Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Antologi puisi ‘Tiga Rangkai’ bentang emosi, kehilangan, cinta dan kesyukuran

Oct 21, 2025 | 5:30 AM
Khairi Razaai, antologi puisi ‘Tiga Rangkai’
Khairi Razaai, yang pernah menjadi penulis skrip dan pelakon Teater Kami, telah menghasilkan antologi puisi, ‘Tiga Rangkai’, dengan puisinya dikumpul sepanjang beliau menjadi pendidik di Melbourne, Australia. - Foto BH oleh HANIM MOHD SALEH

Jauh dari tanah kelahirannya di Singapura, penggiat teater Melayu, Khairi Razaai, menemui suara barunya sebagai penyair di Melbourne, Australia.

Kini seorang pendidik dalam bidang seni visual dan komunikasi, Khairi, awal 50-an tahun, tidak pernah menyangka perjalanan menaiki tren dan bas ke tempat kerja akhirnya menjadi landasan lahirnya sebuah antologi puisi dwibahasa yang penuh makna, Tiga Rangkai.

“Pada mulanya saya tidak berniat menerbitkan buku,” kata jejaka yang pernah aktif sebagai penulis skrip dan pelakon kumpulan Teater Kami itu ketika ditemui Berita Harian (BH), sewaktu beliau pulang menziarahi adik-beradiknya di Singapura.

Beliau telah bermastautin di Melbourne sejak 1994.

“Saya hanya menulis kerana ketika itu saya sangat tertekan dengan kerja.

“Menulis di telefon pintar sewaktu dalam perjalanan dengan pengangkutan awam menjadi ruang untuk saya meluah rasa dan bernafas,” jelasnya.

Daripada lembaran renungan sepi itu, terkumpul hampir 150 karya dalam bahasa Melayu dan Inggeris – hasil coretan jujur yang menyelami ujian, cinta, harapan, dan kenangan terhadap insan yang paling dirindui, arwah ibu dan ayahnya.

Puisi Jalan Penyembuhan

Bagi Khairi, menulis bukan sekadar mengisi masa, bahkan menjadi terapi diri.

“Saya sedar hidup bukan hanya tentang mencari penyelesaian. Kadangkala kita perlu mengakui rasa kita. Menulis memberi saya ruang untuk itu,” ujar penulis yang pernah menghasilkan naskhah teater, Hayat Hayatie.

Rakan-rakan yang mengikuti puisinya di media sosial pula menjadi pemangkin untuk beliau mengumpulkan karya tersebut.

“Pada awalnya saya malu. Saya fikir tulisan saya tidak cukup bagus. Tapi seorang sahabat menegur, ‘Bila lagi ia akan cukup bagus, kalau kamu tidak pernah kongsikan?’

“Dari situ, saya belajar keyakinan hanya lahir apabila kita berani membuka diri,” ujarnya.

Dibahagi tiga bahagian

Ujian dan Dugaan – puisi menyentuh sisi peribadi, trauma, serta tekanan hidup dan kerja.

Cinta dan Harapan – lembaran yang menyalakan sinar positif, mengingatkan bahawa setiap kesulitan pasti ada hikmah.

Mak dan Ayah – coretan penuh kerinduan buat dua insan istimewa, Latifah Khudsi dan Raza Ibn Abbas.

“Mak seorang yang tegas tetapi suka berjenaka, Ayah pula seorang yang sabar dan rendah hati. Mereka wira dalam hidup saya, dan setiap bait dalam bahagian itu adalah doa dan kenangan buat mereka,” kata Khairi.

Lebih daripada sekadar buku, Tiga Rangkai, adalah permaidani emosi yang menghubungkan pembaca kepada pengalaman sejagat – tentang kehilangan, cinta, kesyukuran, dan pencarian makna hidup.

Berikut petikan puisi berjudul Musykil dalam buku tersebut:

Wujudmu di hatiku
menggodam rasa nuraniku.
Murtadkah aku
menyintai kasihmu,
merona jiwaku
di buaian manjamu.

Antologi itu juga mencerminkan perjalanan peribadi Khairi, yang meninggalkan Singapura pada usia 20-an tahun untuk menimba ilmu di Australia.

Ia seakan mengulangi langkah ayahnya yang dahulu berhijrah dari Pahang ke Singapura demi mencari rezeki.

“Kadang-kadang saya terfikir, perjalanan saya adalah cerminan perjalanan Ayah.

“Bezanya, beliau berhijrah ke Singapura, saya pula ke Australia. Tapi semangatnya tetap sama – mencari peluang dan tidak pernah berhenti berusaha,” jelas beliau dengan nada syukur.

Bukan Sekadar Puisi

Diterbitkan secara kendiri melalui gedung dalam talian Amazon, Tiga Rangkai, bukan projek komersial, tetapi hadiah daripada hati seorang anak seni buat dunia.

“Ini bukan tentang wang. Ini tentang perkongsian,” tegas Khairi.

“Saya mahu orang lain tahu setiap insan ada ceritanya, dan kita semua boleh belajar daripada rasa dan pengalaman itu,” ujarnya.

Antologi ini menjadi bukti walau di perantauan, bahasa dan jiwa Melayu tetap mekar.

Ia turut menyerlahkan keberanian seorang pendidik yang melangkaui sempadan kelas untuk berkarya dengan kejujuran dan kerendahan hati.

Beliau turut berkongsi doa yang menjadi inti puisinya, Supplicate:

Saya tahu saya bukan manusia yang sempurna.
Tapi dalam rasa syukur, saya mohon keampunan.
Kerana kita semua, akhirnya,
hanyalah hamba yang mencari reda.”

“Pada mulanya saya tidak berniat menerbitkan buku... Menulis di telefon pintar sewaktu dalam perjalanan dengan pengangkutan awam menjadi ruang untuk saya meluah rasa dan bernafas.”
Khairi Razaai, pendidik dalam bidang seni visual dan komunikasi yang kini menetap di Australia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg