Topik diikuti
Pergi ke BHkuBawa seni S’pura ke Paris
Kurator bebas Rafi Abdullah diberi kepercayaan terajui pameran seni karya artis S’pura dan Perancis
Bawa seni S’pura ke Paris
Hampir sedekad bergiat sebagai kurator seni bebas, Encik Rafi Abdullah, 35 tahun, telah mengharungi industri yang sengit dengan peluang dan sokongan yang terhad.
Namun, anak bongsu daripada tujuh beradik yang berasal daripada keluarga berlatar belakang sederhana itu mencapai antara kejayaan terbesar dalam kerjayanya apabila diberi peluang mengendalikan sebuah pameran seni di Paris, Perancis baru-baru ini.
Pameran bertajuk Visions: Reflections, Resonances, and Refractions, yang berlangsung dari 21 Oktober hingga 1 November di Fondation Fiminco, menghimpunkan karya seniman dari Singapura dan Perancis.
Bagi Encik Rafi, peluang mengendalikan pameran di luar negara buat kali pertama itu menandakan satu langkah penting dalam perjalanan kerjayanya.
Menurut beliau, peluang tersebut bukan sesuatu yang sering diperoleh kurator bebas, lebih-lebih lagi apabila bidang kuratorial masih mempunyai ruang pembangunan yang terhad di Singapura.
“Pada mulanya, saya sangat teruja apabila peluang ini muncul. Namun, saya juga agak bimbang kerana ia merupakan satu cabaran besar untuk menyelaraskan pameran di Paris dari Singapura,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).
Antara cabaran utama yang dihadapi termasuk perbezaan budaya dan komunikasi, selain kesukaran merancang susun atur karya seni tanpa berada secara fizikal di ruang pameran.
Namun, dengan bantuan rakan kerjasama di Perancis, beliau dan pasukannya berjaya mengatasi cabaran tersebut.
Perjalanan Encik Rafi dalam dunia seni bermula daripada minatnya terhadap muzik, khususnya reka bentuk kulit album.
Beliau kemudian mengikuti pengajian dalam bidang komunikasi visual di Politeknik Nanyang sebelum melanjutkan pelajaran dalam pengurusan seni di Kolej Seni LASALLE.
Selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS), beliau bekerja sebagai kakitangan galeri di The Private Museum, sebuah institusi seni yang memberi tumpuan kepada seniman tempatan.
Di situlah beliau mula mendalami dunia seni melalui bimbingan seorang kurator, selain berpeluang berinteraksi dengan ahli sejarah seni dan seniman.Pengalaman tersebut membuka matanya terhadap potensi seni sebagai wadah untuk membincangkan isu masyarakat, sesuatu yang menurutnya kurang diketengahkan dalam bidang reka bentuk grafik yang lebih bersifat komersial.
Beliau turut tertarik dengan proses kuratorial yang memerlukan hubungan jangka panjang bersama seniman untuk memahami karya, pemikiran dan pengalaman mereka.
Namun, membina kerjaya sebagai kurator bebas bukan sesuatu yang mudah.
Menurut Encik Rafi, peluang pekerjaan dalam bidang kuratorial amat terhad kerana tidak banyak institusi seni yang menawarkan peranan tersebut.
Beliau turut berpandangan bahawa sistem sokongan bagi kurator bebas masih belum setanding dengan sokongan yang tersedia untuk seniman, seperti pembiayaan dan program residensi.
“Sebagai kurator bebas, cabarannya ialah mencari struktur atau sistem sokongan tempatan untuk membangunkan amalan dan kerjaya kuratorial,” jelasnya.
Pameran di Paris itu meraikan tiga tahun pertukaran seni menerusi Program Residensi Seniman Singapura-Perancis, hasil kerjasama Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Kedutaan Perancis di Singapura.
Ia menampilkan karya seni dalam pelbagai bentuk, termasuk cetakan, pemasangan seni dan video, yang meneroka hubungan antara budaya, sejarah dan pengalaman masyarakat kedua-dua negara.
Bagi Encik Rafi, antara mesej utama yang ingin disampaikan ialah bagaimana seni mampu memperlihatkan persamaan antara masyarakat yang berbeza latar budaya.
Beliau memberi contoh pasangan seniman Perancis, Ouazzani Carrier, yang mendapat inspirasi daripada amalan mempersembahkan bunga kekwa di kawasan keramat di Bugis.
Menariknya, bunga yang sama turut digunakan di Perancis untuk memperingati mereka yang telah meninggal dunia.
Walaupun kedua-dua masyarakat mempunyai latar budaya yang berbeza, amalan tersebut mencerminkan persamaan dalam cara mereka mengenang dan menghormati orang yang telah tiada.
“Seni merupakan satu pengalaman bersama yang unik dan mampu merapatkan hubungan antara manusia,” katanya.
Beliau berharap pengunjung dapat melihat bagaimana karya seni membantu merapatkan jurang budaya dan membina persefahaman antara masyarakat.
Mengimbas perjalanan kerjayanya, Encik Rafi berkata sokongan masyarakat seni, khususnya seniman yang pernah bekerjasama dengannya, menjadi antara faktor utama yang mendorongnya untuk terus bertahan dalam bidang tersebut.
Beliau turut menyifatkan peranan kurator sebagai penghubung antara seniman, karya seni dan masyarakat.
“Saya amat berterima kasih kepada semua seniman yang pernah saya temui sepanjang beberapa tahun ini kerana mereka begitu murah hati dengan masa dan sokongan mereka,” ujarnya.
Selepas pameran di Paris, Encik Rafi berharap dapat melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang pengajian kuratorial di luar negara, kemungkinan pada 2027.
Beliau juga berhasrat memperluas peluang bagi seniman Singapura memperkenalkan karya mereka kepada masyarakat antarabangsa.
Kepada golongan muda Melayu yang berminat menceburi bidang seni, beliau berpesan agar tidak mudah berputus asa meskipun laluan kerjaya itu tidak konvensional.
“Bidang ini mungkin sukar kerana ia bukan laluan kerjaya yang konvensional, tetapi peluang tetap ada.
“Bersabarlah kerana perjalanan ini panjang, namun akhirnya anda akan sampai ke destinasi yang diimpikan,” katanya.
