika ada yang ingin mengadakan pelancaran buku, saya sedia menawarkan wadah bagi acara sebegini," ujarnya.




“Setelah berlakunya pandemik Covid-19 ini, saya mula memikirkan cara terbaik untuk meneruskan usaha-usaha memartabatkan bahasa Melayu dan pelestarian sastera dan budaya Melayu.

“Jadi bila saya berbincang dengan beberapa rakan, saya diberitahu yang saya tidak perlu mendaftarkannya sebagai sebuah persatuan di bawah ROS (Pendaftar Pertubuhan) tetapi boleh daftar sebagai badan bukan mencari untung di bawah Acra.’’

- Encik Yahya Hamid




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >