Menyingkap rasa beruntung orang Jawa

PERNAH dengar senda mengenai orang Jawa yang selalu untung waimah dalam apa jua suasana perit?

Kecelakaan pertama (motosikal rosak), ujar orang Jawa: "Untung motosikal saya rosak tapi dekat bengkel."

Kecelakaan kedua (kaki kiri patah dek kemalangan), katanya: "Untung masih ada kaki kanan."

Kecelakaan ketiga (kededua kakinya lumpuh), ujarnya: "Untung saya masih hidup."

Kecelakaan keempat (jika rumah terbakar dan membawa maut), ujarnya: "Untung saya cepat mati dan tidak terseksa lama."

Kecelakaan kelima (jika dimasukkan ke dalam neraka), responsnya: "Untung di sini rame (ramai) kawan."

PAMERAN JAWA

Apakah aspek untung tadi pada orang Jawa yang dikatakan insan yang sentiasa bersyukur yang akan dipaparkan dalam pameran di Taman Warisan Melayu tahun ini? Tunggulah nanti.

Lazimnya Persekutuan Jawalul Masakin (PJM, diaftarkan pada 1904) mewakili orang Jawa. Adakah kelakonannya nanti akan sebaik Persatuan Bawean Singapura (PBS) yang menampilkan acara Laaobe pada 2014 atau Persatuan Minangkabau Singapura (PMS) dengan Marantau pada tahun lalu?

Pameran dua badan terdahulu itu melibatkan arca, ceramah, pementasan drama dan tarian hingga bengkel bahasa.

PBS pula telah menerbitkan segala hasil pameran Laaobe menjadi sebuah buku mewah (coffee table) yang dapat dibanggakan. Bagaimana pula PJM?

ETNIK TERBESAR RUMPUN

Jawa merupakan suku kaum atau etnik terbesar dalam rumpun Melayu.

Cara orang Jawa menerima Islam dikatakan antara aman dengan pertentangan, khususnya di Pulau Jawa. Persembahan seni seperti wayang kulit telah digunakan dalam dakwah Islamiah oleh Wali Songo (pendakwah Islam di Jawa) terutama Sunan Kalijaga yang juga mengarang lagu Tombo Ati yang amat syahdu nyanyian Opick.

Orang Jawa yang teguh Islamnya dianggap golongan santri, sementara yang pertengahan dipanggil abangan, menurut sarjana Barat, Clifford Geertz, dalam bukunya Religion of Java (1960).

Antara lain, peradaban Jawa terpapar pada dua tulisan penting - Primbon (kitab perihal menilai tuah) dan Serat Centhini (1814) yang mengolah jati diri Jawa sehingga hubungan suami isteri.

Di Indonesia, yang penduduknya sekitar 250 juta, 42 peratus adalah orang Jawa. Orang Jawa juga tersebar di seluruh rantau ini sehingga sejauh Belanda dan Surinam di Amerika Selatan. Antara lain, tebaran tadi berlaku dek dasar penjajah Belanda yang mengangkut orang Jawa sebagai hamba, kuli kontrak atau pesalah yang dibuang ke negara jajahan Belanda di luar Nusantara.

Orang Jawa dikatakan tidak gemar merantau dan lebih redha hidup berkumpul walaupun sukar (mangan orak mangan ngumpul: biar lapar, asal berkumpul). Lain halnya dengan orang Minang dengan adat merantau bagi lelaki atau orang Bugis yang suka belayar untuk mencari harta dan nama.

Dalam buku memoirnya, Kampungku Siglap (2010) Almarhum Cikgu Mohd Anis Tairan (1932-2014) sempat menulis perihal Jawa Perantau di Singapura.

Kajian menunjukkan perantau Jawa sudah ketara sejak zaman sebelum Majapahit dan berkembang dalam zaman pembesaran empayar Majapahit (1253-1500 Masihi).

Kalangan orang Melayu pula sudah berada di Makkah seawal abad kelapan Masihi dan dikenali sebagai orang Jawi. Dilaporkan terdapat perkampungan Jawi di Makkah dan Madinah untuk ulama, pelajar, pedagang, syeikh haji dan jemaah haji dari rantau ini. Ada yang berkahwin dengan wanita Arab.

Sayangnya, ada kalanya, istilah 'Jawi' tadi disalahertikan dengan Jawa.

UNTUNG

Untuk mensyukuri untung, orang Jawa mengadakan slametan (kenduri doa selamat). Jawa juga seiras dengan senyum, tenang (kalem) dan berbicara lunak berlagu, berahsia dan selalu beralas dalam tutur dan tindakannya. Misalnya, jika kakinya dipijak, orang Jawa tunduk berkata: "Maaf pak, kaki saya kok dipijak?"

Oleh itu sukar diselami sikap sebenar orang Jawa - apakah tidak setuju atau setuju kerana sentiasa cakap beralas.

Namun, ini bukan bermakna orang Jawa tidak membantah atau cuma akur belaka.

Jawapannya pasti boleh diperolehi dengan memintanya membuat ikrar atau bersumpah. Hal ini terpapar dalam sejarah Sumpah Pemuda yang merupakan tonggak dalam proses ke arah pembentukan sebuah watan Indonesia daripada jajahan Belanda yang dipanggil Hindia Timur Belanda.

Sumpah itu terhasil pada Kongres Pemuda Kedua pada 27 hingga 28 Oktober 1928 di Batavia (Jakarta). Ketika itu sekurang-kurangnya terdapat dua gerakan pemuda terbesar di Indonesia iaitu Jong Sumatranen Bond dan Jong Java.

Ketika di Jawa sudah terdapat kesedaran bahawa kemerdekaan tidak akan tercapai jika orang Jawa berat mengetepikan kepentingannya demi keharmonian dengan semua suku kaum. Orang Jawa juga sedar bahawa bahasa Jawa tidak boleh menyatukan kerana bersifat kasta (ada sembilan darjat daripada bawahan sehingga raja).

Titik sejarah itu bermula dengan tindakan sejarawan dan nasionalis asal Minang, Muhammad Yamin (1903-1962), menghulurkan secarik kertas berisi Ikrar Sumpah Pemuda kepada Sugondo Djojopuspito (Joyopuspito, 1904-1978) agar dibacakan sebagai keputusan kongres.

DI LUAR JAWA

Tebaran orang Jawa terdapat di hampir seluruh rantau ini. Lazimnya, menurut Profesor U.U. Hamidy, ilmuwan besar Riau, orang Jawa sangat "membaur" iaitu sanggup menyerapkan dirinya sebagai orang Melayu di Riau. Hal ini diakui oleh budayawan besar Riau, Dr Tenas Effendy (1936-2015).

Namun, dinamisme Indonesia sering diwarnai oleh tindakan pemimpin pusat yang lazimnya orang Jawa. Hal ini sering menimbulkan pergeseran antara orang Jawa dengan bukan Jawa di Indonesia.

Pembauran orang Jawa dalam suasana Melayu, termasuk di Singapura, menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (asal anak Jawa tetapi lahir di sini), memang mencerminkan falsafah Jawa sendiri iaitu berbudi dan berakar dalam kebudayaan setempat asalkan adil dan... ya untung.

 

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 36
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.