Topic followed successfully
Go to BHkuAI bantu murid kembang idea ketika tulis karangan Bahasa Melayu
AI bantu murid kembang idea ketika tulis karangan Bahasa Melayu
Sekolah Rendah Chongzheng lihat perubahan positif dalam cara pelajar fikir, bangun penulisan
AI bantu murid kembang idea ketika tulis karangan Bahasa Melayu
Alat kecerdasan buatan (AI) telah membantu murid mengembangkan idea dengan lebih berkesan dalam penulisan Bahasa Melayu meskipun ketepatan bahasa masih memerlukan penambahbaikan, kata guru Bahasa Melayu, Cik Nurhiza Mohamed.
Mengulas penggunaan alat seperti Pembantu Pembelajaran (LEA), dalam wadah pembelajaran digital Ruang Pembelajaran Pelajar (SLS), guru dari Sekolah Rendah Chongzheng itu berkongsi dengan Berita Harian (BH) terdapat perubahan positif yang jelas dalam cara murid membina dan mengembangkan idea mereka dalam penulisan karangan.
LEA bertindak sebagai “rakan berfikir” dalam peringkat perancangan dan penulisan, membantu murid menjana dan mengembangkan idea serta menggunakan soalan panduan untuk menggalakkan pemikiran lebih mendalam.
“Secara keseluruhan, terdapat peningkatan positif dari segi murid mengembangkan idea mereka dengan penggunaan alat AI ini.
“Walaupun kadangkala murid masih perlukan penambahbaikan dari segi tatabahasa atau ejaan dan sebagainya, namun isi yang penting dapat dijana menggunakan LEA ini.
“Selain itu, mereka juga berpeluang menggunakan kosa kata yang pelbagai,” ujar beliau, yang juga penerima Anugerah Guru Arif Budiman 2017.
Pihak media diundang bagi menyaksikan pendekatan tersebut semasa satu sesi Edtech Open Classroom anjuran Kementerian Pendidikan (MOE) di Sekolah Rendah Chongzheng pada 29 April.
Sesi ini merupakan ruang pembelajaran berteknologi tinggi yang direka untuk membuka ruang akses kepada teknologi pendidikan terkini.
Ia dihadiri secara maya oleh beberapa guru Bahasa Melayu bagi memerhatikan penggunaan AI dalam pengajaran penulisan.
Sesi tersebut membawa media memerhati kelas tersebut, iaitu Menulis Perenggan Pengakhiran Berdasarkan Dilema Moral.
Seramai 34 pelajar Darjah Lima bagi subjek Bahasa Melayu itu diberikan satu situasi bergambar yang memaparkan konflik moral.
Mereka kemudian diminta mengenal pasti dilema serta mempertimbangkan pilihan dan kesan tindakan sebelum mula menulis perenggan penutup karangan mereka.
Komponen LEA bertindak sebagai ‘rakan berfikir’, bagi menjana dan mengembangkan idea melalui soalan panduan seperti mempertimbangkan akibat bagi setiap pilihan yang dibuat watak dalam situasi berkenaan.
Kemudian, respons murid yang ditaip dalam sistem SLS dipaparkan secara masa nyata di skrin dan membolehkan guru memantau tahap pemahaman dan cara mereka mengembangkan idea.
Data tersebut turut dianalisis Cik Nurhiza menggunakan pembantu data bagi merumuskan respons murid, mengenal pasti corak pemikiran mereka serta tahap pengembangan isi.
Tambah beliau, penggunaan teknologi tersebut juga membolehkan penilaian dan maklum balas dilakukan dengan lebih pantas semasa proses pembelajaran berlangsung.
“Saya rasa satu kelebihannya adalah saya dapat membuat campur tangan tepat pada masanya. Saya tidak perlu tunggu di akhir pengajaran baru saya memberi maklum balas.
“Apabila saya berikan maklum balas… secara tidak langsung ini membantu pelajar supaya mereka dapat membuat penambahbaikan secara kendiri,” kongsinya.
Menurut MOE, Pembantu Data dan Pembantu Pembelajaran masing-masing telah diperkenalkan pada 2024 dan 2025.
Sementara itu, pelajar kelas tersebut yang ditemui BH mendapati keberkesanan AI dalam membantu penulisan karangan mereka.
Bagi Nur Maryam Anati Mohammed Farhan, 11 tahun, penggunaan LEA mengubah cara beliau mendekati penulisan karangan dalam menjana idea.
“LEA akan tanyakan saya soalan yang buat saya berfikir secara kritikal. Saya pun tidak hanya tunggu idea dari guru dan pelajaran jadi lebih menarik,” jelasnya.
Sementara itu, Mohammad Izzan Firzan Mohammad Farid,11 tahun, berkata ia membantu beliau menjadikan penulisan karangan lebih jelas dan terperinci.
“Sebelum menggunakan fungsi AI, saya menulis sahaja ‘Ali terjatuh’. Tetapi, selepas menggunakan AI, saya menulis ‘Ali terjatuh ketika berlari laju di padang kerana tersepak batu kecil,’” kongsinya.
