Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MERUNGKAI ISU KEWANGAN : BERSAMA

Perancangan harta jangka panjang bantu warga emas

Mar 28, 2021 | 05:30 AM



MENJAGA ibu bapa yang sudah tua sudah menjadi satu kewajipan anak.



Pengorbanan mereka tentu sahaja tidak dapat dibalas.



Satu tinjauan dijalankan oleh HSBC menunjukkan ikatan kekeluargaan kekal kukuh dalam kalangan rakyat Singapura.



Majoriti anak-anak Singapura menyokong ibu bapa mereka yang sudah tua dari segi kewangan.



Namun, di sebalik mendapat sokongan kewangan daripada anak-anak mereka, terdapat warga emas yang masih menghadapi kesukaran dari segi kewangan.



"Pandemik Covid-19 telah memberi tekanan tambahan terhadap 'generasi sandwic' yang menjaga anak-anak dan ibu bapa yang sudah tua dari segi penjagaan dan sokongan.



"Lantas, membuat perancangan harta jangka panjang yang bijak semakin penting. Perancangan yang rapi akan mengurangkan tekanan kewangan dari segi dana persaraan dan menjaga ibu bapa yang tidak lagi bekerja,'' kata ketua usulan pelanggan HSBC Bank di Singapura, Cik Alice Fok.



Tinjauan itu meninjau pandangan lebih 2,200 penduduk di Canada, Singapura, China, Britain dan Hong Kong.



SUMBANG WANG BAGI IBU BAPA



Sebanyak 8 daripada setiap 10 rakyat Singapura menyumbang wang bagi ibu bapa mereka, lebih tinggi daripada purata sejagat sebanyak 59 peratus.



Separuh daripada rakyat Singapura itu menyatakan ibu bapa mereka yang sudah tua menghadapi masalah kewangan semasa persaraan. Peratusan itu serupa dengan purata sejagat.



Separuh daripada responden ditinjau menyatakan ibu bapa mereka mempunyai kesukaran kewangan semasa bersara disebabkan kekurangan duit tabungan.



Ini juga menjejas ibu bapa bagi keluarga yang berpendapatan tinggi.



Mengapa ia berlaku? Kebanyakan ibu bapa kurang menyedari bahawa mereka harus menabung selama 20-30 tahun sebelum mereka bersara.



Lantas, pemikiran bahawa mereka ingin 'menikmati kehidupan sekarang' semasa muda tanpa memikirkan mengenai dana persaraan harus dikikis.



Malah, jika kita masih bekerja, kita harus cuba memikirkan cara meningkatkan dana persaraan agar tidak perlu bergantung sangat dengan anak-anak apabila kita tua kelak.



MEMPUNYAI INSURANS PERUBATAN YANG MENCUKUPI



Dari awal kehidupan, ibu bapa digalak mempunyai insurans perubatan yang dapat membiayai kos perubatan apabila mereka dirawat di hospital, kata Pengarah Penasihat Kewangan firma perunding cara kewangan SingCapital, Encik Hassanuddin Mohamed.



"Jika ibu bapa masih sihat, anak-anak harus menggalakkan mereka mempunyai insurans perubatan.



"Bil perubatan yang banyak boleh memakan simpanan ibu bapa dan anak.



"Apabila ibu bapa menghidapi penyakit yang serius, kita tidak mahu ibu bapa tidak mendapat rawatan yang terbaik disebabkan masalah kewangan,'' katanya.



Sikap bergantung kepada nasib perlu dikikis kerana perancangan boleh dilakukan dari muda lagi.



Galak ibu bapa mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara tetap kerana jika penyakit itu dapat diketahui lebih awal, rawatan dapat diberikan dengan lebih pantas.



Selain mempunyai MediShield Life yang asas, mereka juga harus menimbangkan pelan Shield Bersepadu (membiayai bil hospital) dan Pelan CareShield Hayat, yang akan menggantikan skim ElderShield, bagi memberikan bayaran bulanan jika berlaku kehilangan upaya yang teruk dan membiayai penjagaan jangka panjang.



MANFAATKAN SKIM DAN SUBSIDI



Banyak skim dan subsidi pemerintah yang disediakan bagi mengurangkan perbelanjaan warga emas.



Kad konsesi Passion Silver



Jika ibu bapa yang merupakan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, mereka boleh bermohon mendapatkan Kad Konsesi Passion Silver. Ia bukan hanya membenarkan mereka mendapat tambang konsesi apabila menaiki bas awam dan MRT, mereka juga boleh meraih faedah di Kelab Masyarakat serta diskaun di kedai-kedai yang turut serta.



Pakej Generasi Perintis dan Merdeka



Warga emas yang layak yang lahir sebelum 1950 boleh mendapatkan Pakej Generasi Perintis, manakala mereka yang dilahirkan sebelum 1960 boleh menikmati Pakej Generasi Merdeka.



Setiap pakej menawarkan subsidi termasuk penjagaan perubatan, tokokan tetap kepada akaun Medisave dan premium subsidi bagi skim insurans MediShield.



Peningkatan rumah



Anak-anak juga boleh memohon untuk membuat penyesuaian di flat ibu bapa mereka bagi memenuhi keperluan mereka.



Mereka boleh memilih memasang kemudahan yang sesuai untuk golongan warga emas, seperti palang pemegang dan lantai antigelincir di bilik mandi.



Tanjakan juga boleh dipasang di hadapan pintu masuk flat.



Semua itu adalah sebahagian daripada program Peningkatan Bagi Warga Emas Aktif (Ease). Bergantung kepada jenis flat, subsidi disediakan dari kos peningkatan itu.



Bantuan kewangan



Sekiranya pendapatan keluarga tidak mencukupi untuk menyokong ibu bapa anda, anda boleh mempertimbangkan untuk memohon skim bantuan seperti Bantuan Jangka Panjang ComCare, yang memberikan pembayaran tunai. Warga emas warga emas berusia 65 tahun ke atas dalam skim ini akan menerima pembayaran Sokongan Ihsan Senja tambahan.



Skim Beli Balik Pajakan (LBS)



Bagi warga emas yang ingin terus tinggal di flat mereka sekarang, mereka boleh memohon Skim Beli Balik Pajakan (LBS).



Di bawah LBS, warga emas mengekalkan pajakan yang secukupnya agar flat tersebut dapat bertahan hingga mereka mencapai usia sekurang-kurangnya 95 tahun, dan menjual kembali baki pajakan kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).



Mereka harus menokok sebahagian daripada hasil penjualan pajakan flat tersebut ke Akaun Persaraan CPF mereka dan menyertai skim CPF LIFE untuk menikmati pembayaran bulanan seumur hidup.



LBS telah ditingkatkan Mac tahun lalu yang membolehkan warga emas menikmati maksimum bonus tunai LBS yang lebih tinggi, iaitu $30,000 untuk flat tiga bilik atau lebih kecil; $15,000 (empat bilik); atau $7,500 (lima bilik atau lebih besar).



Sebelum ini, bonusnya ialah $20,000, $10,000 atau $5,000.



Bantu tokok CPF



Anak-anak boleh menokok akaun CPF ibu bapa mereka agar Akaun Persaraan (RA) mereka mencapai Jumlah Persaraan Penuh.



Bagi pencarum berusia 55 tahun ke bawah, Akas Khas (SA) boleh ditokok kepada Jumlah Persaraan Penuh, yang mencapai $186,000 tahun ini.



RA bagi pencarum berusia 55 tahun dan ke atas boleh ditokok mencapai Jumlah Persaraan Yang Dipertingkatkan, yang berjumlah $279,000 tahun ini.



RA merupakan gabungan Akaun Biasa (OA) dan SA yang disatukan apabila seseorang itu mencapai usia 55 tahun.



Apabila mereka berusia 65 tahun, mereka boleh mendapat bayaran bulanan dari RA.



Jika RA tidak ada lagi wang, CPF Life akan mula beroperasi. Skim anuiti itu memberikan bayaran bulanan sehingga akhir hayat.



Tetapi, berapa jumlah diperolehi dari CPF Life bergantung kepada jumlah RA.



Oleh itu, adalah lebih baik RA ditokok kepada Jumlah Persaraan Penuh atau Jumlah Persaraan Dipertingkatkan.



Ini membolehkan mereka mendapatkan bayaran bulanan lebih tinggi yang dapat mengurangkan beban kewangan.



PERANCANGAN HARTA PUSAKA



Isu ini memang sensitif tetapi ia perlu dibincangkan secara telus agar tidak menjadi pertikaian anggota keluarga selepas ibu bapa meninggal dunia.



Selain pembahagian secara faraid, ibu bapa harus diingatkan untuk membuat penamaan calon (nominasi) bagi CPF mereka.



Nominasi CPF membolehkan ibu bapa menentukan, mengikut kehendak mereka, siapa yang akan menerima simpanan CPF mereka dan berapa jumlah yang akan diterima oleh setiap penama.



Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 2010 berpendapat bahawa nominasi CPF berfungsi sebagai bentuk hibah yang sah dan tidak tertakluk undang-undang faraid.



Ini bermakna bahawa nominasi CPF adalah satu-satunya kaedah yang dibenarkan yang membolehkan ibu bapa mempunyai kawalan dan autonomi penuh terhadap pengagihan simpanan CPF, memastikan bahawa orang yang disayangi akan terjaga dengan baik semasa ketiadaan mereka.




"Kebanyakan ibu bapa kurang menyedari bahawa mereka harus menabung selama 20-30 tahun sebelum mereka bersara.

Lantas, pemikiran bahawa mereka ingin 'menikmati kehidupan sekarang' semasa muda tanpa memikirkan mengenai dana persaraan harus dikikis.

Malah, jika kita masih bekerja, kita harus cuba memikirkan cara meningkatkan dana persaraan agar tidak perlu bergantung sangat dengan anak-anak apabila kita tua kelak.''

- Penulis




MANFAATKAN SKIM DAN SUBSIDI BAGI KURANGKAN PERBELANJAAN WARGA EMAS



  • Kad konsesi Passion Silver

  • Pakej Generasi Perintis dan Merdeka

  • Peningkatan rumah

  • Bantuan Kewangan

  • Skim Beli Balik Pajakan (LBS)

  • Bantu Tokok CPF




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >