Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PENULIS TAMU

Jadi bapa memerlukan seseorang pegang pelbagai peranan, watak

Bulan Kebapaan yang dianjurkan Bapa Sepanjang Hayat (BSH) melabuhkan tirainya akhir bulan ini. Sepanjang bulan ini, BSH menganjurkan pelbagai program dan kegiatan untuk bapa dan anak dengan tujuan meraikan peranan bapa dalam hidup anak-anak serta meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab yang dipikul bapa. Sebagai menutup Bulan Kebapaan itu, dua relawan BSH menulis refleksi mereka.

MOHAMMAD ZAHRIN ABDULLAH

Sep 25, 2022 | 05:30 AM



DETIK tangisan anak saya mula memecahkan suasana tegang dan panik di bilik bersalin di hospital masih bermain di fikiran.



Saya masih ingat kali pertama saya mendukung anak sulung saya. Dengan perasaan bercampur baur, saya mula bertanya apakah saya berdaya menjadi seorang bapa yang baik? Apa pula pengertian seorang bapa?



Setiap kali saya menyambut ulang tahun anak saya, saya berasa bahawa saya semakin matang dan faham selok-belok menjadi seorang bapa. Namun, sangkaan saya meleset.



Sekalipun tujuh tahun sudah berlalu, soalan itu masih belum dapat saya jawab secara tuntas. Andai tujuh tahun itu dapat saya tanggapi sebagai satu perjalanan, ingin saya anggap perjalanan itu sebagai satu perjalanan sepanjang hayat.



Menjadi seorang bapa memerlukan seseorang memegang pelbagai peranan dan watak. Ada kalanya seronok. Ada kalanya pula terpaksa bertegas.



Mengimbau kembali, soalan tersebut mungkin menjadi pencetus bagi diri saya mendekatkan diri dengan gerakan Bapa Sepanjang Hayat (BSH).



Hasil daripada pelibatan saya dalam gerakan tersebut, berikut merupakan beberapa pelajaran yang kian menjadi azimat bagi diri saya.



a) Pemimpin: Seorang bapa harus mengimbangi dan memberi impak positif kepada keluarga.



b) Pendidik: Seorang bapa harus memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan ukhrawi dan duniawi sempurna.



c) Pelindung: Seorang bapa harus menghalang anasir-anasir buruk dan jahat daripada melanda dan memesongkan akal anak-anaknya.



d) Pencari Nafkah: Seorang bapa harus memastikan keperluan asas anak, seperti makan dan minum, pakaian dan sebagainya



e) Pengaruh: Seorang bapa harus memastikan hala keluarganya menuju ke satu arah yang baik.



Anggota BSH sepakat dalam niat dan keinginan hendak menjadi bapa dan ketua keluarga baik.



Lewat pelibatan kami, kami sama-sama berkongsi pegalaman dan belajar daripada satu sama lain.



Jika anda seorang bapa yang fikir anda bersendirian, hubungilah kami kerana petualangan sebagai seorang bapa tidak perlu anda lalui seorang diri.



Ahad lalu sebuah forum pendidikan BSH diadakan buat julung-julung kalinya sempena Bulan Kebapaan.



Acara itu membuka mata saya kepada perkongsian oleh barisan panelis yang mahir dalam bidang masing-masing. Mereka terdiri daripada pakar merentasi pelbagai bidang dan sektor, seperti agama, pendidikan, psikologi dan media sosial.



Kepakaran barisan panelis diimbuh pula dengan kehadiran Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), yang menyampaikan ucap tama.



Acara tersebut mengingatkan kita akan peri pentingnya setiap bapa menimba ilmu dan kemahiran untuk menjadi bapa.



Mentelah tugas membimbing anak bukan sesuatu yang mudah atau boleh dilakukan tanpa sokongan daripada pelbagai pihak.



Tanggungjawab tersebut haruslah kita galas secara berhemah. Hal ini penting dalam memastikan anak-anak kita membesar dalam persekitaran terbaik bagi merealisasikan kejayaan dalam diri mereka.



Barangkali hal itulah yang ingin disampaikan Dr Maliki dalam ucapannya apabila beliau mengingatkan:



"Anak-anak kita membesar terlalu cepat sebelum kita menyedarinya dan saya menggalakkan semua bapa menghargai masa dan peluang untuk memainkan peranan yang bermakna dalam hidup mereka".



• Penulis pengerusi jawatankuasa pendidikan, Bapa Sepanjang Hayat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >