ZUL agak terkejut apabila ayahnya mengatakan kepadanya yang ayahnya ingin kahwin lagi.
Sudah lebih 10 tahun ayahnya menduda semenjak bercerai dengan ibunya. Tidak pernah sekali pun ayahnya berhasrat untuk menikah lagi.
Ayahnya benar-benar kecewa apabila ibunya minta supaya diceraikan atas alasan sudah tidak sehaluan lagi. Mereka berpisah secara baik-baik dan Zul membuat keputusan ikut ayahnya kerana ibunya akan berhijrah ke negara lain mengikut bakal suami barunya.
Ketika itu Zul baru berusia 15 tahun dan berada di Menengah 3. Lama juga Zul jadi manusia pendiam kerana tertekan dengan tindakan ayah dan ibunya. Agak lama juga Zul diserang kemurungan. Pelajarannya agak terganggu, tetapi ayahnya berusaha sedaya upaya supaya Zul bersikap rasional. Jangan ikutkan kata hati. Dia mesti menerima segalanya dan sudah kehendak takdir.
"Kita harus menerima qadak dan qadar Allah," kata ayahnya lembut.
Ayahnya mengambil alih tugas sebagai ibu Zul di samping sebagai ayah.
Ayahnya telah korbankan banyak masanya dengan pekerjaan dan menjaga kebajikan Zul.
Ayahnya akan pastikan Zul terus berjaya dalam pelajaran dan tidak terlalu memikirkan tentang perpisahan dengan ibunya.
Sekali sekala ayah Zul akan menyuruh Zul hubungi ibunya melalui video atau WhatsApp. Tetapi Zul tidak begitu minat.
Baginya, kalau ibunya sudah sanggup berpisah dengannya demi mengejar kebahagiaan dengan lelaki lain, biarlah. Dia tidak mahu mengganggu. Ayahnya tidak memaksa. Zul sudah berada di alam remaja, Zul boleh fikirkan mana yang baik, mana yang buruk.
Siapa bakal isteri baru ayahnya itu? Zul tertanya-tanya. Ada anakkah? Kalau ada, berapa ramai?
Dan bagaimana dia dan anak-anak isteri baru ayahnya itu akan menerima Zul? Apakah mereka akan tinggal bersama Zul di rumah flat tiga biliknya itu? Pasti akan timbul masalah.
Bagaimana hendak menyesuaikan diri antara satu dengan lain? Bolehkah mereka hidup dalam suasana aman damai? Berapa orang anak lelakinya, dan berapa orang pula anak perempuan wanita itu?
Semuanya jadi persoalan pada Zul. Dia cuba menerima permintaan ayahnya untuk berkahwin lagi, tapi kalau boleh janganlah ada masalah.
"Bagaimana Zul? Setuju tak ayah kahwin lagi?" sergah ayahnya tiba-tiba.
"Kalau Zul tak setuju macam mana? Ayah kecewa tak?" tanya Zul pada ayahnya.
"Kalau Zul tidak setuju, ayah tidak boleh paksa. Zul mesti ikhlas menerima wanita itu sebagai ibu Zul, tapi kalau Zul tidak dapat menerimanya, ayah tidak boleh buat apa-apa. Ayah tidak boleh paksa.
"Ayah tidak mahu Zul kecewa kemudian berhadapan dengan kemurungan lagi. Kita mesti sama-sama menerima hakikat ini dan sama-sama gembira. Tetapi kalau Zul kurang senang, ayah boleh batalkan sahaja niat ayah nak kahwin lagi tu," jelas ayah Zul.
Zul rasa bersalah. Kenapa dia tidak boleh menerima permintaan ayahnya itu?
Mungkin ayahnya sudah lama kesunyian. Maklumlah, dahulu Zul masih belajar. Masanya banyak bersama Zul. Tapi sekarang Zul sudah bekerja. Masa bersama ayahnya agak terbatas. Kadangkala mereka jarang bersua sebab waktu kerja Zul tidak tentu. Ikut syif.
Ayahnya pula bekerja pada siang hari sahaja. Jadi waktu malam kadang-kadang dia bersendirian kalau Zul kena syif malam.
Zul rasa adalah zalim kalau dia menentang keinginan ayahnya hendak kahwin lagi. Apa salahnya berikan peluang pada ayahnya untuk berasakan kebahagiaan dalam usianya yang meningkat tua.
Akhirnya, Zul setuju kalau ayahnya ingin kahwin lagi. Tapi beri peluang kepadanya untuk kenal wanita yang bakal menjadi isteri baru ayahnya itu sekali gus jadi ibu tirinya.
Ayah Zul tidak bantah. Beberapa hari lagi dia akan bawa Zul berkenalan dengan wanita itu, dan percaya Zul akan menerimanya dengan hati terbuka.
Di samping itu, Zul tidak berdiam diri. Dia menelefon Mak Ngahnya iaitu adik ayahnya, menanyakan apakah Mak Ngahnya tahu tentang ayahnya yang akan kahwin lagi.
Mak Ngahnya mengatakan dia tahu, dan dia setuju malah menggalakkan ayah Zul teruskan keinginannya itu. Dia juga berkenan dengan wanita yang ayahnya ingin kahwin itu.
Zul tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Kalau Mak Ngahnya sudah setuju, tiada sebab Zul ingin membangkang. Dia terpaksa menerimanya walaupun hatinya berbelah bahagi.
"Mak Ngah... Nak tanya sikit, wanita itu ada ramai anak tak?" Zul memberanikan diri.
"Anak? Eh, dia tak ada anak," jawab Mak Ngahnya lagi. "Kenapa?" tanya Mak Ngahnya.
"Hmmmm, tak ada apa-apa."
"Zul! Usahlah kau menentang keinginan ayahmu nak kahwin lagi tu. Berilah dia peluang untuk menghabiskan usia tuanya dengan kegembiraan.
Selama ini pun dia tidak terfikir langsung nak kahwin lagi sebab tidak mahu kau kecil hati atau terasa.
Baginya cukuplah dengan sikap ibu kamu meninggalkan kamu yang masih bersekolah dan perlukan kasih sayang.
Dia telah korbankan masa dengan menumpukan perhatian pada kau. Kini kau sudah dewasa, sudah bekerja pun. Kadang-kadang dia kesunyian bila kau tiada di rumah. Jadi terimalah segalanya dengan keikhlasan ya?" pujuk Mak Ngahnya lagi.
Zul menganggukkan kepala.
Dalam hatinya dia membenarkan apa yang Mak Ngahnya cakap. Mungkin ayahnya kini mula rasa sunyi.
Kalau ada teman, tentu kesunyiannya hilang. Zul mesti bersikap adil pada ayahnya. Beri peluang pada ayahnya bahagia bersama wanita lain sebagai isteri barunya.
Semenjak Zul setuju dengan keinginan ayahnya itu, dia lihat wajah ayahnya sentiasa ceria. Dan ayahnya selalu tiada di rumah, sibuk berdamping dengan wanita yang bakal menjadi isteri barunya. Sepertinya orang mabuk cinta.
Tapi Zul tidak berkata apa-apa. Biarlah ayahnya berasakan kegembiraan dan kebahagiaan itu.
Sebagai anak, dia mampu berdoa agar ayahnya tidak dikecewakan. Semoga wanita itu juga ikhlas menerima ayahnya.
Petang itu ayah Zul mengajak Zul pergi berjumpa dengan bakal isteri ayahnya itu.
Ayahnya mahu Zul berkenalan dengan bakal isteri baru ayahnya itu. Zul mengikut sahaja tanpa membantah. Dia tidak mahu ayahnya rasa tersinggung atau berkecil hati kalau dia tidak ikutkan kemahuan ayahnya itu.
"Kau patut kenal dahulu dengan bakal isteri ayah itu. Kalau kau tidak berkenan atau rasa tidak sesuai dengan ayah, kau boleh beri pandangan demi kebaikan kita bersama.
"Perkahwinan ayah ini mestilah atas dasar semuanya suka supaya tidak timbul salah faham," jelas ayahnya.
Zul menganggukkan kepala tanda membenarkan kata-kata ayahnya itu.
Setelah bersiap-siap, dua beranak itu pun keluar menuju ke tempat di mana beradanya wanita yang bakal menjadi isteri baru ayahnya itu.
Zul agak hairan kerana ayahnya membawa dia menuju ke rumah Mak Ngahnya. "Kenapa kita ke rumah Mak Ngah?" tanya Zul.
"Nanti kau tahu jawapannya. Kita jumpa Mak Ngah sekali sebab Mak Ngah pun mesti tahu tujuan baik ayah ini," jawab adyah Zul.
Setelah memberi salam dan masuk ke rumah Mak Ngahnya, mereka berdua diajak duduk.
Kemudian Mak Ngahnya masuk ke bilik dan keluar bersama seorang wanita.
Zul melihat ke arah wajah wanita itu, dia masih kenal walaupun sudah lebih 10 tahun tidak bersua.
Zul tercengang. Matanya memandang ke arah ayahnya. Dia mencuba membuka mulut, tapi terasa berat.
"Zul. Masih ingat wanita ini?" tanya ayah Zul. Zul tersentak.
"Kenal ayah. Tapi kenapa dia ada di sini? Mana wanita yang bakal jadi isteri ayah itu?" soal Zul.
"Inilah orangnya. Ibu kamu." jawab ayahnya.
"Maksud ayah?" soal Zul lagi.
"Zul. Sebenarnya sudah sebulan lebih ibu kamu balik ke mari selepas kematian suaminya dalam kemalangan jalan raya.
"Oleh sebab tidak tenang duduk sendirian di sana, ibumu balik ke mari sesudah menerangkan keadaan yang sebenar berlaku pada dirinya.
"Mak Ngah kamu memujuk mak kamu supaya balik ke mari, tinggal bersama Mak Ngah kamu," terang ayah Zul.
"Sebenarnya setahun lepas mak menghidap sakit ginjal. Ginjal mak kedua-duanya rosak.
"Ketika itu arwah suami mak membantu mak buat rawatan sehinggalah pada suatu hari dia terlibat dalam kemalangan ketika pulang kerja.
"Mujur ada wang pampasan insuran yang ditinggalkan dan wang itulah mak gunakan untuk rawatan sakit ginjal mak ini, tapi bersendirian di tempat orang mak rasa sunyi dan takut.
"Takut kalau terjadi apa-apa pada mak, tiada siapa yang tahu. Sebab itu mak beritahu Mak Ngah kamu, kalau dia benarkan mak balik ke mari dan tinggal dengannya," jelas mak Zul pula.
"Bila Mak Ngah kamu ceritakan pada ayah tentang nasib mak kamu, ayah terfikir mungkin lebih baik ayah mengambil dia semula menjadi isteri ayah, dengan itu dapat ayah sama-sama merawatnya.
"Kami bukan muhrim lagi, jadi sebaiknya kami bernikah semula dan bolehlah ayah membantunya dalam keperluan hidupnya sebagai pesakit ginjal," sampuk ayah Zul.
Mendengar cerita yang terjadi pada ibunya itu, Zul rasa sebak.
Bertambah pula melihatkan keadaan ibunya yang kurus dan pucat kerana menahan kesakitan.
Serta-merta Zul insaf. Tidak guna dia berdendam kepada ibunya itu sedangkan ayahnya telah pun memaafkan ibunya dan dapat menerima semula wanita itu sebagai isterinya.
Zul terus memeluk ibunya sambil meminta maaf sekiranya sikap Zul pada mulanya tadi boleh mengecilkan hati ibunya.
Ibu Zul turut sama merangkul Zul sambil teresak-esak menahan kesedihan. Mereka berdua berpelukan agak lama sehingga ayah Zul bersuara supaya melupakan apa yang telah berlaku.
Zul duduk di samping ibunya menghadap ayahnya. Tidak ada kata-kata yang dapat dikeluarkan lagi melainkan menerima segala yang berlaku sebagai takdir dan sudah ketentuan Allah.
Zul hanya berharap semoga dengan bernikah semula antara ayah dengan ibunya, mereka berdua dapat hidup dalam ketenangan dan bahagia sepanjang hayat.
Malam itu Zul tidak dapat tidur dengan lenyak.
Fikirannya menerawang memikirkan pertemuan semula dengan ibunya yang selama ini memang dirindukannya tapi kerinduan itu hilang apabila dia memikirkan betapa zalimnya ibunya berpisah dengan ayahnya kerana mengejar lelaki lain.
Dia sentiasa berdoa agar ayahnya juga ditemukan dengan wanita lain untuk menjadi pasangan hidup dan menikmati kebahagiaan.
Dia memang berharap suatu hari nanti ayahnya akan memberitahu dia yang ayahnya akan berkahwin lagi.
Siapa sangka doanya dimakbulkan Tuhan. Bukan sahaja ayahnya akan berkahwin lagi malah bertemu semula jodohnya dengan ibu Zul. Kuasa Allah siapa yang tahu.
BIODATA PENULIS
DIKENALI dengan nama pena 'Rosemala', Patimah Jaludin mula menulis karya kreatif pada 1966 melalui skrip drama radio.
Penulisannya kemudian berkembang kepada cerpen dan sajak.
Beliau memenangi banyak anugerah sastera, antaranya hadiah pertama bagi Sayembara Penulisan Cerpen (1983 dan 1984) anjuran Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan pada waktu itu, serta Anugerah Persuratan 2009 Skrip Drama Radio anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg