AIR ada pasang dan surutnya. Pasaran hartanah juga begitu. Ekoran beberapa langkah menyejukkan pasaran yang diperkenalkan pemerintah, pasaran hartanah kini semakin lembap. Harga atas taksiran (COV), yang pernah meningkat sehingga membebankan bakal pembeli, juga semakin merosot dan ada flat yang dijual pada harga taksiran.
Sedang pasaran semakin lembap, ejen-ejen rumah mula berasa bahangnya kerana transaksi jual beli flat yang mereka kendalikan semakin berkurangan. Seperti didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex Realty, Encik Ismail Gafoor, pendapatan ejen menjunam 30 sehingga 50 peratus dek lembapnya pasaran flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang disifatkannya paling rendah dalam 10 tahun. Beliau juga menganggarkan bilangan ejen perumahan akan merosot tahun ini.