Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA BUDAYA & WARISAN KITA

Anak... kecil tapi besar ertinya

Jun 25, 2023 | 05:30 AM



Ahad lalu kita raikan bapa dari sudut bahasa, sempena Hari Bapa.

Sebulan sebelum itu pada Mei, kita cakap pasal ibu, sempena Hari Ibu.

Kurang wajar jika kita cakap soal ibu dan bapa tanpa bincangkan tentang anak.


Makna ibu dan bapa terjadi kerana adanya anak – sama ada anak kandung, anak tiri, anak angkat, anak saudara. Sejajar dengan itu juga ada istilah ibu/bapa kandung, ibu/bapa tiri, ibu/bapa angkat, ibu/bapa saudara, dan ada ibu atau bapa tunggal.


Namun, sedang kita ada sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa, tidak ada yang dinamakan Hari Anak. Yang ada ialah sambutan Hari Kanak-kanak atau Children’s Day.

Anak tiada batas usia – bayi anak, kecil anak, dewasa anak dan lanjut usia pun masih anak – anak kepada seseorang.


Kanak-kanak pula merujuk kepada budak lelaki dan/atau perempuan yang masih kecil – mungkin batas usia 12 tahun ke bawah. Maka itu Hari Kanak-kanak biasa disambut di peringkat sekolah rendah dengan murid-murid diberi satu hari pelepasan sekolah.

PELBAGAI KATEGORI

Secara umum, anak biasanya merujuk kepada baka yang diturunkan oleh ibu dan bapa. Dalam istilah yang biasa kita fahami, anak demikian disebut sebagai anak kandung.


Namun, dalam perbendaharaan bahasa Melayu, jika diamati, perkataan anak boleh digolongkan kepada beberapa kategori. Antaranya ialah keluarga, tubuh, masyarakat/manusia, benda dan umum.

KELUARGA

Terdapat beberapa istilah anak yang khusus dalam kategori ini.


Anak kandung merujuk kepada anak sendiri, atau daripada baka ibu bapa sendiri.


Anak sulung adalah anak tertua dalam keluarga sementara anak bongsu adalah anak terakhir dalam kalangan adik-beradik dalam keluarga.


Anak tunggal merujuk kepada satu-satunya anak kepada sepasang suami isteri.


Anak angkat anak yang diambil dan dianggap sebagai anak sendiri sementara anak tiri adalah anak isteri atau suami daripada perkahwinan terdahulu.


Anak saudara adalah anak kepada saudara – sebelah ibu atau bapa.


Dan anak yatim adalah anak yang kematian bapa, dan anak yatim piatu ialah anak yang ibu dan bapanya sudah meninggal.


MANUSIA

Anak juga digunakan dalam konteks meluas dalam kategori manusia secara umum.


Anak Adam misalnya merujuk kepada kita semua – seluruh umat manusia.


Anak bini bermakna anak dan isteri kepada seorang lelaki bergelar suami dan bapa.


Anak kecil adalah anak yang masih kecil atau kanak-kanak.


Anak dara ialah gadis atau anak perempuan yang sudah capai usia akil baligh tetapi belum berkahwin, dikenali juga dengan istilah perawan.


Anak bujang umumnya merujuk kepada anak lelaki yang sudah dewasa tetapi belum berkahwin.


Anak muda anak teruna ialah orang yang masih muda, biasa juga disebut sebagai pemuda atau pemudi.


Anak murid adalah orang yang masih belajar, biasanya di sekolah atau pelajar kepada guru atau ustaz.


Anak buah adalah orang-orang yang termasuk dalam sesebuah keluarga.


Ada kala anak buah merujuk kepada para pekerja dalam jagaan atau pengawasan seseorang.


Anak kapal adalah pekerja dalam kapal; dalam istilah sekarang kadangkala disebut sebagai kru.


Anak didik adalah seseorang yang dididik, dibimbing atau dilatih supaya cekap dalam mengendalikan sesuatu atau mahir dalam sesuatu bidang.


Anak jati adalah gambaran seseorang yang dilahirkan dan biasanya dibesarkan di sesuatu tempat/kampung atau negeri.


Anak dapat ialah anak yang diambil atau dipungut dari tepi jalan dan dijaga seperti anak sendiri.


Anak haram atau anak luar nikah merujuk kepada anak yang dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan yang sah antara ibu dan bapanya. Istilah yang merujuk kepada makna serupa ialah anak sumbang.


Anak bapa atau anak emak merujuk kepada anak manja kepada bapa atau emak.


Anak emas antara lain bermakna orang atau pekerja yang dikasihi oleh majikan dan diberi layanan istimewa.


Anak dagang menggambarkan orang asing.


Anak keladi adalah orang tua yang tidak sedar diri kerana buruk perangai seperti gila wanita.


Sementara anak yang dikaitkan dengan sesuatu tempat atau daerah menunjukkan asal usul seseorang, seperti anak Singapura, anak Kelantan dan sebagainya.


TUBUH

Perkataan anak juga dipadankan beberapa anggota atau tubuh manusia.

Misalnya, anak tekak atau anak lidah ialah bahagian dalam tubuh yang terjuntai pada pangkal kerongkong.


Anak mata adalah bahagian kecil dan bulat di tengah-tengah bola mata.


Anak telinga bahagian telinga luar yang terletak di hadapan daun telinga di sebelah pelipis.


Anak jari adalah jari paling kecil atau jari kelengkeng, berlawanan dengan ibu jari.


Dan anak rambut ialah rambut kecil pelipis, iaitu bahagian kepala di antara dahi dengan telinga.


BENDA & LAIN-LAIN

Perkataan anak juga menggambarkan beberapa benda.


Anak kunci misalnya adalah alat untuk membuka kunci;


Anak tangga ialah bahagian tangga yang dipijak.


Anak sungai menggambarkan sungai kecil; anak bukit adalah bukit kecil; dan anak pokok adalah pokok yang masih kecil.


Anak patung adalah barang permainan kanak-kanak yang berupa orang, juga disebut boneka.


Anak panah ialah semacam ‘peluru’ bagi panah, disebut juga sebagai anak busar.


Anak dacing adalah batu penimbang pada dacing.


Anak pagar ialah tiang pagar.


Terdapat juga beberapa anak yang menggambarkan keadaan lain.

Suatu ketika dahulu anak serigala adalah istilah menggambarkan pasukan pengakap bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.


Anak baju adalah baju dalam yang menjadi lapisan.


Dalam beberapa penggunaan sekarang, anak menggambarkan mudah, kecil dan/atau sedikit.


Misalnya, Azmi menjawab kertas soalan peperiksaan dalam masa yang singkat kerana menurutnya, soalan itu anak aje, bermakna mudah.


Istilah anak juga menggambar kecil bagi peniaga yang mendatang untung kecil atau mereka yang dapat bonus atau kenaikan gaji yang kecil.


KONTEKS AGAMA

Ada beberapa kaitan penting membabitkan anak dalam Islam.


Satu daripadanya ialah soal anak bulan kerana takwim atau kalendar Islam berdasarkan kamariah atau dihitung menurut peredaran bulan.


Berdasarkan rukyah, muncul atau tidak anak bulan antara lain akan menentukan permulaan Ramadan, Syawal dan Zulhijah. Ia sekali gus mempunyai implikasi seperti bila Hari Arafah dalam Zulhijah dan bila malam-malam ganjil pada akhir Ramadan.


Dalam pendidikan Islam, terdapat ungkapan mengenai tanggungjawab ibu bapa terhadap anak – iaitu anak ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Ia menggambarkan tanggungjawab ibu bapa membentuk watak, keperibadian dan nilai dalam proses pertumbuhan anak yang lahir dengan tidak tahu apa-apa.


APABILA BERIMBUHAN/BERULANG

Anak-anak adalah anak kecil, kanak-kanak atau orang yang masih kecil.


Keanak-anakan adalah gambaran sifat atau kelakuan seperti kanak-kanak.


Beranak pula bermakna melahirkan anak. Ia juga boleh bermakna mempunyai anak (wanita beranak empat tetapi masih kelihatan ayu).


Beranak juga boleh bermakna bersama anak, misalnya, mereka tiga beranak tinggal di flat tiga bilik.


Memperanakkan ada kaitan dengan kelahiran, misalnya Osman diperanakkan di sebuah desa terpencil.


Dan peranakan pula antara lain keturunan hasil peranakan dengan orang asing seperti peranakan India dan Cina.


Begitulah antara lain gambaran luasnya penggunaan perkataan anak dalam pelbagai konteks – perkataan dengan ejaan yang sedikit dan memberi gambaran kecil tetapi besar ertinya dan luas penggunaannya, seolah-olah menepati ungkapan kecil jangan disangka anak...




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >