Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ASAS’50 lancar antologi sempena sambutan ulang tahun ke-75

Jan 13, 2026 | 8:16 AM
Ahli Jawatankuasa ASAS’50 bersama beberapa penulis Antologi Aksara Tinta
Ahli Jawatankuasa ASAS’50 bersama beberapa penulis Antologi Aksara Tinta - Foto ihsan ASAS’50

Penerbitan Antologi Aksara Tinta Puisi dan Cerpen yang disokong Yayasan Lee ini, merupakan mercu tanda perayaan ulang tahun Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS’50) ke-75.

Majlis pelancarannya pada 10 Januari lalu yang diadakan di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara diraikan ramai ahli ASAS’50 dan para penulis tempatan yang telah menyumbangkan karya dalam antologi setebal 245 muka surat ini.

Judul “Aksara Tinta” diambil daripada puisi yang ditulis Cik Junaidah Baharawi yang memaparkan falsafah yang tinggi, iaitu dengan titisan tintalah pelbagai kisah dilakar.

Kisah-kisah ini kemudiannya mencetuskan minda dan membawa pengajaran yang bermakna.

Buku yang memuatkan 45 kuntum puisi dan 14 buah cerpen sumbangan 37 orang penulis ini menyentuh pelbagai tema.

Ini termasuk perihal kehidupan masyarakat dan masalah yang mereka hadapi.

Isu adat dan budaya Melayu yang melalui perubahan serta penyesuaian gaya hidup menurut peredaran zaman juga diketengahkan.

Selain itu, kandungannya juga berusaha merakam pengamatan para penulis tentang tokoh-tokoh ASAS’50.

Perjalanan pertubuhan ini dalam juangnya menghadapi pasang surut minat masyarakat terhadap bahasa dan sastera Melayu turut disentuh.

Antara puisi yang menyerlahkan tema-tema ini termasuk Bahtera ASAS’50 (Suraidi Sipan), Kita Serumpun (A. Samat Ali), ASAS’50 Lidah Seni Zaman Perjuangan (Pasidah Rahmat), ASAS’50-75 Tahun Berlalu (Abdul Rahim Omar), Perjuanganmu (Faridah Taib), Memori Sebilah Katana (Muhammad Husin Masnim) dan Tiada Siapa Siapa (Rozanah Kasnan).

Cerpen-cerpen yang terpilih juga mengapungkan kerencaman isu masyarakat yang ingin disampaikan para penulisnya.

Ini termasuk perbandingan kehidupan masa lalu dan hari ini dari kaca mata kaum ibu, masalah warga emas yang kesunyian, isu perkahwinan dan keharmonian kaum.

Pembaca pasti tertarik dengan cerpen-cerpen Cinta Pokok Angsana (Daing Noor Ashikin Bahnan), Gasing Jantung Besi (Erna Salamun) dan Todak (Othman Salam) selain 11 karya lain yang terdapat dalam buku ini.

Menurut Cikgu A. Samat Ali, pengelola bersama antologi ini, para pembaca perlu menekuni karya-karya hasil yang terhimpun agar dapat menilai sendiri pelbagai perutusan yang ingin disampaikan para penulisnya.

Beliau juga meluahkan harapan agar antologi ini dapat dijadikan bahan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Menerusi ucapan Cikgu Suraidi Sipan, Ketua 1, ASAS’50, beliau mengajak hadirin mengenang kembali jasa tokoh-tokoh bangsa yang telah menabur bakti dalam dunia bahasa dan kesusasteraan Melayu di Singapura dan Malaysia.

Tambah beliau, ahli ASAS’50 perlu bergerak menurut kemajuan semasa sesuai dengan perkembangan politik dan teknologi.

Selain itu, usaha berterusan untuk menarik generasi muda menyertai ASAS’50 perlu terus dilakukan menerusi pelbagai kegiatan anjuran mereka.

Dalam majlis ini juga, Cikgu Suraidi mengumumkan bahawa ASAS’50 akan menghidupkan semula penerbitan majalah Sasterawan yang telah “lama terkubur”, bermula pada Jun tahun ini.

Justeru, beliau mengalu-alukan sumbangan sajak, cerpen dan rencana sastera daripada hadirin sebagai pengisian bermutu majalah itu nanti.

Cikgu Suraidi turut menekankan segala usaha yang dilakukan ASAS’50 selama ini adalah demi kesinambungan dunia bahasa dan kesusasteraan Melayu tanah air. Walaupun menghadapi cabaran, usaha bersama ini mesti diteruskan.

Majlis yang dihoskan aktivis kesenian, Khaziah Yem, ini turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh beberapa orang penulis termasuk Rohani Din, Wan Jumaiah Mohd Jubri, Rafaat Hamzah, Nurul Ain Razali, Hafiz Yusof, Nur Maria Pearl, Rozana Kasnan, Kamaria Buang dan Saini Salleh.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan naskhah antologi ini boleh hubungi Cikgu A. Samat Ali menerusi talian 9665 2644.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg