Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Bersiap hadapi risiko jerebu pada 2023, 2024

Oct 01, 2023 | 05:30 AM



Kemunculan semula El Nino baru-baru ini sekali lagi mencetuskan perbincangan tentang bagaimana kita harus bersedia menghadapi jerebu di Singapura.

Kejadian jerebu merentas sempadan di Asia Tenggara pada 2015 mungkin berulang pada tahun ini dan mungkin pada 2024.

Sebahagian besar Indonesia, Singapura, Malaysia, Vietnam dan Thailand mengalami tempoh berlarutan dengan daya penglihatan dan mutu udara yang rendah pada masa itu, selepas kebakaran gambut dan tumbuh-tumbuhan yang marak di Indonesia menjadi lebih hebat lagi dengan cuaca panas dan kering yang dibawa El Nino.

Jerebu itu menyelubungi rantau ini, mengakibatkan kehilangan nyawa yang meluas, masalah kesihatan dan masalah ekonomi di seluruh Asia Tenggara.

Debu, asap dan lembapan daripada kebakaran ini menyebabkan kesukaran melihat dan bernafas. Lebih 100,000 kematian sepatutnya dapat dicegah.

Episod itu dikatakan menyebabkan Singapura mengeluarkan $1.83 bilion berhubung kesan buruk kesihatan, kerugian dalam perniagaan, pelancongan dan produktiviti, dan kos mitigasi dan penyesuaian, menurut kajian Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Sama seperti tempoh itu 2015-2016, tahun ini menandakan permulaan satu lagi El Nino.

Kita melihat suhu permukaan laut melebihi purata yang direkodkan di Lautan Pasifik, angin yang lemah dari timur ke barat sepanjang Khatulistiwa, mengakibatkan hujan yang berkurangan ke Asia Tenggara.

Kita boleh menjangkakan musim kemarau tahunan yang lebih lama dan lebih kering, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

KISAH SERUPA DI SELURUH DUNIA?

Di seluruh dunia, cerita yang sama sedang berlaku.

Perubahan iklim mewujudkan keadaan yang sesuai bagi kebakaran merebak, yang juga menjadikannya lebih sukar untuk dipadamkan.

Kadar penyejatan meningkat apabila suhu meningkat, menyebabkan lembapan dikeluarkan daripada tumbuhan di bumi.

Pengeringan ini boleh mewujudkan keadaan yang bahaya dan tidak terkawal. Sebarang kebakaran yang berlaku boleh merebak dengan cepat.

Cuaca ekstrem pada 2023 telah menyebabkan kebakaran hutan besar-besaran di Hemisfera Utara, mengakibatkan kesan buruk kepada manusia dan ekosistem di Greece, Hawaii dan Canada.

Pakar sudah pun menggelarkan episod kebakaran di Maui, Hawaii, sebagai salah satu bencana alam terburuk dalam sejarah Hawaii dan telah memberi amaran bahawa kebakaran hutan di Greece telah mencapai skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Kesatuan Eropah (EU).

Di utara Amerika, penduduk New York terjaga pada 7 Jun akibat bau asap di udara ekoran gejala kebakaran hutan yang marak di Canada. Meskipun New York bersedia untuk mengedarkan pelitup, mutu udara meningkat ke tahap berbahaya di tempat-tempat yang lebih jauh ke selatan termasuk Minnesota dan Indiana, disebabkan angin timur laut.

Jerebu rentas sempadan, fenomena yang dikaitkan dengan Asia Tenggara, semakin kerap berlaku di kawasan lain di dunia.

Bagaimanapun, tidak seperti kejadian jerebu di tempat lain, jerebu di Asia Tenggara dikaitkan dengan pembakaran bukan sahaja tumbuh-tumbuhan, tetapi juga tanah gambut.

Tanah gambut ialah tanah lembap yang terbentuk daripada pereputan tumbuhan yang tidak lengkap di bawah keadaan berair.

Ini tersebar luas di seluruh Asia Tenggara, terutama di Indonesia dan Malaysia, dan kaya dengan bahan organik.

Pembasmian hutan tanah gambut, ditambah dengan pembinaan terusan bagi pembangunan infrastruktur dan pengeluaran tanaman pertanian industri dan pekebun kecil, mengurangkan kelembapan tanah.

Ini mewujudkan ekosistem yang sangat mudah terbakar yang sangat terdedah kepada pembakaran berlarutan.

Ketika kemuncak krisis 2015, kebakaran di Indonesia dilaporkan melepaskan lebih 15 juta tan karbon sehari ke atmosfera – lebih daripada pelepasan karbon harian keseluruhan ekonomi Amerika Syarikat.

Walaupun Indonesia berusaha memulihkan tanah gambut dan meningkatkan keupayaan memadam kebakaran semasa musim kemarau, keadaan kemarau yang teruk boleh menjejas langkah sedemikian.

Ia menurunkan paras air di tanah gambut dan menjadikan akses kepada sumber air sukar bagi anggota bomba.

PERLINDUNGAN TERBAIK

Rakyat Singapura telah menyesuaikan diri dengan jerebu selama bertahun-tahun dengan berdiam di rumah, menggunakan pembersih udara dan alat hawa dingin, dan menggunakan pelitup untuk melindungi diri mereka.

Ramai orang sedar bahawa peningkatan pesat dalam konsentrasi bahan zarahan yang tinggi boleh membahayakan kesihatan manusia.

Bagaimanapun, tidak semua orang mempunyai akses kepada langkah penyesuaian sedemikian.

Sesetengah segmen populasi lebih terdedah kepada bahaya.

Golongan yang sangat muda dan tua boleh mengalami penyakit pernafasan apabila terdedah kepada bahan zarahan yang tinggi.

Orang yang mengalami masalah pernafasan seperti semput mungkin mengalami kesukaran bernafas.

Akses kepada pembersih udara dan alat hawa dingin mungkin tidak tersedia untuk penduduk berpendapatan rendah.

Mereka yang bekerja di luar bangunan seperti dalam industri pembinaan, anggota tentera dan guru sukan juga akan terdedah lebih lama kepada jerebu.

Perlindungan terbaik adalah semua orang memantau mutu udara di laman haze.gov.sg dan mengurangkan masa yang diluangkan di luar untuk kerja yang tidak penting jika jerebu mencapai tahap berbahaya.

Peraturan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja boleh disesuaikan untuk setiap sektor, dengan amalan terbaik yang disyorkan oleh industri dan agensi pemerintah relevan yang bekerjasama.

Perlindungan kedua terbaik, jika kerja penting mesti diteruskan di luar, adalah memakai pelitup.

Walaupun Covid-19 telah membiasakan pemakaian pelitup, penggunaan pelitup pembedahan tidak mencukupi untuk melindungi diri kita daripada kesan terburuk jerebu.

Pelitup N95 atau FFP2, sebaliknya, direka untuk menapis zarah dengan lebih berkesan daripada jerebu.

Adakah Singapura mempunyai jumlah pelitup yang mencukupi jika keadaan udara berubah menjadi lebih teruk?

Mujur, Kementerian Kesihatan mendedahkan pada Julai bahawa ia bersedia untuk menyediakan bekalan pelitup N95 ke farmasi jika terdapat kekurangan.

Pasukan petugas jerebu antara agensi di Singapura juga merancang untuk bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengedarkan pelitup kepada penduduk berpendapatan rendah dan yang mudah terdedah kepada bahaya sekiranya berlaku episod jerebu yang teruk.

PENYELESAIAN BERKEKALAN

Mitigasi kebakaran di atas tanah gambut tidak dinafikan merupakan satu-satunya penyelesaian jangka panjang untuk membendung kesan kesihatan daripada jerebu.

Tindakan punitif boleh membantu.

Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan Singapura, dengan hukuman berat bagi syarikat yang mencemarkan yang berpangkalan di Singapura, merupakan satu instrumen yang boleh digunakan untuk mendorong syarikat supaya lebih tekun memantau dan memadamkan kebakaran di dalam dan sekitar konsesi tanah mereka.

Membuat laporan perniagaan tentang bagaimana operasi mereka menyumbang kepada pelepasan karbon boleh membimbing pelabur untuk menjauhi industri pencemar yang menyebabkan penebangan hutan dan jerebu.

Walaupun pelaporan kemampanan adalah mandatori bagi syarikat tersenarai dalam Bursa Singapura, lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk menyeragamkan rangka kerja pelaporan, dengan rujukan diambil daripada piawaian global.

Langkah awal untuk melabur dalam pemulihan tanah gambut dan mengurangkan insentif untuk kegiatan yang menyumbang kepada kemerosotan tanah gambut adalah cara yang lebih baik di mana Singapura, sebagai hab kewangan global, boleh menyumbang untuk mengurangkan jerebu.

Wang menghantar isyarat yang kuat.

Di sinilah pembangunan Singapura bagi pasaran karbon di rantau ini yang menghubungkan pasaran karbon yang mantap di Barat dan pasaran baru muncul di rantau ini, dan memudahkan pengaliran modal dan kredit karbon ke arah pemulihan tanah gambut dan pemeliharaan hutan dan tanah gambut, boleh membuat perubahan besar.

Terakhir, penyelidikan mendalam tentang jerebu di Asia Tenggara adalah penting untuk kemajuan berterusan dalam memahami punca dan kesan sosio-ekologinya.

Meningkatkan kesedaran melalui komunikasi sains dalam kalangan rakyat Singapura akan membolehkan kita melihat bagaimana tabiat pengguna dan keputusan pelaburan memberi kesan kepada persekitaran dan rantau kita.

Penyelidikan juga boleh melahirkan aplikasi praktikal.

Penyelidikan pelbagai disiplin di Balai Cerap Bumi Singapura, dalam memetakan kebakaran dan memantau mutu udara di seluruh Singapura, boleh membawa kepada produk penyelidikan berguna yang menyokong pembuatan keputusan dasar negara dan serantau mengenai jerebu Asia Tenggara.

Penolong Profesor Janice Lee dan Profesor Madya Steve Yim adalah ketua penyelidik di Balai Cerap Bumi Singapura di Universiti Teknologi Nanyang. Profesor Benjamin Horton adalah pengarah di pusat yang sama. Rencana ini telah disiarkan di The Straits Times.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >