Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Menteri pertahanan Asean boleh main peranan henti keganasan di Gaza: Penganalisis

Nov 17, 2023 | 02:38 PM



Nota dari Jakarta

Ismira Lutfia Tisnadibrata

Gesaan menteri pertahanan negara-negara Asia Tenggara agar dihentikan segera keganasan yang semakin meningkat di Gaza boleh menjadi pengaruh bagi Asean dalam menangani peningkatan konflik bersenjata yang sedang berlaku di Timur Tengah, kata penganalisis.

Para menteri itu juga menarik perhatian kepada keselamatan warga Asean dan orang awam yang terperangkap di kawasan konflik itu dengan menggesa kedua-dua pihak, Hamas dan Israel, agar menghormati kehidupan manusia dan dengan segera serta tanpa syarat membebaskan semua tebusan.

“Pandangan bersama Asean dan seruan gencatan senjata di Gaza adalah satu pernyataan penting kerana masyarakat sejagat mengiktiraf kedudukan blok itu,” kata pakar Asia Tenggara dan Timur Tengah dari Universiti Indonesia, Encik Yon Machmudi, kepada Berita Harian.


“Seruan ini mengharapkan negara-negara lain, terutamanya kuasa besar Barat yang memihak pada Israel, juga dapat mendesak Israel supaya menghentikan serangannya.

“Ini terutamanya negara-negara yang tidak meminta Israel melaksanakan gencatan senjata,” tambahnya.

Para menteri pertahanan itu dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) ke-17 di Jakarta pada Rabu, diikuti oleh mesyuarat pada Khamis bersama rakan sejawatan mereka dari lapan negara rakan kongsi, atau  ADMM-PLUS, ke-10.

Lapan negara itu ialah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan Amerika Syarikat.

Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berkata keadaan yang semakin memburuk di Gaza adalah antara isu yang beliau dan rakan sejawatannya dari Asean bincangkan semasa pertemuan mereka.

Beliau, selaku pengerusi mesyuarat tahunan itu, turut mengeluarkan kenyataan bagi pihak rakan sejawat serantaunya yang secara khusus mahu agar situasi peningkatan konflik bersenjata di Timur Tengah ditangani secara berkesan.

“Kami meminta semua negara yang mempunyai pengaruh supaya menggunakan pengaruh mereka untuk mendesak agar segera dihentikan kekerasan terhadap orang tidak bersalah, orang awam tidak bersenjata, bukan pejuang, wanita, dan kanak-kanak, serta dilindungi prasarana awam kerana ia sepatutnya tidak menjadi sasaran dalam pertempuran mengikut undang-undang antarabangsa dan tentera,” kata Encik Prabowo kepada wartawan dalam satu sidang media selepas pertemuan itu berakhir.

Dalam kenyataan itu, menteri-menteri pertahanan Asean menyatakan “kekecewaan mendalam” terhadap serangan yang dilaporkan dan kehilangan nyawa orang awam yang tidak bersalah dalam konflik itu, serta pemusnahan prasarana awam.

Kenyataan itu turut menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutamanya Majlis Keselamatan, “supaya mengambil peranan lebih aktif dalam mencegah peningkatan konflik yang lebih teruk dan mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih luas”.

Kenyataan menteri pertahanan itu dibuat selepas Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang juga pengerusi Asean 2023, membuat rayuan langsung mengenai gencatan senjata kepada Presiden Amerika, Encik Joe Biden, semasa pertemuan mereka di Rumah Putih pada 13 November.

“Indonesia merayu kepada Amerika supaya melakukan lebih banyak lagi untuk menghentikan kekejaman di Gaza. Gencatan senjata ialah satu kemestian demi kemanusiaan,” kata Encik Jokowi.

Encik Biden tidak menjawab kenyataan Encik Jokowi mengenai situasi di Gaza.

Walaupun Encik Biden tidak menjawab seruan Encik Jokowi, Encik Prabowo berkata gesaan Asean bagi gencatan senjata di Gaza masih berfungsi sebagai suara moral pematuhan pada undang-undang antarabangsa.

Malaysia dan Singapura antara negara Asean yang turut membangkitkan isu itu semasa mesyuarat pada Rabu.

Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia dengan tegas menyatakan pendiriannya mengenai situasi di Palestin sambil mengutuk tindakan keganasan dan pembunuhan orang awam.

“Dalam tempoh yang mencabar ini, Malaysia mengulangi pendirian tidak berbelah bahagi supaya gencatan senjata dicapai segera, akses bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang, dan penolakan tegas terhadap sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari tanah milik mereka,” kata Datuk Mohamad kepada wartawan selepas majlis penyerahan kerusi pengerusi daripada Indonesia kepada Laos bagi 2024.


Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, berkata Asean boleh belajar daripada keganasan yang tidak dijangka di Ukraine dan Gaza.

“Kita boleh kehilangannya (keamanan) jika kita sebagai pemimpin negara tidak memberi perhatian.

“Saya takut memikirkan apa yang akan berlaku jika terdapat konflik di Asia.

“Saya tidak pasti bahawa dunia boleh menahan atau bertolak ansur dengan perang di Eropah, keadaan yang semakin buruk di Timur Tengah dan Asia,” ujar Dr Ng.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >