Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

6 penulis lancar 7 buku di acara 'Tujuh Buku, Tujuh Pengalaman'

Kelab Membaca Ilham Pustaka buka peluang penulis kongsi pengalaman, bincang buku tulisan warga
Apr 01, 2019 | 05:30 AM



BANGSA membaca, bangsa berjaya.



Kata-kata ini ibarat satu peringatan bahawa dengan membaca, ilmu seseorang itu kian bertambah. Malah, mungkin sahaja ada perkara baru yang diperolehi dengan setiap bacaan.



Bagi peserta Kelab Membaca Ilham Pustaka, pelajaran yang didapati tidak disimpan sendiri. Bahkan, dikongsi kepada rakan-rakan yang lain.



"Kami akan berkumpul sebulan sekali dan akan membincangkan satu hingga dua buku yang ditulis warga tempatan. Perbincangan kami terdiri daripada pelbagai genre seperti sastera dan novel.



"Kelab ini juga memberi peluang kepada penulis-penulis untuk berkongsi pengalaman mereka. Ini memberi ruang bagi peserta untuk belajar dalam konteks Singapura," kongsi Dr Subari Sukaini, 64 tahun.



Beliau merupakan salah seorang pelopor Kelab Membaca Ilham Pustaka yang ditubuhkan pada 2017. Selain menyediakan ruang berbincang, kelab tersebut turut menyokong karya-karya warga tempatan. Malah, baru-baru ini, majlis pelancaran buku diadakan di sesi kelab itu.



Acara yang dinamakan 'Tujuh Buku, Tujuh Pengalaman' itu diadakan di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB). Ia turut dihadiri oleh mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Luar) yang juga Duta Kelana ke Kenya, Encik Yatiman Yusuf, selaku tetamu terhormat.



Menariknya, acara tersebut menyaksikan pelancaran tujuh buah buku oleh enam orang penulis.



Penulis-penulis berkenaan termasuk Dr Subari Sukaini, Encik AB Wahab Hamzah, Encik Rohman Munasip, Cik Sharifah Mohamed, Cik Norulashikin Jamain dan Cik Nazariah Nasir. Lima daripada mereka adalah peserta Kelab Membaca Ilham Pustaka.



Dalam acara tersebut, Encik Wahab berkesempatan melancarkan dua buah buku bertajuk Pintu Belakang dan Kita Bukan Boneka.



"Pintu Belakang merupakan kumpulan cerpen yang turut menceritakan tentang ilmu makrifat manakala Kita Bukan Boneka adalah kumpulan sajak berkenaan isu-isu masyarakat Melayu di Singapura kini," ujar penulis berumur 72 tahun itu.



Setakat ini, Encik Wahab telah melancarkan lapan buah buku termasuk novel, sajak dan cerpen.



Berkongsi tentang pengalamannya yang sudah menulis sejak tahun 1965, Encik Wahab berkata:



"Sebenarnya, dulu saya minat membaca. Saya banyak membaca buku-buku Hamka seperti Di Bawah Lindungan Ka'bah dan sebagainya serta novel-novel dari penulis lain. Setelah itu, dengan sendirinya timbul minat untuk menulis."



Perkara yang sama turut dikongsi Cik Sharifah, 53 tahun, yang melancarkan buku bertajuk Molek Budi Indah Bahasa.



"Saya minat menulis atas beberapa sebab. Antaranya ialah kerana kasih kepada sesama manusia, cinta kepada alam serta sayang kepada penulisan. Menulis membahagiakan saya dan ia bermula daripada membaca," ujarnya.



Menceritakan tentang buku terbarunya, Cik Sharifah berkongsi:



"Buku Molek Budi Indah Bahasa menceritakan berkenaan kebijaksanaan yang ada pada setiap manusia dan saya menyenaraikan 31 daripadanya dalam buku ini."



Buku Kembara Usia yang ditulis Cik Norulashikin pula mengambil masa 13 tahun untuk dihasilkan.



"Saya mengambil masa yang lama untuk menghasilkan kumpulan sajak ini kerana perlu mencari bahan rujukan serta dokumentasi.



"Saya juga mendapatkan ilham dari pengalaman serta pemerhatian sekeliling sama ada di Singapura mahupun di luar negara," ceritanya.



Seorang lagi penulis, Encik Rohman, 64 tahun, melancarkan buku Mencari Makna yang turut merupakan ulasan bagi kumpulan esei oleh penulis-penulis Singapura.



Menurut beliau, buku tersebut juga bertujuan untuk menghargai karya-karya warga tempatan termasuk penulis-penulis muda.



Encik Yatiman pula berharap generasi muda akan tertarik melalui acara-acara seperti ini.



"Minggu ini kami melancarkan tujuh buah buku. Ini menunjukkan penulis Singapura semakin rancak berkarya dan ini adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Kita berharap semoga yang muda-muda, yang hadir pada hari ini akan teruja dengan keghairahan yang ada dan terus menyumbang kepada tradisi, melanjutkan perkembangan bahasa dan sastera Melayu Singapura," ujar beliau.



Dr Subari atau nama penanya, Basuki Sastro melancarkan buku bertajuk Otak, Hati dan Topeng manakala Cik Nazariah melancarkan buku bertajuk Permata Hatiku.



  • Sri Afiqah Hamir ialah penulis sambilan.


APA KATA PENULIS KITA



"Kami akan berkumpul sebulan sekali dan akan membincangkan satu hingga dua buku yang ditulis warga tempatan. Perbincangan kami terdiri daripada pelbagai genre seperti sastera dan novel. Kelab ini juga memberi peluang kepada penulis-penulis untuk berkongsi pengalaman mereka. Ini memberi ruang bagi peserta untuk belajar dalam konteks Singapura."
- Dr Subari Sukaini, pelopor kelab Ilham, yang melancarkan buku 'Otak, Hati dan Topeng'.



"Sebenarnya, dulu saya minat membaca. Saya banyak membaca buku-buku Hamka seperti 'Di Bawah Lindungan Ka'bah' dan sebagainya serta novel-novel dari penulis lain. Setelah itu, dengan sendirinya timbul minat untuk menulis."
- Encik AB Wahab Hamzah, yang melancarkan buku 'Pintu Belakang' dan 'Kita Bukan Boneka'.



"Saya minat menulis atas beberapa sebab. Antaranya ialah kerana kasih kepada sesama manusia, cinta kepada alam serta sayang kepada penulisan. Menulis membahagiakan saya dan ia bermula daripada membaca."
- Cik Sharifah Mohamed, yang melancarkan buku 'Molek Budi Indah Bahasa'.



"Saya mengambil masa yang lama untuk menghasilkan kumpulan sajak ini kerana perlu mencari bahan rujukan serta dokumentasi. Saya juga mendapatkan ilham dari pengalaman serta pemerhatian sekeliling sama ada di Singapura mahupun di luar negara."
 - Cik Norulashikin Jamain, yang melancarkan buku 'Kembara Usia'.



"Buku saya terdiri daripada 10 cerpen yang mengisahkan pelbagai perkara. Ada yang berkisahkan rumah tangga, keluarga serta beberapa penyakit seperti demensia. Saya mendapat inspirasi dari bacaan serta mendengar cerita orang."
- Cik Nazariah Nasir, penulis buku 'Permata Hatiku'.



"Sekarang ini, ramai penulis muda yang giat menulis cerpen tetapi kurang orang hendak perkatakannya. Jadi, saya harap ia sebagai satu galakan bagi mereka dengan adanya ulasan seperti ini agar mereka rasa dihargai kerana ada orang yang membaca dan mengulas (karya-karya mereka)."
- Encik Rohman Munasip, yang melancarkan buku 'Mencari Makna'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >