Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anugerah Jauhari BH 2025 rai individu cemerlang, kaya semangat juang

Editor BH: Penerima anugerah jaya ubah cabaran jadi peluang
Nov 6, 2025 | 6:18 PM
Anugerah Jauhari, Berita Harian, AOY2025
Anugerah Jauhari Berita Harian 2025 mengiktiraf individu-individu yang telah mengangkat martabat masyarakat Melayu/Islam melalui kepimpinan, daya kreatif dan keutuhan semangat juang. - Grafik BH oleh MOHD SAMAD AFANDIE

Nama dua individu cemerlang yang bakal disampaikan dengan Anugerah Jauhari Berita Harian 2025 dan Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2025, akan diketahui dalam satu majlis gilang-gemilang di Hotel Four Seasons Singapore pada 7 November.

Dalam edisi ke-27 kali ini, anugerah tersebut terus menghargai anggota masyarakat Melayu/Islam yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah turut mengangkat martabat masyarakat melalui kepimpinan, daya kreatif dan keutuhan semangat juang.

“Bertemakan ‘Mekarnya Inspirasi’, anugerah ini ingin mencari ‘jauhari’ yang memberi kesan di Singapura – berani merintis perjalanan dalam suasana dunia hari ini, mengubah cabaran menjadi peluang dan mencapai kejayaan luar biasa dalam bidang masing-masing,” ujar Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.

Anugerah Jauhari 2025 dianjurkan oleh BH dengan sokongan OCBC sebagai penaja utama, di samping tajaan bersama penaja lain, MES Group, Persatuan Bank Singapura (ABS), Call Lade Enterprises, dan NETS.

Anugerah Jauhari BH 2025 memberi penghormatan kepada pertubuhan cemerlang atau individu berusia 31 tahun ke atas, yang telah memberi sumbangan besar dalam bidang masing-masing.

Mereka ini bukan sahaja mencapai kejayaan luar biasa, malah turut menyumbang kepada masyarakat dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda.

Anugerah Jauhari Harapan BH 2025 pula mengiktiraf individu berusia 30 tahun ke bawah yang mempunyai semangat untuk mencapai kejayaan serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Encik Nazry akan menyampaikan Anugerah Jauhari Harapan BH dan akan mengiringi tetamu terhormat, Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, bagi menyampaikan Anugerah Jauhari 2025.

Penerima anugerah dipilih oleh panel penilai daripada pencalonan umum yang dibuka dari 28 Julai hingga 17 Ogos 2025.

Panel penilai tahun ini (2025) terdiri daripada Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Kuwait, Encik Zainul Abidin Rasheed dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar (kededuanya selaku Pengerusi Bersama); Ahli Lembaga Institut Timur Tengah di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani; Pengarah Pusat Kepimpinan Komuniti dan Inovasi Sosial (Clasic) di Institut Teknologi Singapura, Dr Intan Azura Mokhtar; serta Felo Kanan dan Penyelaras Program Kajian Sosial dan Budaya Serantau di Iseas-Yusof Ishak Institute, Dr Norshahril Saat.

Sejak diperkenal pada 1999, majlis anugerah tahunan anjuran BH ini meraikan individu Melayu/Islam atas pencapaian mereka dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, perniagaan, seni dan budaya, sukan atau kerja sosial.

Para penerima menonjolkan sikap ketabahan dan kewibawaan, dan merupakan contoh teladan bagi masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Penerima sulung Anugerah Jauhari adalah Dr Mansoor Abdul Jalil, anak Singapura pertama yang lulus dalam bidang Fizik dengan ijazah Kepujian Kelas Pertama dari universiti terkemuka dunia, Universiti Cambridge, di England.

Antara penerima Anugerah Jauhari tahun-tahun sudah termasuk pemain golf profesional, Mardan Mamat (2006), mantan Pengerusi badan bantuan kemanusiaan Mercy Relief, Encik Zulkifli Baharudin (2005), mantan Presiden Jamiyah, Allahyarham Haji Abu Bakar Maidin (2004), penggubah dan penyusun lagu terkemuka, Allahyarham Iskandar Mirza Ismail (2003), pakar tembikar, Dr Iskandar Jalil (2002) dan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob (2001).

Pada 2024, Anugerah Jauhari dimenangi pengasas firma perunding makanan dan minuman (F&B), White Rice Co, Cef Akmal Anuar, manakala pada 2023, mantan Pengarah Urusan SMRT Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan Naib Presiden Kanan (Hubungan Strategik) SMRT Corporation, Encik Shahrin Abdol Salam, merupakan penerima anugerah kecemerlangan itu.

Anugerah Jauhari Harapan yang diperkenalkan pada 2013 bagi mengiktiraf individu berusia 30 tahun ke bawah yang mempunyai semangat untuk mencapai kejayaan serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat, pula pernah disampaikan kepada pengasas bersama inisiatif kemasyarakatan, Project Hills, Cik Zulayqha Zulkifli, (2024) dan komposer serta penyanyi, Shazza (2023), yang wajahnya terpampang di papan iklan di Times Square, New York City sempena kempen kesaksamaan jantina Spotify.

Penerima pertama Anugerah Jauhari Harapan ialah anak Melayu kedua yang berjaya menerima Biasiswa Presiden selepas 44 tahun, Encik Adil Hakeem Mohamad Rafee. 

Ketika ditemui BH pada satu sesi taklimat penyampaian anugerah ini di News Centre, SPH Media, pada 6 November, anggota panel, Dr Norshahril, memuji penerima Anugerah Jauhari 2025, sambil menyifatkan pencapaiannya melambangkan kejayaan yang luar biasa dalam masyarakat meritokratik seperti Singapura.

Encik Fazlur Rahman pula bangga dengan pencapaian penerima Anugerah Jauhari Harapan BH 2025 atas usahanya yang meluas, baik di Singapura mahupun di luar negara.

“Bertemakan ‘Mekarnya Inspirasi’, anugerah ini ingin mencari ‘jauhari’ yang memberi kesan di Singapura – berani merintis perjalanan dalam suasana dunia hari ini, mengubah cabaran menjadi peluang dan mencapai kejayaan luar biasa dalam bidang masing-masing.”
Encik Nazry Mokhtar, Editor Berita Harian (BH).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg