Memang seronok bercuti, apatah lagi jika dapat bersantai di tepi pantai atau menikmati keindahan alam.
Namun, kulit mungkin tidak melalui ‘percutian’ yang sama kerana ia terdedah kepada pelbagai perubahan seperti cuaca melampau, pencemaran, selaran matahari, dan sebagainya.
Semua itu boleh menyebabkan kulit menjadi ‘letih’ dan rosak.
Sekembalinya dari percutian, kulit anda mungkin kehilangan seri dan kelihatan kusam.
Menurut laman web biosains German yang juga pengeluar bahan penjagaan kulit, HYAcorp, tumpuan utama harus diberikan kepada kulit yang biasanya kering kerana pancaran suria, biarpun di negara tertentu yang persekitarannya dingin dengan tiupan angin.
Jika anda terlupa memakai pelindung matahari atau tertidur terlalu lama di bawah sinaran matahari, elakkan daripada pendedahan tambahan sebaik sahaja pulang ke tanah air.
Kurangkan kegiatan di bawah matahari, gunakan pelindung matahari secara kerap, dan pakai pakaian yang melindungi kulit.
Gunakan aloe vera (lidah buaya) atau krim tabir suria.
Selepas mandi, sapukan lidah buaya untuk memastikan kulit mendapat kelembapan yang diperlukan.
Minum banyak air. Kulit yang terdedah kepada matahari memerlukan penghidratan. Maka pastikan anda meminum air secukupnya.
Mandi air sejuk. Tukar mandi air panas kepada air yang lebih dingin untuk mengurangkan kerengsaan kulit.
Lakukan pengelupasan kulit secara mingguan. Proses mengelupas kulit membantu menanggalkan sel kulit mati dan memperbaharui kulit.
Penjagaan kulit bukan hanya dari luar, bahkan secara dalaman.
Pastikan anda kembali kepada gaya hidup sihat seperti diet seimbang, senaman, dan tidur yang mencukupi.
Langkah penjagaan kulit seterusnya ialah pembersihan.
Pembersihan adalah penting bagi menghilangkan kotoran dan saki-baki.
Apatah lagi dalam musim panas apabila lebih banyak peluh dihasilkan.
Selepas itu, gunakan toner, krim mata, serum, pelembap, dan pelindung matahari.
Kadang-kadang, produk yang biasa digunakan mungkin tidak lagi sesuai dengan keadaan kulit semasa.
Berunding dengan pakar kulit selepas percutian untuk mendapat penilaian terkini dan cadangan produk yang sesuai.
Salah satu cara terbaik untuk merawat kulit selepas percutian ialah mendapatkan rawatan wajah.
Rawatan itu membantu membersihkan pori tersumbat dan memberikan penghidratan yang diperlukan untuk kulit.
Asid hyaluronik adalah bahan semula jadi yang membantu kulit mengekalkan kelembapan, mengurangkan garisan halus, dan meningkatkan penghasilan kolagen.
Produk seperti serum dan krim yang mengandungi asid itu sangat berguna.
Ambil peluang ini untuk memberikan rawatan spa seperti di pusat kecantikan.
Lakukan rutin spa di rumah seminggu sekali untuk mendapatkan rawatan wajah yang lengkap.
Mulakan dengan pengelupasan lembut: Gunakan skrub lembut untuk menyingkirkan sel kulit mati dan merangsang pembaharuan sel. Langkah ini juga membantu menyerlahkan rona kulit yang lebih sekata.
Mandi wap: Detoks kulit dengan wap untuk membuka pori-pori dan membersihkannya daripada kekotoran.
Masker pelembap: Akhiri ritual dengan memakai masker yang memberikan kelembapan intensif untuk kulit supaya segar dan lembap.
Kulit yang hidrat mampu melanjutkan seri kulit selepas bercuti.
Sapukan pelembap muka yang sesuai ke dalam rutin penjagaan malam, seperti balm pelembap untuk kulit kering atau emulsi pelembap ringan untuk kulit berminyak.
Selepas bercuti, kulit cenderung menghasilkan lebih banyak sebum kerana kurangnya pendedahan kepada matahari. Ini boleh menyebabkan bintik hitam atau jerawat.
Oleh itu, bersihkan wajah dengan lembut secara tekal.
Jika anda memiliki kulit jenis gabungan atau berminyak, rutin spa yang memberi tumpuan kepada pembersihan mendalam adalah pilihan terbaik bagi mengelakkan masalah ini.
Kulit memerlukan masa untuk melalui proses pembaharuan selepas percutian.
Tidur yang bermutu adalah rahsia utama untuk mendapatkan kulit yang berseri.
Jika berkesempatan, cuba ambil masa 20 minit untuk tidur sebentar di siang hari.
Proses mengelupaskan kulit adalah langkah penting untuk mengembalikan keserian kulit.
Gunakan produk dengan butiran halus atau yang bebas butiran untuk menyingkirkan sel kulit mati.
Kulit yang bersih akan lebih mudah menyerap manfaat produk penjagaan seperti masker pelembap atau gel.
Dengan mengamalkan rutin ini, kulit bukan sahaja pulih daripada kesan percutian, malah juga kekal sihat dan bersinar sepanjang musim. Selamat mencuba!


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg