Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Bersama main peranan kurangi pencemaran alam

Jul 09, 2023 | 05:30 AM



Masalah perubahan iklim kian menampakkan kesan buruknya.

Pemanasan global mengakibatkan bumi menjadi lebih panas; pengeluaran karbon berlebihan menyebabkan cuaca menjadi tidak menentu dan ekstrem.

Akibatnya ‘bencana alam’ seperti kebakaran hutan, ribut taufan, hujan lebih lebat dan kemarau panjang bukan sahaja kerap berlaku malah lebih ganas dan dahsyat.

Banyak harta benda serta alam kehijauan kita musnah dan jiwa terkorban.

Pencairan ais di Artik dan Antartika memburukkan lagi keadaan. Ia menyebabkan paras air laut meningkat, sekali gus mendatangkan ancaman bagi penduduk yang tinggal di pesisiran pantai.

Kesan perubahan ikim juga menjejas kewujudan spesies binatang; mengganggu sumber makanan seperti perikanan, tanaman dan ternakan; dan boleh mendatangkan bahaya penyakit berjangkit.

Ringkasnya, akibat masalah cuaca ini, dunia menghadapi pelbagai risiko.

Perkara ini sudahpun berlaku di banyak negara, termasuk Singapura.

Misalnya, kita sering menghadapi hujan yang amat lebat manakala suhu cuaca boleh mencecah paras tinggi, seperti suhu pada Mei 2023 sebanyak 37 darjah Celsius – rekod tertinggi dalam tempoh 40 tahun Singapura.

Selasa lalu, bumi mengalami hari terpanas dalam sejarah dengan suhu mencapai purata 17.18 darjah Celsius. Kemungkinan ia akan terus naik tidak dapat ditolak memandangkan fenomena El Nino yang dikaitkan dengan cuaca panas dan kering dijangka menjelma dalam beberapa minggu mendatang.

Manusia dan kegiatannya, secara langsung atau tidak langsung, antara penyebab berlakunya krisis iklim ini.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghentikan kegiatan yang boleh merosakkan alam, sebaliknya bersama menghuraikan masalah tersebut dan mengambil langkah proaktif memperbaiki keadaan demi menjadikan dunia ini lebih mampan dan bebas pencemaran.

Malah langkah itulah yang diorak Singapura baru-baru ini untuk bersama warga dunia lain dalam melaksanakan peranan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Pada 30 Jun lalu, pulau ini melancarkan pergerakan Ayuh Hijau SG – satu usaha nasional yang bertujuan menggalakkan warga dan pertubuhan untuk mengambil tindakan kolektif ke arah membina alam sekitar Singapura yang lebih mampan dan berdaya tahan iklim.


Lebih 300 kegiatan ‘mampan’ daripada 150 rakan kongsi telah dirancang sepanjang Julai 2023.

Contohnya inisiatif ‘Sustainability Parks’ DBS Bank yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang isu kemampanan di kalangan kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun dan membantu mereka memupuk tabiat lebih mampan dalam kehidupan harian.

Semasa melancarkan pergerakan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata membina Singapura yang lebih hijau merupakan keutamaan pemerintah.

Ia akan menyediakan prasarana yang diperlukan, serta menetapkan peraturan dan dasar yang betul untuk membina negara lebih mampan.

Namun juga penting ialah tanggungjawab kita sebagai individu, perniagaan dan masyarakat untuk turut sama memainkan peranan mengubah gaya hidup dan mengamalkan tabiat lebih mampan demi mengurangkan pencemaran alam.

Sama ada dengan menaiki lebih banyak pengangkutan awam, mengurangkan penggunaan tenaga di rumah, meningkatkan usaha mengitar semula, menggunakan beg guna semula semasa berbelanja atau menggunakan kenderaan elektrik – semua ini boleh memberi kesan positif kepada alam sekitar kita.

Dalam melancarkan usaha murni ini, Encik Wong turut menggalakkan warga mengambil Ikrar Negara Hijau bagi mempamerkan komitmen kita menangani isu perubahan iklim.

Pemanasan global telah menampakkan tanda awal betapa buruk kesannya yang boleh melanda kehidupan.

Namun kita masih belum terlambat. Secara kolektif kita boleh menjalankan peranan dan tanggungjawab untuk mengurangkan kesan pencemaran alam dan menjadikan sekitaran hidup kita lebih hijau, sihat dan bersih.

Pendek kata, kita masih boleh menyelamatkan bumi ini yang semakin ‘sesak’ dengan pencemaran dan menjalin ‘hubungan’ bersama alam yang perlu kita jaga dan pelihara.

Mari lahirkan komitmen hijau kita hari ini supaya generasi masa depan tidak dibebani masalah perubahan iklim mendalam, sebaliknya menyediakan mereka sekitaran hidup lebih baik dan selamat untuk semua.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >