Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Melestari warisan penulisan

Mar 10, 2021 | 05:30 AM



APAKAH takrifan 'menulis'?



Adakah 'menulis' paparan kemampuan dan keterampilan berbahasa seseorang?



Adakah 'menulis' cerminan kreativiti seseorang untuk menyampaikan idea dan perasaan?



Sememangnya jawapan 'ya' bagi kedua-dua soalan yang ditanyakan.



Namun, lebih daripada proses penuangan idea dalam bentuk simbol-simbol bahasa, menulis adalah berfikir dan berfikir itu satu proses yang sangat mendasar bagi manusia.



Penulis sebagai mata, telinga dan mulut masyarakat mampu merakamkan peristiwa dan pengalaman yang berlaku di sekeliling untuk dijadikan modal berfikir kepada pembaca.



Oleh itu, hasil penulisan yang baik dapat dijadikan ramuan bagi membina kesedaran kolektif yang boleh mencorakkan hala tuju sesuatu bangsa. Menulis itu warisan kehidupan.



MENYEDIAKAN PERSEKITARAN BAHASA DAN PERSURATAN



Pandemik Covid-19 tidak menjadi hambatan untuk meneruskan usaha memupuk minat menulis dalam kalangan pelajar dan penulis muda.



Dengan memanfaatkan wadah teknologi sedia ada, usaha untuk menganjurkan program-program seperti bengkel penulisan terus giat dijalankan secara maya pada peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan masyarakat.



Tak kenal maka tak cinta.



Diharapkan dengan usaha sebegini, lebih ramai yang terdorong untuk berjinak-jinak dalam bidang penulisan.



Akan terlahirlah nanti golongan penulis muda yang bakal menjadi pelapis untuk memperjuangkan dan mengibarkan bendera negara di arena persuratan.



Usaha memupuk minat menulis dalam kalangan pelajar dan penulis setempat disambut baik oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) melalui pendanaan yang disediakan bagi menyokong hal-hal penerbitan.



Bahan-bahan bacaan yang diedarkan ke sekolah-sekolah dan kesemua cawangan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) ini akan menambah dan memperkaya sumber bacaan bukan sahaja untuk para pelajar malah untuk khalayak pembaca umum.



Oleh yang demikian, secara tidak langsung hal ini akan mencorak budaya membaca yang lebih bertenaga.



Bagi penggiat karya penulisan kreatif, baik yang baharu mahupun yang mapan, suasana pengkaryaan terus disemarakkan melalui pertandingan yang ulung seperti Anugerah Pena Emas anjuran Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Mencari Kristal anjuran Berita Harian/Berita Minggu dengan kerjasama NAC.



Pertandingan sebegini akan terus menyuburkan bakat penulis setempat dan mewujudkan sekitaran membina pemikiran yang kreatif serta menyediakan wadah ekspresi sastera di Singapura.



MEMBENTUK KOMUNITI PENULIS YANG BERWIBAWA



Bagi para penulis watan yang unggul yang bergiat dalam bidang persuratan Melayu, Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) menyajikan penganugerahan tertinggi untuk mengiktiraf karya yang bermutu dan bernilai.



Anugerah Persuratan (AP), selain menjadi kebanggaan bersama dunia persuratan, meletakkan sastera Singapura di peta kesusasteraan Nusantara.



Semenjak AP diperkenalkan pada tahun 1993, acara dwitahunan ini telah pun mengiktiraf segolongan penulis yang berwibawa.



Sudah tiba masanya untuk kita memikirkan usaha bagi membentuk satu komuniti penulis demi mempertingkatkan mutu karya dan ketukangan dalam bidang persuratan.



Sering kita dengar ungkapan yang mengatakan bahawa menulis itu adalah keberanian.



Sememangnya seseorang penulis itu harus berani menampilkan pemikirannya termasuk idea, perasaan, cara fikir dan gaya tulis serta menawarkannya kepada orang lain.



Seiring dengan itu, penulis itu juga harus berani menerima teguran dan pandangan yang berbeza demi memperbaik sesuatu karya yang dihasilkan dengan mengamalkan sikap keterbukaan.



Namun, jauh lebih penting daripada keberanian ialah sikap bertanggungjawab atas apa yang ditulis. Berani dan bertanggungjawab inilah antara ciri khas seorang penulis yang berwibawa.



Yang muda dikasihi, yang tua dihormati.



Penulis-penulis mapan yang kaya ilmu dan pengalaman mampu menjadi mata kompas hala tuju penulisan setempat dengan membimbing penulis muda.



Melalui ruang bersama yang selamat yang diwujudkan dalam sesebuah komuniti penulis - antara penulis-penulis mapan, antara penulis mapan dengan penulis muda - bidang persuratan setempat akan dapat terus berkembang dan dipertingkatkan.



MEMBANGUNKAN KARYA ILMIAH



Sejajar dengan harapan untuk terus mempertingkatkan bidang persuratan di Singapura, MBMS ada menawarkan geran kajian untuk membangunkan cabang penulisan karya ilmiah.



Sering kali kita kaitkan penulisan dengan cabang penulisan kreatif yang mana pembaca dibawa ke dunia rekaan, dunia imaginasi, atau dunia yang berbeza dengan dunia nyata yang dihadapi, melalui penceritaan yang mengasyikkan.



Namun, kajian ilmiah tidak kurang hebatnya untuk memperkasa pengetahuan dan kemahiran.



Melalui penelitian, pengamatan, perbincangan dan perbahasan, sesuatu idea atau konsep itu dapat dibicarakan secara objektif dan sistematik.



Dengan kata lain, karya ilmiah juga ialah bentuk penceritaan iaitu penceritaan di sebalik data, fakta dan bukti yang dipersembahkan.



Penulisan, baik yang berbentuk kreatif mahupun yang sebaliknya, merupakan sebahagian daripada khazanah persuratan masyarakat.



Legasi bahasa, budaya dan sastera yang terakam dalam penulisan memainkan peranan penting untuk mengukuhkan dan meningkatkan martabat sesuatu bangsa itu.



Sama-samalah kita berusaha untuk terus memperjuang bidang persuratan Melayu ke arah kejayaan yang boleh dibanggakan.



  • Penulis Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri) dan juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS)


Pandemik Covid-19 tidak menjadi hambatan untuk meneruskan usaha memupuk minat menulis dalam kalangan pelajar dan penulis muda.

Dengan memanfaatkan wadah teknologi sedia ada, usaha untuk menganjurkan program-program seperti bengkel penulisan terus giat dijalankan secara maya pada peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan masyarakat.

Tak kenal maka tak cinta.

Diharapkan dengan usaha sebegini, lebih ramai yang terdorong untuk berjinak-jinak dalam bidang penulisan.

Akan terlahirlah nanti golongan penulis muda yang bakal menjadi pelapis untuk memperjuangkan dan mengibarkan bendera negara di arena persuratan.

Usaha memupuk minat menulis dalam kalangan pelajar dan penulis setempat disambut baik oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) melalui pendanaan yang disediakan bagi menyokong hal-hal penerbitan.

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >