Topic followed successfully
Go to BHkuAnak meluas dalam peribahasa, pantun
Anak meluas dalam peribahasa, pantun
Anak meluas dalam peribahasa, pantun
Sejajar dengan sifat anak yang meluas ertinya, terdapat agak banyak peribahasa dan pantun yang berkait dengan anak.
PERIBAHASA
Biar mati anak jangan mati adat bermakna adat yang tidak boleh dilanggar.
Sayang anak tangan-tangankan; sayang isteri tinggal-tinggalkan bermakna tidak memanjakan anak kerana ia boleh merosakkan atau menyusahkan.
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa bermakna pengetahuan dan kelebihan itu bukan tertentu kepada orang dewasa atau orang tua sahaja, tetapi terdapat pada orang muda-muda.
Anak kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar kelaparan bermakna urusan sendiri ditinggalkan kerana mementingkan urusan orang lain.
Melentur biarlah daripada rebung adalah nasihat supaya mengajar anak-anak biarlah dari kecil kerana boleh dilentur atau dibentuk.
Pukul anak sindir menantu adalah perbuatan mengata seseorang tetapi sebenarnya ia ditujukan kepada orang lain.
Anak kambing takkan menjadi anak harimau menggambarkan sikap pengecut tetap pengecut; dan anak harimau takkan menjadi anak kambing bermakna orang yang berani tidak akan jadi penakut.
Laksana layang-layang salah teraju menggambarkan anak muda yang menurut jalan yang salah.
Anak orang, anak orang juga bermakna kalau bukan hak kita tidaklah ada gunanya.
Mati anak berkalang bapak, mati bapak berkalang anak adalah gambaran bahawa anak dan bapa wajib tolong-menolong.
Anak sungai lagi berubah, inikan pula hati orang menggambarkan pendirian yang tidak tetap.
Anak kucing menjadi harimau adalah gambaran orang miskin menjadi kaya, atau rakyat biasa menjabat pangkat tinggi dalam pentadbiran
Anak kera hendak diajar memanjat adalah sindiran hendak mengajar orang yang sudah ahli.
Anak ikan dimakan ikan, tahu makan tahu simpan bermakna jika tahu membuat sesuatu kerja, hendaklah tahu menyimpan rahsianya.
Anak harimau jangan dibela bermakna jangan berbuat baik dengan orang yang cenderung atau suka berbuat jahat.
Anak harimau diajar makan daging adalah gambaran orang yang zalim diberi perangsang berbuat aniaya.
Kecil anak besar onak bermakna anak semasa kecil menggembirakan hati tetapi setelah besar kerap mendatangkan cabaran atau kesusahan kepada ibu bapanya.
Seperti anak ayam kehilangan ibu menggambarkan kesusahan kerana bercerai dengan sahabat karib atau rakyat kehilangan pemimpin.
Kecil-kecil anak harimau menggambarkan sikap berani walaupun kecil.
Seperti ayam mematuk anaknya adalah gambaran tindakan menghukum anak bukan untuk menyiksa, tetapi untuk memperelok kelakuan.
Bagai kucing kehilangan anak menggambarkan kebingungan atau kehilangan pertimbangan.
Tak usah diajar anak buaya berenang bermakna tidak perlu mengajar orang yang sudah tahu.
Bapa burik anaknya rintik adalah gambaran anak yang mengikut baka atau kelakuan bapa.
PANTUN/PUISI
Antara beberapa pantun klasik termasuk:
Anak punai anak merbah
Pandai ia membuat sarang
Anak sungai lagi berubah
Ini pula hati orang
Anak kunci dikait anak
Di bawah pokok pohon kelapa
Kecil jangan disangka anak
Besar jangan disangka bapa
Anak itik pandai menari
Anak angsa terlompat-lompat
Rupa cantik dapat dicari
Budi bahasa mana nak dapat
Anak itik terenang-renang
Anak kunci di haluan perahu
Kita saja terkenang-kenang
Orang benci kita tak tahu
Anak lipan tepi pagar
Mati ditikam buluh berduri
Bukankah tuan saudagar besar
Kenapa berniaga takut rugi
Anak teruna menanam betik
Buah cempedak dalam raga
Apalah guna berwajah cantik
Kalau kurang budi bahasa
Anak Cina mengirim surat
Dari Jawa sampai ke Deli
Hidup kita dikandung adat
Budi tidak dijual beli
Anak Cina bermain ceki
Baju dibuka tinggal seluar
Kalau sudah bukan rezeki
Di dalam mulut lari keluar
Anak buaya pergi bertenung
Singgah ke lubuk memakan bangkai
Hendak hati memeluk gunung
Gunung dipeluk tangan tak sampai
Anak dara menumbuk pandan
Membuat kuih hidangan kenduri
Ilmu yang baik jadikan teladan
Segala yang buruk letak ke tepi
Anak beruk di tepi pantai
Turun ke bendang memakan padi
Biar buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati
Anak ayam di atas pagar
Turun ke tanah memakan padi
Kalau hutang wajib dibayar
Kalau janji wajib ditepati

