Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Bahasa jendela warisan kita

Sep 04, 2021 | 05:30 AM



KITA bakal menyaksikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa yang akan ditayangkan di saluran Mediacorp Suria malam ini.



Namun, semarak bahasa Melayu telah dapat dirasakan semenjak tirai Bulan Bahasa dibuka secara rasminya pada 14 Ogos.



Bertali arusnya kegiatan-kegiatan bahasa untuk masyarakat kita amat memberangsangkan.



Hal ini membuat kita rasa bahawa bahasa Melayu terus digunakan dalam lingkungan kehidupan kita dan menjadikan bahasa Melayu itu bahasa yang hidup di Singapura.



PERSEKITARAN BAHASA YANG KIAN BERUBAH



Hasil tinjauan Banci Penduduk 2020 yang dilaporkan baru-baru ini mendedahkan kenaikan penggunaan bahasa Inggeris di rumah.



Hal ini seiringan dengan penurunan penggunaan bahasa Ibunda secara menyeluruh, termasuk bahasa Melayu.



Secara umumnya, hal ini disebabkan pendekatan pragmatik terhadap bahasa Inggeris, yang digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah, bahasa perantaraan di tempat kerja dan dalam hal pentadbiran, serta bahasa pertuturan dalam kalangan masyarakat Singapura yang berbilang kaum.



Hasil tinjauan ini menunjukkan bahawa 60.7 peratus masyarakat Melayu paling kerap menggunakan bahasa Melayu di rumah, menurun daripada 82.7 peratus pada 2010.



Namun, bagi 39.0 peratus keluarga Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris secara umumnya di rumah, 93.3 peratus menyatakan bahawa bahasa Melayu tetap digunakan sebagai bahasa kedua paling kerap di rumah, sebagai bahasa pertuturan.



Hal ini mencerminkan bahawa amalan kedwibahasaan dalam kalangan keluarga Melayu di Singapura tinggi.



Keutamaan penggunaan bahasa Inggeris tidak semestinya bermaksud kemerosotan bahasa Melayu.



Bahasa Melayu tetap digunakan dengan baik dan dijadikan sebahagian daripada amalan harian keluarga di Singapura, sejajar dengan perkembangan masyarakat Melayu yang semakin selesa berdwibahasa. 82.8 peratus keluarga Melayu yang ditinjau pada 2020 memaparkan keupayaan berdwibahasa berbanding 79.4 peratus pada 2010.



Perubahan pada amalan berbahasa sememangnya berlaku dalam persekitaran bahasa yang dinamik.



MENGHAYATI BAHASA MELALUI BUDAYA, SASTERA DAN SEJARAH



Sambutan Bulan Bahasa yang diadakan setiap tahun pada Ogos hingga Oktober menyemarakkan lagi persekitaran kebahasaan melalui program bahasa, sastera dan budaya Melayu.



Pandemik Covid-19 tidak melemahkan semangat kita untuk terus menghidupkan penggunaan bahasa Melayu.



Sambutan Bulan Bahasa yang kini berwajah baru dengan sambutan yang diadakan secara maya selama dua tahun berturut-turut membuktikan kesediaan pelbagai badan Melayu dan pertubuhan masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.



Dengan memanfaatkan wadah teknologi, iltizam pencinta bahasa agar terus memperjuangkan bahasa, budaya dan warisan kita jelas terlihat.



Seperti tahun-tahun yang sudah, Bulan Bahasa tetap menyajikan program yang pelbagai sesuai dengan fokus, kumpulan sasaran dan matlamat yang hendak dicapai.



Daripada Bengkel Drama untuk si cilik kepada Bicara Bahasa untuk para ilmuwan, daripada Anjung Warisan kepada Pojok Budaya, pada dasarnya, setiap kegiatan ini mewarnai suasana penggunaan bahasa Melayu di Singapura dan saling mengukuhkan usaha bersama ini.



Acara Bulan Bahasa dan inisiatif Rakan Bahasa dalam talian, diharapkan dapat meluaskan lagi jangkauan kepada pengguna digital muda kita.



Seiringan dengan itu, ketampakan Duta Bahasa di media sosial yang dipertingkat boleh menyokong usaha menggalakkan penggunaan bahasa dalam kalangan generasi muda yang lebih mesra digital.



Duta-duta Bahasa yang dilantik daripada pelbagai latar, mampu menjadi suri teladan pengguna bahasa yang baik kepada masyarakat Melayu amnya dan golongan muda khasnya.



SELAKU PENATAR BAHASA IBUNDA



"Kita penatar bahasa ibunda".



Demikianlah yang terakam dalam baris dua rangkap kedua lirik lagu tema Bulan Bahasa yang sering kita nyanyikan bersama.



Almarhum Pendeta Muhammad Ariff Ahmad pernah merungkai takrifan 'penatar' ini.



Menurut beliau, 'natar' merujuk kepada gabungan akronim 'naik taraf'. Lantas 'penatar' itu membawa maksud seseorang yang menaikkan taraf sesuatu perkara.



Oleh yang demikian, bagaimanakah kita boleh menjadi penatar bahasa ibunda dalam konteks masyarakat pada hari ini?



Saya kira kita mampu menjadi penatar bahasa Melayu melalui pengkaryaan, baik dalam penulisan kreatif mahupun penulisan ilmiah.



Melalui bahasa yang baik, pembaca dibawa ke dunia yang berbeza; sama ada ke alam imaginasi, alam nyata atau alam cendekia.



Bak jendela yang terbuka luas, bahasa merupakan wahana yang menjanjikan seribu satu kemungkinan kepada minda pembaca.



Tambahan pula, Singapura telah menjadi anggota Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) sejak 2012.



Kita berpeluang membawa sastera Melayu Singapura ke peringkat yang lebih tinggi serta memberikan peluang kepada para sasterawan dalam wadah-wadah yang disediakan oleh Mastera.



Karya sastera yang bermutu bukan sahaja menjadi kebanggaan bersama dunia persuratan setempat, bahkan mampu meletakkan sastera Singapura di persada Nusantara.



Hanya dengan gabungan usaha dan kesepaduan pelbagai pihak yang berkepentingan dapat kita memastikan bahasa Melayu terus berkembang di Singapura.



Bahasa sebagai wahana warisan dan penghubung identiti sosiobudaya kita harus terus diperjuangkan.



Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) dan juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura.




"Kita berpeluang membawa sastera Melayu Singapura ke peringkat yang lebih tinggi serta memberikan peluang kepada para sasterawan dalam wadah-wadah yang disediakan oleh Mastera. Karya sastera yang bermutu bukan sahaja menjadi kebanggaan bersama dunia persuratan setempat, bahkan mampu meletakkan sastera Singapura di persada Nusantara. Hanya dengan gabungan usaha dan kesepaduan pelbagai pihak yang berkepentingan dapat kita memastikan bahasa Melayu terus berkembang di Singapura."
- Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >